Buat Nora Ariffin atau nama sebenarnya Wan Noraafiza Ariffiin, beliau mempunyai cara yang tersendiri untuk mengubati kerinduan terhadap kehilangan suami tercinta, Allahyarham Johan Nawawi pada 24 Mac tahun lalu akibat serangan jantung. Tidak semua wanita akan kuat dan tabah untuk menyembunyikan rahsia hati tentang betapa tersiksanya merindu. Namun, buat penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema ini, beliau selesa untuk meluahkan isi hatinya di laman instagram bukan untuk meraih simpati, tapi untuk melepaskan kerinduan.
BACA: Ubati Kerinduan, Jubah Arwah Suami Jadi Peneman NORA ARIFFIN Tiap Malam!
Bagi meredakan kerinduan, Nora kerap menceritakan memori kehidupan bersama arwah semasa hayat mereka bersama. Dalam perkongsian terbaharu, melihatkan Nora menerima pemergiaan Allahyarham Johan dengan menjadikan ia sebagai satu pengalaman berharga yang mengajar beliau untuk lebih memahami apa itu erti kehidupan sebenar.
“Sesungguhnya pemergian Johan telah banyak mengajar saya erti kehidupan, hakikat dan takdir hidup yang sebenarnya. Saya tak pernah terfikir dia akan pergi begitu cepat. Saya belum bersedia…”, tulis penyanyi yang bersuara lunak ini di laman instagram yang menyentuh hati ramai orang.
Bahkan, Nora turut berkongsi pemergian dua orang lelaki terpenting dalam hidupnya berlaku pada saat dia sedang dahagakan kasih sayang seorang ayah dan ketika sedang mengecapi kebahagiaan perkahwinan bersama suami.
“Ayah saya meninggal sewaktu saya berumur 15 tahun dikala waktu remaja yang perlukan perhatian dan kasih sayang seorang ayah. Johan pula pergi sewaktu kami sedang bahagia dan merancang untuk anniversary
perkahwinan yang ke 25 tahun. Rindu memang tidak terkata. Kita hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukannya”.“Hingga kini, pelbagai cabaran dan dugaan yang harus ditempuhi. Saya tiada pilihan kerana semuanya harus diredah dengan penuh ketabahan dan senyuman untuk menutup segala keperitan. Demi anak-anak saya harus kuat dan saya tidak pernah mengharapkan bantuan sesiapa pun apa lagi untuk meraih simpati.
Cukup Allah bersama saya. Apa orang nak kata, katalah. Saya tak kisah kerana mereka berhak berkata dan menulis apa sahaja. Lagipun, mereka tidak ada di tempat saya dan tak tahu bagaimana rasanya. Saya sudah maafkan semua.
Terima kasih buat semua sahabat dan peminat yang sentiasa positif, sentiasa memahami dan sering membantu saya dalam apa keadaan sekalipun. Doa yang baik-baik untuk saya dan keluarga”, jelasnya lagi.
Kehilangan seseroang yang kita sayangi merupakan satu perkara yang amat sukar untuk kita lalui. Terlalu banyak kenangan indah yang dilalui bersama dan pasti sukar juga untuk dilupakan. NONA mengharapkan agar Nora sentiasa tabah menghadapi ujian ini. Teruskan lah menulis jika dengan cara ini dapat mengubat rasa rindu Nora kepada arwah suami. Al-Fatihah.
sumber foto: Instagram @itsnoraariffin
This website uses cookies.