Diasaskan 28 tahun lepas, L’Oreal Malaysia terus melangkah memenuhi keperluan kecantikan rakyat Malaysia. Lebih dari sekadar berniaga, syarikat ini juga komited untuk meningkatkan impak sosio-ekonomi yang positif dengan memperkasakan wanita, membantu komuniti yang memerlukan, serta memacu komitmen kelestariannya.
Terbaharu, syarikat ini menyahut seruan kerajaan dalam kerjasama industri untuk menangani isu ketidakserasian kemahiran bakat dalam kalangan graduan hari ini dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama lima tahun dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV).
Memorandum Persefahaman itu bakal menyaksikan L’Oréal Malaysia dan TVET bekerjasama bagi memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk 17 kolej vokasional tempatan yang menawarkan pengkhususan dalam bidang kosmetologi.
Kerjasama ini menyasarkan untuk melatih pelajar kosmetologi yang dipersiapkan untuk masa depan keperluan pasaran kerja menerusi latihan dan peningkatan kemahiran, memudah cara pemindahan ilmu pengetahuan, serta menyediakan peluang latihan industri.
Dikenali menerusi 12 jenama ikonik dan berteknologi tinggi seperti L’Oréal Paris, L’Oréal Professionnel, Garnier, Maybelline New York, Lancôme, Yves Saint Laurent Beauty, Armani Beauty, Kiehl’s, shu uemura, IT Cosmetics, Kérastase dan La Roche-Posay, peluang untuk mendalami bidang kecantikan di kalangan rakyat tempatan kini terbuka luas.
“Dengan Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang dinamik antara Kementerian Pendidikan dan L’Oréal Malaysia, kami akan melaksanakan langkah-langkah bagi melengkapkan para guru dan graduan dengan kemahiran terkini dan menguasai kemajuan teknologi terbaru untuk menangani ketidakpadanan kemahiran dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Kami percaya bahawa kerjasama jangka panjang ini akan memberikan manfaat besar kepada pelajar dan guru kosmetologi kami, terutamanya dalam memastikan bahawa mereka mempunyai kemahiran dan kepakaran yang memenuhi keperluan industri kecantikan. Kami turut memuji L’Oréal Malaysia kerana sokongan mereka.
Ini adalah kerjasama menang-menang untuk negara apabila sektor awam dan swasta saling berganding bahu. Kami juga berharap di masa depan, kerjasama ini turut merangkumi peluang untuk pelajar dalam bidang perniagaan kami mendapatkan ilmu pengetahuan dan latihan perniagaan yang tidak ternilai daripada industri kecantikan.” Zulkernai Fauzi
Selari dengan matlamat L’Oreal untuk Mencipta Kecantikan Yang Menggerakkan Dunia, Pengarah Urusannya iaitu Tomas Hruska tekad mengembangkan perniagaan mereka dengan cara yang bertanggungjawab, mampan dan inklusif.
“Kami percaya bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan hanya diukur pada prestasi ekonomi sahaja, ini kerana sumbangan dari segi sosial dan alam sekitar juga adalah penting.
Kerjasama kami selama lima tahun dengan Kementerian Pendidikan Malaysia menjadi bukti komitmen kami dalam membantu komuniti dan memperkasakan industri dengan bakat-bakat yang berkemahiran.” Tomas Hruska
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/margot-robbie-sebagai-barbie-manusia-bongkar-rahsia-cantik-cuma-suka-ketawa-tidur/
This website uses cookies.