Elfira Loy mencetus fenomena pada awal tahun ini apabila mengadakan majlis perkahwinan sebanyak lima kali dengan suami tercinta. Tampil berbeza di setiap majlis nyata kejelitaan Elfiran tetap terserlah di kesemua majlis persandingannya.
Berita gembira yang dikongsi oleh Elfira semalam telah menjawab teka-teki yang mengatakan dirinya sudah mengandung. Di majlis hebahan media Elfira Loy bersama jenama fesyen MC Vogue, Elfira mengesahkan bahawa dirinya sudah mengandungkan anak pertamanya.
Elfira atau nama penuhnya, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri walau bagaimanapun memilih untuk merahsiakan usia kandungannya itu kerana berasakan lebih manis ia diketahui oleh keluarga terdekat sahaja.
“Alhamdulillah, berkat doa ramai orang saya disahkan hamil dan saya bersyukur dengan rezeki yang tiba sangat cepat buat saya dan suami.
Saya sudah melepasi trimester pertama (1-3 bulan) dan setakat ini semua berjalan lancar tanpa sebarang alahan mengandung yang teruk,” katanya.
Elfira turut menambah bakal memperlahankan kerjaya seninya sehingga selamat bersalin hujung tahun ini. Namun rupanya Elfira telah mengagahkan dirinya untuk meneruskan karier seni ketika di awal usia kandungannya.
“Saya sudah cuba berlakon semasa trimester pertama dan ia sangat memenatkan. Jadi saya ambil keputusan untuk berehat dahulu berlakon memandangkan ini kehamilan pertama,” jelasnya lagi.
Elfira dan suami, Muhammad Faris Khairol Anuar mendirikan rumah tangga pada 1 Januari lau selepas tidak sampai setahun berkenalan.
Melalui kerjasama Elfira bersama MC Vogue pula pelanggan bakal menikmati empat rekaan unik koleksi Hari Raya Aidilfitri. Kerjasama ini melambangkan sentuhan feminin dan elegan pada masa sama yang sering menjadi pilihan Elfira.
Gaya minimalis yang diserlahkan pelakon berkenaan juga memberi inspirasi kepada pihak MC Vogue untuk menampilkan kolaborasi unik dengan konsep ‘Fairy Forest’.