Bila sebut sahaja nama Shalin Zulkifli secara automatik pasti terbayangkan kehebatan wanita ini beraksi dalam acara sukan tenpin boling. Gelaran juara demi juara yang diraih oleh wanita ini benar-benar menyuntik inspirasi lebih-lebih lagi kepada atlet wanita negara.
Digelar Ratu Tenpin Boling memang selayaknya lantaran wanita yang dilahirkan di Kota London ini pernah menjuarai Kejohanan Dunia 2003 di Malaysia, 2007 di Mexico dan 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Jasa dan bakti wanita yang kini berusia 42 tahun ini mengharumkan nama negara bukan calang-calang. Shalin banyak menghabiskan masa remaja di gelanggang boling bagi memastikan prestasinya kekal berada di tahap terbaik dan mula bermain boling sejak usianya 9 tahun lagi.
Pemegang Ijazah Sains Sukan ini juga telah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali iaitu di tahun 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002. Bukan itu sahaja malah Shalin mempunyai kerjaya cemerlang dengan mengumpul 74 pingat di peringkat senior.
Walau bagaimanapun baru-baru ini Ratu Tenpin Boling ini telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada mewakili Malaysia secara rasmi. Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok mengesahkan perkara ini seperti yang dilaporkan oleah BERNAMA.
Semoga Shalin terus cemerlang dalam kerjaya yang bakal diceburinya selepas persaraan ini dan membantu anak bangsa untuk terus gah di gelanggang tenpin boling negara.
This website uses cookies.