PAYUDARA Kendur & Melendut, Betul Ke Sebab Faktor Usia?

Situasi yang sering dihadapi oleh ramai wanita… Saya berusia 36 tahun dan mempunyai 3 orang anak. Sejak anak bongsu saya tidak lagi menyusu (selepas berumur setahun), saya dapati payudara saya semakin kendur dan seolah-olah kosong. Mungkin ini bukan masalah kesihatan tapi saya rasa kurang selesa dengan bentuk payudara saya sekarang.

Saya pohon nasihat doktor apa yang saya harus lakukan untuk mendapatkan semula bentuk payudara saya seperti asal. Saya tidak ingin mencuba pembedahan kerana bimbang akan kesan sampingan…

Payudara yang kendur dan lendut berlaku secara kebiasaannya pada setiap wanita kecuali mereka yang mempunyai saiz payudara yang sememangnya kecil. Payudara tidak mempunyai tisu otot. Ia hanya mempunyai ligament

(urat) dan tisu konektif yang memegangnya pada posisinya. Disebabkan usia dan pengaruh graviti, payudara akan secara semula jadi tertarik ke bawah kerana ligamen yang memegangnya juga semakin kendur.

2 sebab utama payudara menjadi kendur ialah:

  • Proses involusi payudara

Proses ini berlaku apabila kelenjar susu mengecut selepas bersalin/berhenti penyusuan kerana ia tidak diperlukan lagi. Apabila hamil dan menyusu, saiz payudara menjadi semakin besar dan berat. Ini akan membuatkan payudara tertarik dan melendut ke bawah akibat pengaruh graviti. Ketika ini amat penting untuk wanita menjaga payudara dengan mengenakan coli yang menyokong tambahan berat dan saiz payudara tersebut. Kelenjar susu turut mengecut apabila paras estrogen semakin menurun dan rendah terutamanya selepas berusia 35 tahun sehingga menopaus apabila payudara wanita tidak lagi dipengaruhi oleh hormon estrogen yang memberi bentuk dan saiz payudara.

  • Kehilangan berat badan

Menjadi kurus terutamanya jika berlaku secara mendadak akan membuatkan sel lemak di payudara hilang dan menyebabkan payudara kelihatan seperti kosong dan kendur.

Punca payudara Puan kendur dan melendut ialah disebabkan oleh faktor gabungan, iaitu proses involusi berserta pengurangan berat badan selepas hamil. Sebab lain yang juga amat penting ialah penurunan hormon estrogen yang didapati amat ketara bermulanya usia 35 tahun sehinggalah usia putus haid. Kandungan kolagen yang semakin berkurangan dengan usia juga menyebabkan payudara hilang keanjalannya. Di samping itu, kemungkinan cara penjagaan payudara Puan turut mempengaruhi bentuknya sekarang. Untuk mengatasi masalah Puan saya syorkan:

  • Melakukan senaman otot dada

Walaupun payudara tidak mempunyai otot, akan tetapi dengan menguatkan otot dada (pektoralis) di bawah payudara akan memberi bentuk dan menyebabkan payudara kelihatan menonjol. Senaman yang disyorkan adalah seperti ‘push-ups’ dan senaman merapatkan kedua belah telapak tangan daripada posisi menyayap.

  • Memakai coli yang bersesuaian

Saiz coli yang menyokong, menaikkan dan memberi keselesaan amatlah penting bagi mengekalkan kedudukan payudara agar tidak mudah melendut.

  • Mengekalkan berat badan yang bersesuaian

Jika Puan terlalu kurus, saya syorkan untuk memakan makanan yang nutrisi tinggi bagi mencapai berat badan yang optimum. Ia akan mengisi semula bahagian payudara yang kosong itu dengan sel lemak yang akan memberi bentuk kepada payudara.

  • Meminum air yang mencukupi

Meminum air 8 gelas sehari amat penting bagi mengelakkan kedutan kulit dan memberikan kelembapan yang sempurna kepada kulit payudara.

IKLAN
Share