Cipta sejarah baharu! Buat julung kalinya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diterajui oleh wanita. Sekalung tahniah buat Datuk Ustazah Hajah Hakimah Mohd Yusoff yang dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKIM berkuat kuasa 21 Mac lalu.
Perlantikan Datuk Hakimah pastinya membanggakan seluruh kaum wanita di negara ini apatah lagi ia merupakan satu catatan sejarah baharu yang sekaligus menyaksikan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhdimatan awam.
Difahamkan Datuk Hakimah menjawat tugas penting itu bagi menggantikan Datuk Abdul Aziz Jusoh yang bersara wajib pada 9 November lalu.
Kongsi Datuk Hakimah menerusi laman media sosial rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, “Alhamdulillah 21 Mac 2022, dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya melangkah memulakan tugas hari pertama sebagai Ketua Pengarah JAKIM.
Sesungguhnya saya sedar akan amanah dan tanggungjawab berat yang saya harus berdepan dengan penuh insaf dan ketabahan. Saya yakin akan aturan Allah SWT dan menganggap ia sebagai ujian buat saya, semoga Allah sentiasa membimbing dan menuntun perjalanan ini.
Saya mengambil ruang dan peluang ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih khusus buat YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri, YB Senator Datuk Haji Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Ustaz Marzuk Shaary Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah, Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Datuk Seri Jamil bin Rakon, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri atas kepercayaan dan perakuan pelantikan saya ke jawatan yang amat mencabar ini.
Saya percaya pihak kerajaan juga telah merujuk dan memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Raja bagi maksud pelantikan jawatan Ketua Pengarah JAKIM. Menjunjung kasih Tuanku.”
Kredibiliti Datuk Hakimah turut mendapat perhatian luas daripada pemimpin negara antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Idris Ahmad dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Yang pasti, Ketua Pengarah JAKIM yang baharu ini bukan calang-calang wanita. Beliau merupakan seorang wanita berdaya saing dan mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan sejak mula menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1992.
Datuk Hakimah mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti Malaya pada tahun 1990 dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia daripada Universiti Putra Malaysia pada 2001.
Beliau memulakan perkhidmatan sebagai penjawat awam sebagai Penolong Pengarah di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada 1992. Kemudian berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada 2008 hingga 2009 sebelum dilantik menjadi Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM selama lima tahun antara 2011 hingga 2016.
Datuk Hakimah seterusnya menjadi Pengarah Bahagian Kemajuan Islam JAKIM pada tahun 2016. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 2018, kerajaan memperakukan pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM.
Berbekalkan pengalaman yang luas tersebut, Datuk Hakimah diharap dapat menggalas tugas dengan baik di JAKIM sebagai Ketua Pengarah dan terus memacu hala tuju JAKIM dengan lebih cemerlang.
Semoga Datuk Hakimah dapat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah. Di samping dikurniakan petunjuk dalam setiap tindakan yang dilaksanakan.
This website uses cookies.