Manushi Chhillar berusia 20 tahun seorang pelajar perubatan di Bhagat Pool Singh Government Medical College For Women telah merangkul takhta Miss World 2017 setelah mengalahkan 117 peserta dari negara lain. Tempat kedua dimenangi oleh Andrea Meza dari Mexico dan tempat ketiga jatuh kepada Stephanie Hill dari England. Manakala Aurore Kichenin dan Magline Jeruto masing-masing berasal dari Perancis dan Kenya berada dalam kelompok lima terbaik.
Soalan yang menjadi kunci kemenangan gadis ini berbunyi, “Bagi anda pekerjaan apakah yang patut dianugerahkan dengan gaji paling tinggi?” Tanpa gementar dia menjawab, “Bagi saya mereka yang bergelar ibu adalah pekerjaan yang patut mendapat pujian dan hormat tertinggi. Ia bukan tentang wang tetapi kasih dan sayang yang mereka curahkan tidak ternilai. Ibu saya merupakan inspirasi terbesar dalam hidup ini dan saya yakin mereka harus mendapat penghormatan tertinggi.”
Menarik tentang kemenangan Manushi, dia akhirnya menamatkan kemarau 17 tahun dunia ratu cantik India yang mana kali terakhir wanita dari negaranya memenangi gelaran Miss World adalah pada tahun 2000 menerusi Priyakan Chopra yang kini merupakan salah seorang pelakon terkenal di Hollywood.
Jom kita intai lima lagi wanita cantik India yang pernah memenangi takhta Miss World.
SYU Bangga 30 Ribu SoBELLA SQUAD Jadi Usahawan Berjaya, Mampu Raih Pendapatan RM5 Juta
Pengasas produk SoBella, Wan Nur Syuhada Wan Norzie atau lebih mesra disapa Syu bangga melihat lebih ramai wanita berjaya dalam perniagaan yang diceburi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SoBella Beauty Sdn Bhd ini lebih bangga apabila melihat dengan sendiri bagaimana kejayaan yang dicapai oleh wanita yang bergelar agen syarikat kosmetik SoBella ini.
“Hingga kini, sudah lebih 30,000 agen direkrut di bawah SoBella Squad. Melihat angka itu bertambah saban hari, buat saya terus bersemangat untuk merancakkan cabang perniagaan.
Bayangkan daripada awalan angka itu hanya 20 orang sahaja, kini meningkat ke ratusan hingga puluh ribu agen. Saya juga mahu terus melahirkan jutawan dengan menjual produk ‘lipmatte‘ dan mensasarkan jualan lebih tinggi tahun ini.
Khususnya menerusi produk terbaru keluaran dipanggil Soul Matte Edition yang menggunakan konsep duo lipmatte yang akan dipasarkan 9 Februari ini,” kata Syu tentang SoBella Squad yang sangat disayanginya itu.
Dalam masa yang sama, Syu bangga apabila usahanya memperkasakan golongan wanita menjadi kenyataan menerusi platform niaga yang disediakan olehnya.
Bagi meraikan dedikasi SoBella Squad yang merupakan tulang belakang empayar perniagaannya, wanita yang berusia 31 tahun telah menjayakan sebuah Majlis Victory & Glory Appreciation Day berlangsung pada 31 Januari lalu di GlassHouse, Seputeh.
Pada acara berkenaan, sekumpulan top leader jenama itu yang merangkul gelaran Top Sales tahun lalu diraikan dengan menerima hadiah lumayan seperti kereta, rumah dan wang tunai.
Pada acara itu, paling mencuri tumpuan ialah Top Leader SoBella, Nurul Huda Johar atau Dada Hunyai yang pernah menyandang gelaran itu lima tahun berturut-turut sejak 2017.
“Dia (Dada Hunyai) mencatat jualan sebanyak RM5 juta pada musim pandemik tahun lalu. Sobella telah merealisasikan rumah impian yang berjaya dibinanya dengan hasil ganjaran tunai dan keuntungan jualan produk SoBella.
Setakat ini di bawah pasukannya saja ada 1000 orang yang terus menjadikan perniagaan ini sebagai punca rezeki dan pendapatan. Paling mengagumkan saya, dia asalnya hanyalah seorang tukang jahit dulu.
Bagaimana kerja kuat dan iltizamnya membuahkan hasil. Malah mampu mengubah taraf ekonomi dan kehidupan,” kata Syu tersenyum bangga.
Tak ketinggalan, empat lagi leader SoBella berjaya mendapatkan kereta idaman masing masing juga daripada hasil ganjaran tunai dan keuntungan jualan produk jenama itu.
“Antara kereta yang diserahkan kepada pemiliknya termasuk Mercedez AMG45, Mustang, Range Rover dan Ford Ranger,” kata Syu di mana jenamanya menjadi produk lokal pertama yang mengamalkan konsep edisi terhad dalam pengeluaran lipmatte.
“Konsep terhad atau ‘limited edition‘ ini belum diamalkan jenama lain. Jadi secara tak langsung konsep ini buatkan pelanggan rasa istimewa dan eksklusif.
Setiap kuantiti produk dikeluarkan juga dijaga dengan mengamalkan ‘exclusivity brand‘. Pendek kata, siapa lambat mendapatkan produk, maka akan gigit jarilah,” tutur Syu tentang salah satu resipi kejayaan SoBella Beauty.
Bina Keluarga Bahagia ‘Tiru’ Acuan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Dan Ustaz Wan Akashah
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
“Indonesia, Take Care Of This Girl, She’s A National Treasure,” DAVID FOSTER Puji Kelunakan Vokal RAISA!
Penyanyi jelita Indonesia, Raisa terpilih sebagai penyanyi undangan di Konsert HITMAN – DAVID FOSTER and FRIENDS yang berlangsung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Lebih membanggakan, ini bukanlah kali pertama penyanyi berusia 31 tahun itu menyanyi di bawah pimpinan muzik David Foster, malah ia merupakan pengalaman keduanya bersama David Foster yang terkenal dengan ratusan lagu hits ciptaannya.
Menurut Raisa, kali pertama persembahan bersama David Foster pada usianya baharu mencecah 21 tahun. Sudah tentu pada persembahan pertama, Raisa agak gugup apatah lagi iringan muzik oleh legenda dalam bidang muzik.
Namun, pada persembahan kali ini, isteri kepada Hamish Daud ini tampil lebih berkeyakinan diri dan menyampaikan lagu ciptaan David Foster, Un Break My Heart dengan baik sekali. Selain itu, Raisa turut berpeluang berduet dengan Michael Bolton menerusi lagu The Prayer ciptaan David Foster yang dipopulatkan oleh Celine Dion dan Andrea Bocelli.
Raisa turut mendendangkan lagu Bahasa Kalbu ciptaan Andi Rianto sambil diiringi oleh David Foster.
“Indonesia, Take Care Of This Girl, She’s A National Treasure,” ujar David Foster sejurus Raisa mendendangkan lagu Bahasa Kalbu yang pernah dipopularkan oleh TT DJ.
Raisa turut berduet dengan penyanyi lain seperti Peabo Bryson, Loren Allred dan Dira Sugandi yang menggantikan Katharine McPhee yang terpaksa pulang ke Amerika Syarikat kerana mempunyai urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan.
Terdahulu, konsert jelajah Asia HITMAN – DAVID FOSTER and FRIENDS telah mengadakan persembahan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu di mana penyanyi nombor satu negara, Dato Seri Siti Nurhaliza telah menjadi artis jemputan untuk konsert tersebut. Malah Siti Nurhaliza turut menjadi artis jemputan di konsert Hitman David Foster & Friends di Singapura 9 Ogos lalu.
Pada usia 31 tahun, Raisa dilihat telah banyak mememangi anugerah, menghiasi muka depan majalah terkenal dan mencipta muzik yang sentiasa mendapat tempat di hati pendengarnya. Biarpun sudah sedekad, Raisa sentiasa menampilkan karya terbaik yang menjadi penanda aras kepada bakal pelapis industri muzik dan hiburan.
Anak kepada pasangan Allan N. Rachman dan Ria Mariaty sememangnya berbakat dalam membawakan pelbagai genre muzik bermula dari Pop, Jazz, R&B dan Soul. Isteri kepada pelakon Hamish Daud, Raisa Andriana telah menjadi simbol wanita ideal yang menjadi contoh wanita yang sukses di karier dan keluarga. Raisa juga mempunyai kebolehan menguruskan beberapa bidang perniagaan yang laris di Indonesia di mana Raisa memiliki dua restoran Cipete, Jakarta Selatan dan Titik Temu di Seminyak, Bali.