Siapa yang tak kenal dengan Fedtri Yahya yang cukup sinonim dengan ‘trademark’ berpantun setiap kali mengacarakan sesebuah majlis.
Baru-baru ini, pengacara dan personaliti televisyen berusia 42 tahun ini meraikan ulang tahun perkahwinannnya yang ke-12 tahun.
Pemilik nama sebenar, Ahmad Fedtri Yahya ini berkongsi kesyukuran dan kegembiraannya menerusi satu hantaran di Instagram peribadi.
Bapa kepada empat cahaya mata ini turut menitipkan kata-kata penghargaan buat isteri tersayang, Nurul Anati Ismail yang setia bersamanya dalam melayari bahtera rumahtangga selama 12 tahun.
“Pejam celik. Alhamdulillah. 12 tahun! #12thanniversary
“28 Mei hadir lagi. Terima kasih pada-Mu ya Allah kerana pertemuan dan ikatan ini. Syukur kerana mengurniakan seorang bidadari yang sentiasa ada di sisi kala susah dan senang.
“Syukur atas kurniaan cahaya mata yang menceriakan hidup. Syukur atas segala nikmat dan rezeki. Tak terbalas jasa dan pengorbanan bidadari cinta yang berbuat apa saja demi kebajikan keluarga.
“Pada tubuhnya yang sederhana, tersimpan kekuatan dan kebijaksanaan luar biasa yang Allah saja mengetahui. Moga Allah membalas sebaik-baik ganjaran buat bidadari cintaku.
“Tiada hadiah yang selayaknya di atas muka bumi ini untuk diberikan. Hanya Engkau selayaknya memberi pahala dan kebaikan. Moga Allah lindungi kita semua… selalu… selamanya. Amin ya Allah.
“Allah Maha Baik. Semuanya indah. Maha Cinta. Kita menumpang di bawah teduhan kasih Nya.”
Tersentuh membaca titipan istimewa Fedtri buat isterinya. Cukup puitis!
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata menitipkan ucapan tahniah dan berdoa agar Fedtri dan isteri kekal bahagia.
Semoga Fedtri dan isteri kekal bahagia selamanya sampai syurga!
Untuk info, selain bergelar pengacara Fedtri juga aktif sebagai penulis lirik lagu antaranya untuk Datuk Sri Siti Nurhaliza, Misha Omar, Hafiz Hamidun, Liza Hanim, Noraniza Idris dan Ernie Zakri.
Fedtri merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Kangsar dan pernah menerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan 1998.
Fedtri juga graduan Sarjana Muda Komunikasi (Filem & Penyiaran) dengan minor Pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia (USM) dan penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor USM 2002.
Kredit Foto: Instagram Fedtri Yahya
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.