Patutlah sering menjadi buruan syarikat iklan, memang cantik dan ayu sangat orangnya! Walau bukan berbangsa Melayu tetapi Sufya Subashni Nair Balen cukup fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan. Malah, dia juga memiliki nilai ketimuran yang tinggi. Seorang wanita yang sopan dan lemah-lembut dalam berbicara. Mengenali personaliti cantik ini, Sufya yang lebih mesra disapa sebagai Su seorang yang tenang dalam menempuhi liku hidup. Setenang raut wajahnya. Bahkan sepanjang pernah bekerjasama dengan Su sangat menyenangkan. Barangkali kerana wanita ini sudah terbiasa dengan budaya kerja yang memerlukannya bertindak tenang ketika bertugas sebagai krew kabin penerbangan.
Mengulas kerjaya di awan biru yang diceburi sejak hampir dua dekad lalu, Su menjelaskan menjadi pramugari adalah cita-citanya dari kecil. “Menjadi pramugari adalah childhood dream saya. Selepas tamat persekolahan Tingkatan 5 memang saya teringin sangat hendak memohon pekerjaan ini. Tapi kerana parent mahu saya sambung belajar dulu, saya terpaksa akur dan melupakan hasrat tersebut seketika.
Sudahnya, saya ambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di Malaysia Institute of Integrative Media, MIIM yang dikenali sebagai Akademi TV3 dalam jurusan Diploma Kewartawanan. Pada tahun akhir pengajian sekitar 2002, saya nekad menghadiri temu duga pramugari MAS di sebuah hotel di Melaka. Ketika itu saya baru berusia 22 tahun dan alhamdulillah, saya lulus semua peringkat ujian sekaligus terpilih mengikuti latihan di Akademi MAS selama 4 bulan di Kelana Jaya.
Saya bekerja sebagai pramugari sejak umur 22 tahun bermula dari April 2003 sampai Mei 2020. Selama 12 tahun saya bertugas sebagai pramugari di Malaysia Airlines System dan kemudian di Suasa Airlines untuk setahun. Seterusnya kembali ke Malaysia Airlines Berhad dari tahun 2018 hingga tahun lepas. Menariknya kerjaya sebagai pramugari, kami menerima latihan penuh yang sungguh membanggakan. Kami dilatih menjadi doktor, bomba, polis selain mengenali food and beverages.
Kami juga penyelamat dalam segala situasi yang berlaku dalam ‘burung besi’ itu.Bercerita tentang kenangan yang tak dapat dilupakan ketika bertugas sebagai pramugari adalah apabila kami yang tak pernah kenal di antara satu sama lain dapat bertoleransi dan jadi satu keluarga kecil apabila ‘terbang’ bersama. Sebab kami semua berada dalam ‘burung besi’ yang terputus tali dari keluarga tercinta dan dunia luar. We only have each other.
Dalam erti kata lain, tugas menjaga penumpang adalah keutamaan kami di dalam setiap penerbangan dan mereka ibarat keluarga kami sendiri. Saya seronok dan bersyukur kerana dapat menimba pelbagai pengalaman sebab bukan semua orang dapat merasai pengalaman sebegini. Walau sedih berjauhan dari keluarga ketika bertugas tapi pengalaman kerjaya ini turut tersimpan bermacam-macam keindahan.”
Tambahnya lagi, “Being a crew memang banyak dugaan lebih-lebih lagi being away from family. Kalau ada kecemasan melibatkan ahli keluarga kebiasannya saya jarang dapat melawat atau teman mereka. Pernah suatu masa dulu, waktu saya mengikuti penerbangan ke Stockholm, New York selama hampir 2 minggu. In the midst of the trip saya dapat SMS daripada keluarga yang abang saya mengalami kemalangan teruk. I was so sad and lost.
Tak tentu arah dibuatnya sebab kapal terbang ke KL lagi 3 hari. Ikutkan hati memang mahu saja terbang balik ke rumah, tapi sebab tanggungjawab kerja terpaksa juga cekalkan diri. Mahu atau tidak, hanya rakan setugas jadi tempat saya mengadu. Dan mereka jugalah yang banyak memberi semangat.
Bila sudah berkahwin dan ada anak, situasi sama juga yang harus saya lalui. Sebagai ibu, saya sepatutnya yang jaga anak apabila mereka demam tapi terpaksa pergi kerja pula. Hendak tahu perkembangan anak pun kena tunggu sampai mendarat baru boleh telefon. Luaran memang nampak macam tak ada apa-apa dan tenang saja layan dan jaga keselamatan penumpang tapi dalam hati hanya Tuhan tahu,” bicaranya penuh semangat.
Rentetan keadaan pandemik Covid-19 yang menjejaskan industri penerbangan, Su terpaksa akur menamatkan perkhidmatan sebagai pramugari di Malaysia Airlines Berhad pada Mei tahun lepas. Enggan sekadar duduk di rumah dan mahu mencari pendapatan sendiri, Su kembali mencari peluang pekerjaan baharu dan kini dia merupakan eksekutif di sebuah syarikat farmaseutikal.
Dalam masa sama, dia turut aktif sebagai model sambilan untuk iklan komersial. Memang selalu nampak wajah cantik Su di kaca televisyen mahupun iklan di media cetak. Tidak cukup dengan itu, Su turut mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual aneka jenis dessert seperti cream puff, almond chocolate dan sambal hitam.
Berkongsi sisi peribadi dan salasilah diri, ibu dua anak ini tanpa berselindung mengakui mewarisi darah kacukan dari kedua-dua belah ibu bapa tersayang. “Iya, saya mempunyai darah campuran India (Malayam) dari bapa. Ibu saya pula berketurunan Cina (Hokkien) dari Melaka. Kerjaya sebagai model pula, saya sudah lama berjinak dalam dunia pengiklanan. Bermula dari zaman kolej pada usia 18 tahun sehinggalah sekarang dah beranak dua. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang Allah beri dengan mengurniakan sepasang anak yang sangat menjadi kebanggaan keluarga. Anak saya ini boleh dikatakan anak ‘Satu Malaysia’ sebab mereka bukan je ada darah keturunan India, malah mewarisi keturunan Cina dan Melayu.”
Bercerita tentang rejim kecantikan jelitawan ini, tidak dinafikan Su kekal kelihatan awet muda. Kalau tengok susuk tubuh dan raut wajahnya, macam tak makan dek usia. Walhal, tahun ini dia meniti usia 40 tahun. Tersenyum manis saat kecantikan dirinya menjadi bualan, isteri kepada Shan Irwan Sallehudin ini mengakui dia tidak terlalu obses menjaga penampilan sebaliknya hanya mengamalkan rutin normal seperti wanita lain.
“Menjaga kesihatan diri adalah penting bagi saya kerana bila kesihatan terjaga barulah saya boleh menjaga anak-anak dan keluarga dengan baik. Penjagaan yang saya amalkan sebenarnya biasa saja. Seperti tidak ambil minuman sejuk dan berkarbonat. Selain menjaga diet seimbang, saya juga sangat mengutamakan penjagaan diri selepas bersalin. Memang saya ikut amalan orang dulu-dulu yang berpantang selama 100 hari dan banyakkan minum air suam.
Soal kecantikan, saya amat bersyukur dengan pinjaman yang Allah berikan. Menyentuh penjagaan dan rutin harian, saya cuma akan pastikan membersih muka dengan air sekurang-kurangnya setiap kali mengambil wuduk. Penjagaan kulit muka biasa saja, pakai pelembap, sunblock dan krim malam. Itu sahaja.”
Mula memeluk Islam ketika berusia 20an, Su mengakui tertarik mendalami agama suci ini sebelum dia mendirikan rumah tangga. Apatah lagi, sejak remaja lagi dia bergaul rapat dengan kawan-kawan Melayu di sekelilingnya. Petunjuk Allah SWT datang tanpa diduga. Membesar dengan persekitaran dan bergaul rapat dengan masyarakat Melayu telah banyak mempengaruhi cara hidup Sufya. Sejak zaman persekolahan sehinggalah bekerja, kehidupannya dikelilingi dengan budaya Melayu dan ajaran Islam. Tanpa berselindung, wanita ini mengakui dia cukup terkesan melihat keindahan Islam.
“Tanggal 17 Jun 2005 sambil ditemani suami yang ketika itu kenalan rapat, dia bersama ibu bapa serta bapa saudaranya telah membawa saya ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Kuala Lumpur untuk mengucap dua kalimah syahadah. Tiada paksaan daripada mana-mana pihak kerana memeluk Islam adalah pilihan saya sendiri.
Memang dari kecil ketika saya tinggal bersama datuk dan nenek di Negeri Sembilan, saya sudah biasa hidup dalam kejiranan yang majoritinya berbangsa Melayu. Bahkan ketika masih di bangku sekolah rendah, saya turut mengikuti subjek Pendidikan Islam.
Pendek kata, cara hidup saya sama seperti orang Melayu bezanya cuma kami berlainan agama. Keputusan untuk memeluk Islam dibuat tanpa pengetahuan keluarga. Pada mulanya, mereka agak keberatan untuk terima hakikat. Tetapi lama-kelamaan, mereka sedar dan menerima saya seadanya,” jelas model iklan komersial yang pernah menghiasi kempen produk Nestle, Fair & Lovely, MAS dan McDonalds ini.
Dua tahun bergelar mualaf dan mendalami Islam, Sufya akhirnya dilamar Shan Irwan. Perkenalan bersama jejaka Melayu yang dikenalinya sejak menuntut bersama pada tahun 2000 membawa ke jenjang pelamin.
“Saya kenal dengan suami ketika masih muda lagi. Waktu tu tahun 2000 dan saya baru berumur 19 tahun. Kami sama-sama belajar di Kolej ATV3 dan dia adalah cinta pertama saya. 7 tahun mengenali hati budi masing-masing, kami sepakat mendirikan rumah tangga pada tahun 2007 semasa berusia 28 tahun. Alhamdulillah masuk 14 tahun kami berkahwin dan masih lagi dalam alam percintaan. InshaAllah more years to come. Aamiin.”
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata comel iaitu Shaisha Irna Shan Irwan yang kini berusia 12 tahun dan Shahir Issa Shan Irwan, 7 tahun.
Kredit foto: Instagram Sufya Subashni
This website uses cookies.