Siapa yang tidak tertawan dengan wajah jelita Shafnie Zainuddin. Dikurniakan rupa paras penuh kelembutan, personaliti berusia 47 tahun ini menjadi inspirasi kerana jiwa kentalnya membesarkan anak-anak selepas rumah tangga yang dibina tidak berkekalan.
Baru-baru ini nama Shafnie kembali menjadi bualan ramai warga maya selepas majlis pernikahan anak lelakinya menarik perhatian di media sosial.
Berkongsi momen indah di majlis perkahwinan anak tersayang, Shafnie menerusi Instagram miliknya memberitahu anak lelaki bongsu iaitu Shabil Iman akhirnya selamat bergelar suami pada tanggal 11 November lepas.
Dia yang mengenakan persalinan kurung dan tudung rona kelabu kelihatan mengesat air mata saat upacara ijab kabul.
Lebih meruntun jiwa apabila Shabil menangis sebak sambil ditenangkan abangnya, Shafiq Iman.
“Dengan rendah hati, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang turut serta memeriahkan majlis pernikahan Shabil Iman dan Afiqah Syazwani yang baru lepas.
Ads
Juga kepada semua yang turut mendoakan dan memberi ucapan luar dan dalam sosial media dan sebagainya. Thank you very much. Positive vibes only ya, buang yang keruh ambil yang jernih. Benda yang sudah berlalu jangan dikenang, moving forward.”
Shafnie Zainudin merupakan bekas model dan pengacara. Terdahulu, jelitawan ini pernah berkahwin dengan Dato’ AC Mizal namun berpisah pada 17 Oktober 2001 selepas kira-kira enam tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Shafiq Iman dan Shabil Iman.
Ads
Tidak hanya diuji dengan kegagalan rumah tangga, Shafnie menerusi perkongsian di media sosial miliknya turut diduga dengan kanser darah. Dia dilaporkan didiagnos Acute Promyelocytic Leukaemia penyakit itu pada 5 Mac 2022.
Dalam pada itu, meraikan ulang tahun perkahwinan pertama anak sulungnya Shafiq pada 26 Mac lepas, Shafnie mendedahkan dia tidak dapat menyaksikan detik bahagia itu kerana terpaksa menjalani sesi kemoterapi.
“Setahun dah drama pernikahan tanpa mama (mama diagnosed cancer and had to undergo chemo a.s.a.p di KL dan anak ke Johor untuk bernikah). Alhamdulillah, dipermudahkanNya segala urusan kita. Semoga yang lebih baik-baik sahaja untuk kita semua untuk hari-hari yang akan datang, Aamiin.”
Selain Shafiq dan Shabil, Shafnie juga mempunyai seorang cahaya mata perempuan bernama Layla yang kini berusia lapan tahun hasil perkahwinan keduanya.
Difahamkan Shafnie kembali bergelar isteri pada 6 Jun 2014 dan melahirkan rasa syukur sempena ulang tahun perkahwinannya yang ke-9.
“It’s our 9th anniversary, alhamdulillah. Thankful for all the susah senang, sakit sihat, ada tak ada, sikit banyak and many more to come insyaAllah. Semoga dipermudah segala urusan kita dunia akhirat.”
Shafnie bakal meniti usia 48 tahun pada 28 Disember nanti. Semoga segala urusan dan impian mereka sekeluarga dipermudah kelak.
Memang tidak dapat dinafikan lagi akan kecantikan asli yang dimiliki oleh aktres Bollywood tersohor ini. Kecil-kecil lagi dah cantik dan lincah menari. Lihat saja koleksi gambar ‘throwback’ ini yang sering dikongsi oleh Karisma Kapoor di Instagram peribadinya. Sangat comel!
Berkulit putih mulus, berambut ikal dan yang ‘paling mahal’ adalah sepasang anak mata rona biru cerah natural yang sangat menawan. Unik dan seksi! Itulah keistimewaan Karisma Kapoor.
Sejak kecil Karisma sudah pandai menari.
Karisma merupakan anak kepada pasangan aktor dan aktres terkenal, Randhir Kapoor dan Babita. Lumrah bergelar anak sulung pasti akan menjadi kesayangan ibu dan bapa. Sebelum lahirnya Kareena Kapoor, Karisma merupakan anak yang manja serta menjadi kesayangan bapanya.
KEKAL JELITA
Kini Karisma telah pun berusia 46 tahun. Bukan saja kelihatan awet muda bahkan semakin jelita. Aktiviti kecergasan menjadi salah satu rahsia awet muda Karisma. Maka sebab itulah Karisma berjaya mengekalkan bentuk tubuhnya sejak dulu sehingga kini malah dikatakan semakin menarik dari tahun ke tahun.
Kalau nak tahu, Karisma merupakan seorang pencinta yoga. Ia membantu dirinya untuk kekal fokus seterusnya dapat mengembalikan energi menjadi lebih baik. Seterusnya, Karisma turut menjaga pemakanan seimbang.
Bagi Karisma, usia bukanlah penghalang untuk dia mengekalkan bentuk badan yang ideal walaupun bergelar ibu tunggal kepada dua orang anak. Selain itu, Karisma juga sangat aktif dalam melakukan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Karisma bersama dua orang anaknya.
SISTER GOALS
Karisma Kapoor dan Kareena Kapoor merupakan pasangan adik beradik paling popular di Bollywood. Beza usia mereka ialah 6 tahun. Karisma dan Kareena sering dijadikan inspirasi oleh wanita-wanita di luar sana bukan saja dari segi karier bahkan keakraban mereka sebagai adik beradik. dianggap sebagai sister goals!
Karisma terlebih dulu memulakan karier sebagai pelakon dan model pada tahun 1996. Beberapa tahun kemudian, Kareena pula mengikut jejak langkah. Usahanya membuahkan hasil apabila nama Kareena melonjak naik melalui filem-filem terlaris seperti Dev (2004).
Selain itu, Karisma dan Kareena juga dikatakan antara aktres yang menerima bayaran termahal serta telah memenangi banyak anugerah dalam industri perfileman India. Karisma dan Kareena menjadikan ibu mereka, Babita sebagai sumber kekuatan dan inspirasi kerana telah membesarkan mereka seorang diri dengan baik. Ibu mereka, Babita kini berusia 73 tahun.
Antara filem popular lakonan Karisma ialah Dil To Pagal Hai sekitar era tahun 90an. Lakonannya itu antara yang terhebat di samping aktor Shahrukh Khan dan Madhuri Dixit.
Gandingan Karisma bersama Shahrukh Khan dan Madhuri Dixit dalam filem Dil To Pagal Hai.
Sudah lama Karisma tidak muncul di layar perak namun namanya sentiasa segar di hati para peminat khususnya filem Hindi. Pun begitu, Karisma dilihat sangat aktif di media sosial.
Kini Karisma lebih banyak tampil sebagai ikon designer untuk pelbagai jenama fesyen tempatan mahupun antarabangsa. Karisma juga aktif sebagai model iklan fesyen dan produk kecantikan.
Kredit Foto: Instagram @therealkarismakapoor
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kehilangan insan yang tersayang akibat penyakit kanser kira-kira enam bulan yang lalu masih segar di ingatan Juliana Amirullah. Suami tercinta, Mohd Fauzi Mansor yang dinikahi 10 tahun yang lalu menghembuskan nafas terakhir setelah hampir tiga tahun berjuang menentang penyakit kanser. Ketabahan wanita tabah ini berkongsi pengalaman menjadi pendorong utama buat si suami berjuang untuk menentang penyakit kanser wajar dijadikan inspirasi.
Biarpun kadang-kala rebah dalam usaian semangat yang sedikit luntur, namun ia tidak ditunjukkan di hadapan suami tersayang semata-mata ingin memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi untuk dirinya berhadapan dengan situasi getir. Namun begitu, naluri wanita meronta-ronta mencari solusi terbaik untuk memastikan insan tersayang dapat sembuh seperti sedia kala.
“Kehidupan saya berubah sebaik sahaja arwah disahkan menghidap kanser secara tiba-tiba kira-kira tiga tahun yang lalu. Saya tidak menduga arwah yang kelihatan sihat tiba-tiba diuji dengan penyakit yang amat ditakuti oleh semua orang. Sebagai isteri, saya mengambil alih tanggungjawab menjaga arwah sepenuh masa kerana dia kerap kali dimasukkan ke hospital. Saya juga sanggup berhenti kerja untuk membolehkan tumpuan menjaga dirinya diberikan sepenuhnya.”
Bercerita lanjut mengenai bagaimana dia melihat arwah melawan kesakitan dalam menjalani proses rawatan, Juliana berkata sepanjang arwah ditempatkan di wad, pelbagai jenis rawatan kimoterapi terpaksa dilalui namun nasib tidak banyak menyebelahinya apabila kesemua rawatan tersebut gagal membunuh sel kanser.
“Hancur luluh hati apabila doktor memberitahu sel kanser yang menyerang arwah amat aktif. Arwah juga turut melalui rawatan radioterapi sehinggakan melakukan prosedur transplan. Namun begitu, keadaan kesihatan arwah semakin merosot dan kritikal selama 21 hari,” ujar Juliana yang menanggung sendiri kos rawatan suami tersayang.
Masih segar diingatannya momen sedih yang dikongsi bersama arwah apabila mereka diberikan kaunseling oleh doktor apabila arwah disahkan mampu bertahan selama tiga atau empat bulan sahaja untuk hidup. Ketika itu, seluruh dunia menjadi gelap gelita buat Juliana mahupun Fauzi.
“Enam bulan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, doktor memberitahu dia hanya mampu bertahan selama tiga atau empat bulan sahaja. Ini merupakan tamparan hebat buat saya dan arwah. Tetapi arwah amat tenang. Dia menerima perkhabaran tersebut dengan reda dan doktor meminta saya agar lebih berhati-hati dalam segala pertuturan dan percakapan bersama arwah.
Bayangkan, seseorang yang sudah tahu anggaran tarikh kematiannya. Jadi, kami menghabiskan masa dengan mengenang kembali keindahan apabila arwah banyak menasihati saya agar redha dengan ujian ini. Ternyata, arwah menghembuskan nafas terakhirnya seperti anggaran dokotr setelah tidak sedarkan diri selama dua hari.” tutur Juliana sambil menyeka mata yang berkaca.
Tahun ini, sebagai Ramadan pertama tanpa suami tersayang, hanya titipan doa dapat mengiringi perjalanan harinya semoga rohnya dicucuri rahmat. Segala kenangan indah hampir 10 tahun bergelar isteri tersimpul rapi di kotak pemikirannya dan menjadikan momen Ramadan bersama arwah sebagai sesuatu yang manis untuk dikenang. Hanya doa mengiringi perjalanan Ramadan dan Syawal tahun ini sebagai tanda kasih seorang isteri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sudah semakin ramai wanita tidak betah terjun dalam dunia perniagaan yang memaksa mereka berpanas di bawah panahan matahari terik dan bergelumang dengan haiwan ternakan demi kelangsungan hidup. Datin Seri Nur mempunyai sifat menyayangi haiwan peliharaan lantas menjadikan industri agro-ternak sebagai sumber pendapatan utamanya. Melalui syarikat Agro World Channel Sdn. Bhd. (Agro World) wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini mampu melakukan apa sahaja walau dihalang pelbagai rintangan.
“Memang tidak ramai wanita yang mahu tangan mereka kotor bermain tanah, membersihkan haiwan ternakan apatah lagi menguruskan sisa haiwan ternakan. Namun, saya berbeza kerana saya seorang yang lasak dan memang minat membuat kerja-kerja sebegini. Suami sangat menggalakkan saya untuk menyertai industri agro-ternak ini dan saya banyak belajar sebelum terjun dalam perniagaan agro-tani ini. Saya juga turut belajar dari bawah mengendalikan perniagaan ini bersama-sama dengan rakan niaga.
Saya mengusahakan ladang kambing boer yang berlokasi di Melaka. Kambing yang diternak di ladang tersebut lebih kurang 1000 ekor. Kambing boer ini biasanya mempunyai badan putih dengan kepala coklat yang menonjol. Ada juga kambing boer yang seluruh coklat atau seluruh putih. Seperti kambing Nubia, kambing boer mempunyai telinga yang panjang dan labuh. Kambing boer juga terkenal dengan sifat yang jinak, cepat membesar dan tinggi kadar kesuburan,” tutur Datin Seri Nur memulakan bicara.
Benar kata orang selangkah kaki masuk dalam dunia perniagaan, pandangan mata akan terbentang luas dengan untuk mencipta peluang di depan mata. Begitu juga Datin Seri Nur yang bijak mencari peluang demi sumbangan membantu anak bangsa. “Memang benar, sejak menceburi bidang penternakan kambing, kini saya sudah bermula berjinak-jinak dalam dunia agro-tani pula.
Baru-baru ini saya pergi ke Filipina untuk mengintai produk hasil tani yang berasaskan kelapa. Kita ada cuka kelapa, kopi beras, sabun organik dan sebagainya yang berasaskan kelapa. Produk ini masih dalam proses membina jenama dan bakal dilancarkan pada bulan Oktober nanti. Cabang perniagaan ini saya wujudkan demi membatu terutama golongan wanita agar terus aktif dalam pembangunan ekonomi negara walaupun bergelar suri rumah tangga.
Kini terdapat pelbagai peluang pemasaran yang tidak memerlukan wanita keluar dari rumah. Meskipun dari rumah, wanita boleh membantu meningkatkan ekonomi keluarga lebih-lebih lagi tatkala kos sara hidup kian meningkat.
Saya percaya bidang agro-tani ini boleh pergi jauh kerana merupakan sumber makanan yang diperlukan sampai bila-bila juga merupakan kunci kehidupan manusia. Walau di mana sahaja kita berada, kita perlukan makanan untuk meneruskan kehidupan. Sebagai wanita yang sudah menceburi bidang agro-tani ini saya menyeru agar lebih ramai wanita yang menceburi bidang agro-tani ini. Bukan sahaja mampu menjana pendapatan malah berbudi kepada tanah pasti akan mendapat pendapatan lumayan,” jelas Datin Seri Nur yang berusia 32 tahun ini.
Tambah Datin Seri Nur lagi, “Sebagai wanita mereka perlu mempunyai unsur inovatif, kreatif, dan memperkaya alternatif. Tidak perlu takut atau malu untuk mencuba sesuatu yang baharu dan setiap wanita kena berani serta perlu kuat untuk mencabar diri sendiri demi mengetahui tahap kemampuan masing-masing. Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, jika tidak mencuba pasti tidak akan berjaya,” ujar wanita ini bersungguh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!