Pegang Jawatan Pengarah Negara Meta Malaysia, Nicole Tan Lambang Pemimpin Wanita Disegani

Memimpin sebuah syarikat gergasi media sosial bertaraf dunia, tentunya kedengaran hebat. Apatah lagi jika bekerja di syarikat antarabangsa seperti Facebook. Nona mengatur pertemuan eksklusif dengan Country Director Meta Malaysia, Nicole Tan, bersembang tentang pengalaman beliau sebagai pemimpin di sini.

Melangkah masuk ke Meta Malaysia di KL Sentral, suasana santai dengan dekorasi yang ‘playful’ serta ruang kerja yang terbuka menyambut kedatangan.

Setenang perasaan di rumah, begitulah yang dirasai penulis saat dibawa berkunjung ke serata pejabat Facebook, yang kini dijenamakan semula sebagai Meta Platforms.

Ketika menatap tanda tangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terpampang di Facebook Wall, Nicole Tan tiba sambil membantu menerangkan serba-sedikit konsep di sini.

Wanita hebat yang memegang jawatan Country Director Meta Malaysia itu sesungguhnya cukup menyenangkan. Selama lima tahun memimpin syarikat, banyak perkara baru yang telah diperkenalkan untuk manfaat pengguna.

 

Meskipun berusia 40-an, Nicole Tan sebenarnya baru mendapat cahaya mata sulung. Lebih beruntung, beliau diberi tempoh cuti bersalin yang lama iaitu 6 bulan!

“Dalam tempoh pandemik dua tahun ini, banyak masa saya di rumah bersama si kecil yang kini sudah pun mencecah umur setahun.

Sebelum menyertai Meta, saya pernah berkhidmat di agensi kreatif, pengiklanan dan teknologi selama 20 tahun.” Nicole Tan

Pernah bertugas sebagai Pengarah Urusan di J.Walter Thompson Malaysia serta menetap di China selama beberapa tahun, pengalaman kerja Nicole selama ini sudah tentunya memberi kelebihan besar kepada Meta.

Beliau juga lambang wanita kuat, yang mengutamakan kerjaya serta berani menentang ‘norma’ demi mengejar minat dan impiannya.

Berperanan sebagai pemimpin di Meta Malaysia, wanita asal Petaling Jaya ini bertanggungjawab membantu rakyat agar lebih celik digital, membina teknologi yang lebih cekap dan menyokong perniagaan ke arah pengalaman baru.

 

“Di seluruh dunia, kami ada 2.8 billion pengguna yang menggunakan sekurang-kurangnya satu aplikasi Meta, tak kiralah Facebook, Instagram atau WhatsApp.

Di Malaysia pula, kami ada 26 juta pengguna yang menggunakan Facebook setiap bulan.

Bayangkan pada waktu pandemik, kajian mendapati trend penggunaan digital lima tahun telah dipercepatkan dalam masa satu tahun saja.

Dan di Malaysia, penetrasi penggunaan digital adalah 88% – yang tertinggi di rantau Asia Tenggara!” Nicole Tan

 

Tambahnya, orang ramai memang sering memilih aplikasi Meta untuk berhubung, mengekspresikan diri dan berniaga secara online sewaktu PKP berkuat kuasa.

Nicole turut berkongsi tentang pelancaran Reels di Facebook, susulan kejayaan Reels yang diperkenalkan sebelum ini di Instagram.

“Reels di Facebook baru dilancarkan dua minggu lalu. Berdasarkan kajian terhadap trend di media sosial, kami dapati jumlah tontonan terhadap video yang cepat, pendek dan menarik telah meningkat.

Kandungan berbentuk hiburan, masakan atau life hacks paling mendapat tontonan tinggi. Tambahan lagi jika ada ‘peralatan’ untuk mengekspresikan diri seperti filter.”

 

USAHAWAN

Sempena Hari Wanita Antarabangsa yang bertemakan #SaksamaBersama atau #BreakTheBias, Nicole menerusi Meta turut meraikan kecekalan wanita di Malaysia.

Selain ingin terus memperkasakan golongan Hawa dengan ilmu pengetahuan, beliau juga ingin membantu wanita yang berniaga serta yang menyokong perubahan.

Terdapat peningkatan sebanyak lebih 25% perniagaan Instagram dan lebih 40% halaman perniagaan (Pages) Facebook yang diterajui wanita sejak pandemik bermula.

Malah terdapat lebih 45% kumpulan Facebook berkaitan dengan keusahawanan telah dicipta oleh wanita sejak tahun 2021.

 

“Wanita mewakili separuh populasi dunia dan separuh daripada potensinya untuk berkembang, mencipta peluang dan membasmi kemiskinan.

Oleh itu kesaksamaan jantina amat penting untuk kemakmuran ekonomi dan komuniti. Kami percaya akan usaha bagi membantu wanita meneroka potensi diri dan pembinaan masyarakat yang lebih berdaya tahan.

Antara teras utama Meta adalah memupuk perkembangan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) milik wanita dengan memberi akses kepada pendidikan, wawasan dan peralatan menerusi webinar, latihan, kursus dan program pensijilan seperti Blueprint, Facebook IQ dan sebagainya.” Nicole Tan

Di sebalik komitmen sebagai pemimpin, Nicole senang memberi tunjuk ajar dan menjadi mentor di tempat kerja. Beliau juga mahu melihat lebih ramai wanita lain bangkit menjadi pemimpin seperti dirinya.

Mengakhiri perbualan, Nicole sempat mengajak para wanita agar membeli daripada usahawan wanita sebagai sokongan.

“Kami akan menampilkan usahawan wanita tempatan seperti peniaga katering dari rumah (vegetarian), Preeti’s Farsan di Pages Facebook Meta Malaysia dan kami mengalu-alukan ahli komuniti untuk berkongsi perniagaan dan komuniti yang diterajui wanita kegemaran di bahagian komen bersama tanda pagar #BuyFromHer.”

Share
Published by
Norzalina