Penyanyi dan aktivis terkenal kelahiran Ireland Sinead O’Connor dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 56 tahun.
Berita pemergian pelantun lagu ‘Nothing Compares 2 U’ itu diumumkan ahli keluarganya dalam satu kenyataan pada Rabu. “Dengan dukacitanya kami ingin mengumumkan Sinead telah meninggal dunia.
“Ahli keluarganya dan rakan-rakan amat bersedih dan meminta tidak diganggu ketika ini,” tambah kenyataan itu.
Sinead O’Connor atau nama Islamnya, Shuhada’ Sadaqat mula menempa nama dalam carta muzik global pada era 90-an.
Dia paling dikenali menerusi lagu ‘Nothing Compares 2 U’ yang ditulis oleh Prince dan dikeluarkan pada tahun 1990 berjaya menembusi carta utama dunia sekali gus dinobatkan sebagai single nombor satu dunia oleh Billboard Music Awards.
Selain itu majalah Rolling Stones menyenaraikan lagu tersebut di tempat ke-165 dalam senarai 500 lagu terbaik sepanjang zaman. Beliau juga mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama yang memenangi video muzik terbaik di Anugerah Music Television Awards (MTV) pada tahun 1990 menerusio video muzik ‘Nothing Compares 2 U’.
Selain itu Sinead juga terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan hak asasi manusi termasuk persembahan kontroversi di Saturday Night Live pada tahun 1992 sebagai tanda protes terhadap penderaan seksual kanak-kanak di gereja Katolik.
Sinead memeluk agama Islam pada tahun 2018 dan menukar namanya kepada Shuhada’ Sadaqat namun meneruskan persembahan menggunakan nama kelahirannya.
Beliau turut mengeluarkan memoir berjudul Rememberings pada tahun 2021.
Sebelum ini Sinead dimasukkan ke hospital seminggu selepas anak lelakinya meninggal dunia pada awal tahun 2022.
Beliau mengakui amat sedih dengan kematian anak lelakinya, Shane, 17 dan turut menyatakan hasrat menerusi Twitter untuk ‘mengikuti jejak’ anaknya.
Sumber: Astro Awani
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
This website uses cookies.