Pelajar Cemerlang 11A Terima Lebih 10 Tawaran Pengajian Termasuk Biasiswa

Lebih 10 tawaran pengajian dan biasiswa diterima oleh pelajar cemerlang 11A, Muhammad Syahril Saidi setakat ini.

Menurut Muhammad Syahril yang kini berusia 18 tahun, tawaran itu antaranya daripada Petronas, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan kerajaan negeri.

“Beberapa universiti awam termasuk Universiti Malaya juga ada menawarkan saya untuk menyambung pengajian di tempat mereka.

“Tak sangka terlalu banyak tetapi alhamdulillah dan saya belum lagi membuat apa-apa keputusan untuk memilih yang mana,” kata Muhammad Syahril ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis.

Pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Darul Iman, Beris Lalang ini baharu kematian ibu tersayang, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, akibat angin ahmar pada Sabtu lalu, dua hari selepas menerima khabar gembira keputusan SPM.

“Sebelum ini saya berhasrat menyambung pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah, Bachok bagi mendapatkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan berada lebih dekat untuk menjaga ibu yang sakit.

“Apa-apa pun saya akan berbincang dengan keluarga dan guru selepas ini bagi memilih tawaran yang bersesuaian,” ujarnya.

Dalam pada itu, anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, kejayaan yang diraih berkat pengorbanan arwah ibu, adik-beradik dan ibu bapa saudaranya yang tidak henti-henti mendorongnya supaya menuntut ilmu.

“Mereka yang sepatutnya diraikan. Saya amat berterima kasih kerana merekalah yang membantu menguruskan ibu sepenuhnya ketika saya bersekolah.

“Saya tidak mampu untuk menghadapi semua ini seorang diri dan amat menghargainya,”

ujarnya.

Kisah Muhammad Syahril tular selepas meraih kejayaan cemerlang namun tidak dapat ke sekolah untuk mengambil keputusan kerana menjaga ibunya.

Bahkan bakti Muhammad Syahril terhadap syurganya itu terus menarik perhatian umum apabila dia sendiri mengimamkan solat jenazah Allahyarham ibunya.

Sumber: Sinar Harian

Share
Published by
Amy Mohd