Bila Mrs Malaysia World 2017 kongsi tip cantik, memang patut tiru ni! Iyalah, pertama kali bertemu dengan Datin Harveen Kaur.. terpesona tengok penampilannya. Puas dirisik, rupa-rupanya dia amalkan jus ubi bit yang dihasilkan sendiri di rumah. Jelas Datin Harveen, amalkan tiga kali seminggu dan hasilnya pasti tak mengecewakan.
Sejujurnya, saat bertentang mata dengan Datin Harveen rasa macam bertemu selebriti Bollywood. Tidak hairanlah dia mampu memenangi pertandingan Ratu Cantik Mrs
Malaysia World tahun lalu. Bersandarkan tubuh tinggi lampai dan langsing, kulit wajah gebu dan mulus serta kepetahannya berbicara.. sesiapa pun pasti tertawan dengan aura yang dimiliki. Tatkala berkongsi bagaimana dia mengekalkan tubuh badan yang sihat dan kecantikan wajah, Datin Harveen yang merupakan ibu kepada tiga orang anak tidak lokek berkongsi petua.
“Selain ambil tablet vitamin C 1000mg setiap hari, saya juga amalkan 3 liter air putih sehari. Jus ubi bit merah ini saya buat dengan campuran epal hijau, epal merah dan tanpa air.. minum seminggu tiga kali. Tak lupa juga lakukan senaman dua kali seminggu. Sebenarnya jus ubi bit mempunyai banyak kebaikan.
Antaranya ia dapat mengurangkan kadar kolestrol, menaikkan seri muka dan dalam masa sama mampu menaikkan kadar hemoglobin dalam darah. Ini adalah inisiatif saya sendiri untuk menjaga kesihatan memandangkan usia yang semakin meningkat.
Semuanya bermula sejak 4 tahun lepas bila saya kerap sakit dan kandungan darah pun selalu kurang. Waktu itu, saya mengamalkan pengambilan asid folik untuk atasi masalah kesihatan. Tapi kesan sampingannya, saya susah hendak buang air besar. Dari situ, ada seorang kenalan yang sarankan untuk amalkan jus ubi bit. Selama enam bulan minum jus ini, memang saya rasa perubahan yang lebih baik.
Mudah je cara nak buat. Caranya, ambil sebiji ubi bit campurkan bersama tiga biji epal hijau dan sebiji epal merah untuk rasa manis. Tak perlu masukkan gula dan air. Kisar semua bahan ini dan minum begitu saja. Memang boleh kurus sebab lepas minum rasa kenyang.
Best time to drink pukul 5 petang dan jangan minum ketika perut kosong. 3 jam lepas makan tengahari, boleh minum dan tak perlu makan malam dah sebab ia mengenyangkan. Lagi satu, elakkan minum waktu pagi sebab campuran jus ini agak kuat dan bimbang menjejaskan permulaan hari.”
Kongsinya lagi, “Untuk pastikan ubi bit yang dibeli dalam keadaan baik dan disimpan dalam peti sejuk, balut ketat setiap ubi bit ini dengan surat khabar kering. Pastikan betul-betul ketat sampai tak ada udara masuk. Kalau ikut tip ni, ia boleh tahan sehingga sebulan.”
Meniti usia 41 tahun, Datin Harveen juga merupakan seorang jururawat di Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur. Walaupun mempunyai kerjaya sendiri dan suaminya bertugas sebagai pakar bius, namun wanita cantik ini tetap mahu bekerja dan berdikari atas kaki sendiri. Sikap yang memang patut dicontohi ramai wanita dan isteri!
“Saya percaya setiap wanita tidak kira isteri atau ibu patut keluar bekerja. Tak boleh bergantung kepada suami seratus-peratus. Kalau apa-apa jadi, macam mana? Sekurang-kurangnya kita ada persediaan dari segi kewangan. Daripada berada di rumah 24 jam, ada baiknya luangkan masa 4 ke 6 jam di luar rumah dan bergaul dengan masyarakat. Pada pandangan saya, golongan isteri perlu bekerja untuk bantu ekonomi keluarga. Tak boleh harapkan suami saja sebab ekonomi sekarang pun makin tinggi.”
Selama 20 tahun mendirikan rumah tangga, Datin Harveen mempunyai sepasang anak kembar lelaki berusia 17 tahun dan anak perempuan berumur 14 tahun.
This website uses cookies.