Hujung Jun lalu pastinya menjadi detik bermakna bukan saja bagi Nourul Depp tetapi juga anaknya, Ayu Nazirah. Berkat kerja keras menamatkan pengajian di peringkat universiti, akhirnya Ayu berjaya menggenggam ijazah dan lebih manis dengan meraih keputusan cemerlang.
Nourul sebagai ibu sudah tentu berbangga dengan kejayaan Ayu. Apatah lagi dia melihat betapa anak gadisnya itu ‘berjuang’ memberikan yang terbaik dalam pelajaran selepas melalui bermacam-macam pengalaman hidup sejak dia berusia lapan tahun lagi.
Pujian memang patut diberikan kepada ibu dan anak ini kerana saling memberikan yang terbaik di antara satu sama lain. Tahniah Nourul dan Ayu!
29 Jun lalu, Ayu Nazirah Mohd Faizal menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains dan Pengurusan Sumber Haiwan), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Majlis Konvokesyen Komemoratif.
Nourul di Instagram miliknya meluahkan rasa sebak dan syukur kerana berpeluang melihat kejayaan anak tersayang. “Betapa bangganya mama melihat kamu dalam jubah konvokesyen. Untuk gadis yang paling bertuah di dunia, untuk cinta pertamaku, kamu berhak memperoleh yang terbaik di dalam dunia selepas apa yang kamu lalui.
Ayu telah melalui banyak perkara sejak berusia lapan tahun lagi. Namun dia berjaya mengharungi segalanya. Lebih kuat dan lebih baik. Jadi tegas tetapi bukan kurang ajar, berbuat baik untuk diri sendiri, berbuat baik kepada orang lain, sentiasa berbuat baik. Pilih menjadi baik dan sopan.”
Kebijaksanaan Ayu dalam pelajaran sering mendapat perhatian peminat ibunya sejak di bangku sekolah lagi. Ketika bergelar penuntut universiti, Ayu berjaya merangkul Anugerah Dekan UNIMAS sebanyak empat kali.
Malah gadis berusia 24 tahun ini juga memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.
Rata-rata rakan artis dan peminat Nourul turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah atas kejayaan pelajar pintar ini.
Ayu merupakan anak sulung daripada perkahwinan terdahulu Nourul dengan komposer terkenal, Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas.
This website uses cookies.