“Pedih, Rindu Akan Sebuah Kehilangan Sukar Digambarkan” RAJA NADIA SABRINA

Tidak ada seorang ibu pun sanggup melihat anaknya ‘pergi meninggalkan’ dirinya buat selama-lamanya dan tidak ada seorang ibu pun sanggup menziarahi pusara anaknya sendiri. Namun siapa kita sebagai manusia untuk menidakkan ujian daripada Allah SWT. Raja Nadia Sabrina sebuah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi juga tidak terkecuali diuji dengan kehilangan anak sulungnya beberapa jam selepas kelahirannya.

Menyelami perasaan ibu muda ini tentang kecintaan terhadap anak-anak dan keluarga tercinta mampu menjentik hati semua wanita yang bergelar seorang ibu. Kekuatan dan kesabaran yang dimiliki oleh pengasas jenama Aere ini ketika menempuh ujian bukan calang-calang wanita boleh menghadapi sepertinya.

 

 

Menyelinap seribu satu rasa keinsafan saat figura wanita anggun ini menelusuri setiap pelosok kehidupan yang begitu daif. Raja Nadia Sabrina sebuah nama yang begitu indah selaras dengan jiwa nurani dibasahkan dengan memperjuangkan hak kemanusiaan yang dinafikan. Walau tampil moden namun keluhuran budi yang terpamer memperlihatkan prinsip hidup yang bukan mainan.

“Pengalaman mendekati dan memahami isu-isu dan masalah sebuah masyarakat yang teramat daif dan amat memerlukan bantuan telah memberi kesan yang sangat mendalam kepada diri saya,” tutur wanita yang berusia 34 tahun ini lembut memulakan bicara.

“Sukar diungkap dengan kata-kata apabila pandangan mata kasar bersatu dengan mata hati saat melihat sendiri sebuah kehidupan yang telah dinafikan haknya. Baru-baru ini saya terlibat sebagai seorang ikon yang terpilih untuk menyertai misi kemanusiaan pertama saya, iaitu misi membina sebuah sekolah perempuan di Godda, Jharkhand, India anjuran Islamic Relief Malaysia dan Ukhwwah4Ummah.

I had an amazing eye-opening, humbling, life-changing experience going there for humanitarian works and connecting, bonding with the kids that we aim to help over there. Saya benar-benar bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk menyaksikan sendiri sisi kedaifan manusia yang tidak didendangkan ini.

Justeru semangat terus berkobar-kobar untuk melihat mereka menikmati kehidupan yang lebih baik melalui pendidikan yang lebih formal. Hanya melalui pendidikan, sesebuah masyarakat boleh berubah ke peringkat yang lebih tinggi dan membasmi kemiskinan demi masa depan generasi akan datang. Lantas saya memainkan peranan untuk menyebarkan kesedaran dan mengutip dana yang diperlukan untuk masa depan kanak-kanak yang miskin dan daif di sana. Saya menyeru orang ramai untuk menyokong misi kami untuk mengubah kehidupan mereka,” tutur wanita yang dilahirkan di Kota London ini.

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan