Pecah Rekod Paralimpik, Atlet BONNIE BUNYAU GUSTIN ‘Hadiahkan’ Emas Sulung Di Tokyo!

Jutaan tahniah buat atlet para negara, Bonnie Bunyau Gustin yang berjaya ‘menghadiahkan’ emas sulung di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada 28 Ogos lepas. Jaguh powerlifting tersebut mewakili Malaysia dalam kategori lelaki 72 kilogram.

Menerusi acara tersebut Bonnie bukan hanya menjuarai emas bahkan mencatat kejayaan berganda buat rakyat Malaysia dengan memecahkan rekod Paralimpik sebelum ini.

Terdahulu, rekod acara powerlifting kategori berkenaan dipegang atlet dari Iraq iaitu Rasool Mohsin dengan angkatan 227 kilogram. Namun Bonnie yang berusia 22 tahun berjaya mengatasi rekod tersebut dengan mencatat angkatan seberat 228 kilogram.

Menelusuri latar belakang Bonnie, atlet ini dilahirkan di Sarawak pada 3 Jun 1999 dan mula menjalani latihan sukan powerlifting pada tahun 2014 ketika berusia 15 tahun. Memetik biografi Bonnie dalam portal Olympics.com, dia mengikut jejak langkah bapanya iaitu Gustin Jenang yang merupakan bekas atlet para powerlifting.

Bapa Bonnie sebelum ini pernah bertanding di Kejohanan Dunia Kuala Lumpur 2010. Sementara abang Bonnie, Bryan Junancey Gustin juga aktif menyertai sukan di peringkat antarabangsa.

Setahun selepas bergiat aktif dalam sukan ini pada tahun 2015, Bonnie yang ketika itu berusia 16 tahun membuat keputusan nekad untuk berhenti sekolah demi memberi sepenuh tumpuan kepada karier sukannya.

Bonnie membuat penampilan sulung sebagai atlet para powerlifting di peringkat antarabangsa pada tahun 2017. Dua tahun kemudian, dia berjaya memenangi pingat emas kategori 65 kilogram di 2019 World Championships Nur-Sultan, Kazakhstan.

Pada tahun yang sama juga Bonnie dipilih sebagai Atlet Para Terbaik 2019 oleh Sportswriters Association of Malaysia.

Syabas dan tahniah buat Bonnie! Moga kejayaan yang diraih menjadi suntikan inspirasi buat rakyat Malaysia.

Share
Published by
Suzi