Inspirasi

Pemilik Kanta Lekap Temylens Pentingkan Cantik & Selesa, Bermula 20 Pasang, Kini Terjual Lebih 200,000

Pemilik kanta lekap Temylens pentingkan cantik & selesa pada pelanggan, bermula 20 pasang, kini terjual lebih 200,000. Pemilik Temylens ini antara usahawan wanita yang berjaya mencipta nama dalam dunia perniagaan.

Menurut Fatin Ameerah Zaabar atau mesra disapa Temy, dirinya memulakan perniagaan Temylens sekitar dua tahun lalu, selain turut mengusahakan jenama Temyracle dan Bows & Ribbons.

Berusia 33 tahun, Temy membuka kisah bagaimana bermulanya perjalanan perniagaan berasaskan contact lens atau kanta lekap berwarna. “Awalnya saya memakai contact lens untuk diri sendiri. Tapi ramai yang bertanya di mana saya beli kerana kata mereka contact lens saya pakai nampak cantik seperti mata asli selain selesa dan boleh dipakai dalam tempoh masa panjang.

“Bermula 20 Pasang Kanta Lekap Kini Terjual Lebih 200,000

Dari situ saya mendapat idea, kenapa tidak saya cuba menjualnya. Alhamdulillah, bila saya memulakan perniagaan lens ini dengan 18 warna pilihan yang cantik, sambutan dari orang ramai sangat menggalakkan.

Fatin Amirah Zaabar yang juga pemilik syarikat Temyracle Sdn Bhd menerima anugerah di malam penghargaan Nona Superwoman Award 2024.

Bermula dengan hanya 20 pasang, akhirnya mampu terjual lebih daripada 200,000 pasang.  Ramai mengakui suka akan contact lens berjenama Temylens. Terletak cantik dan sesuai dengan mata orang Asia. Harganya pula berpatutan iaitu RM29 sahaja,” katanya sambil menambah bahawa dirinya sangat menekankan tiga elemen iaitu keselesaan, cantik dan memberi keyakinan diri bila memakainya.

Pemilik Temylens Pentingkan Selesa & Cantik Pada Pelanggan

“Temy selalu meletakkan diri Temy sebagai pengguna. Kita biasanya mahukan sesuatu yang selesa bila pakai contact lens. Ya, contact lens Temy ini sangat selesa, boleh tahan berjam-jam penggunaan tanpa membuatkan mata jadi pedih atau merah. Water contentnya sebanyak 38 peratus.

Keduanya, cantik. Pengguna contact lens semestinya mahu nampak mata lebih cantik. Temy selalu tanya feedback pelanggan bila mereka beli dan pakai. Kata mereka contact lens ini sesuai dipadankan dengan pelbagai pakaian. Nampak asli sangat dengan mata orang Asia.

Dan terakhir rasa keyakinan saat memakai contact lens ini. Ramai pembeli akan repeat order kerana tahap keyakinan diri mereka  tinggi bila menggunakannya tambahan harga pula tak terlalu mahal dan mampu milik. Tapi sebenarnya ia bukan berkisar kepada berapa nilai kita beli tapi selesa bila memakainya, itu paling penting,” katanya lagi.

Aura Cik Siti Wan Kembang pastinya mengalir dalam semangat wanita Kelantan. Ketokohan lagenda wanita yang memerintah negeri Serambi Makkah sekitar 1610 sehingga 1677 Masihi cukup diingati.

Tidak hanya cantik tapi auranya sudah cukup memberikan inspirasi kepada wanita-wanita Kelantan yang banyak membangunkan ekonomi keluarga hari ini. Lihatlah saja kemeriahan Pasar Siti Khadijah yang memenuhi setiap ruang pasar, banyak juga founder berjaya berasal dari negeri di Pantai Timur ini.

Dalam melebarkan sayap perniagaan, Temy memaklumkan syarikat miliknya baru saja mendapat lesen Establishment iaitu Medical Device Autority (MDA) yang membolehkan Temylens dipasarkan ke kedai-kedai optical seluruh negara.

“Sebenarnya tak banyak syarikat tempatan memiliki lesen MDA ini. Kenapa kami usahakan mendapatkan MDA ini ialah kerana produk Temylens bukan produk biasa-biasa yang dijual di Uptown atau pasar malam sebaliknya syarikat tempatan mampu bersaing dengan brand berjenama di pasaran. Insya Allah kita mahu melebarkan sayap ke Indonesia, Singapura dan Brunei,” ujar Temy dengan yakin.

Temy turut memaklumkan dirinya hanya mengekalkan 18 warna pilihan seperti brownies, sesame, jasmin, tiramisu, pistachio, kunafa dan banyak lagi buat masa ini dan pada masa akan datang pilihan warna tak akan melebihi 20.

“Kalau ikut katalog di pihak pembekal, ada beribu warna sampai rambang mata dibuatnya. Bermacam warna termasuk lens bercorak. Tapi untuk Temylens ini, saya hanya pilih warna sesuai dengan kehendak pasaran. Alhamdulillah pembeli suka dan mengulang beli termasuk ada yang membeli ke semua warna saya jual,” kata wanita jelita itu yang kini sedang sarat berbadan dua.

Tidak mudah bergelar ahli perniagaan. Ada banyak cabaran dan ujian perlu dihadapi terutama melibatkan orang ramai. Turun naik dan pasang surut adat berniaga, ditambah berlaku lambakan produk di pasaran.

“Temy bukan bermula dengan Temylens semata. 12 tahun dulu Temy dah berniaga skrub, skin care iaitu Temyracle tapi orang mahukan result cepat. Jadi Temy nampak peluang Temylens ini kerana resultnya nampak depan mata berbanding skrub yang perlukan masa.

Berbeza dengan kosmetik atau penjagaan badan. Resultnya mengambil masa untuk dibuktikan keberkesanannya. Dalam masa yang sama, kita kena buat penyelidikan & pembangunan (R&D) produk. Temy sendiri pastikan setiap produk dihasilkan, Temy guna dahulu. Dah guna dan yakin baru jual. Jadi semua itu memerlukan masa yang panjang tapi serentak itu, kita tak boleh mengalah.

BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI : #KuasaWanita: Kenali 5 Menteri Wanita Hebat Dan Berpengaruh Dalam Kerajaan Perpaduan!

“Saya Bukan Lahir Dalam Dulang Emas” Anak Peniaga Pasar Malam Ini Antara 10 Wanita Hebat Di ASEAN

Kenali Personaliti ANTONELA ROCCUZZO Wanita Hebat Di Sebalik Kejayaan Lionel Messi

Temy bersama suami yang turut sama membantu perniagaan diusahakan mereka.

Begitu juga ketika perniagaan kita maju, kena ada simpanan secukupnya. Tak ketinggalan kos operasi, kena ada cash flow lebih daripada enam bulan untuk kekal bertahan. Temy ingat lagi, bertahun-tahun, Temy gunakan Myvi sampai ada orang tanya founder pakai Myvi saja ke? Itu belum lagi cabaran diuji produk rosak sampai kita rugi banyak. Tapi sebagai usahawan, kita tetap kena sabar dan jalan terus, Berniaga ini memang memerlukan kesabaran tinggi kerana ujiannya besar tapi nikmatnya juga besar.

Temy sendiri kuatkan semangat dan jalan terus. Alhamdulilah, saat ada syarikat yang ditutup akibat COVID-19, syarikat Temy bertahan dan mampu bayar gaji pekerja tanpa terjejas. Alhamdulillah juga, beberapa tahun ini kami upgrade kepada kereta yang lebih selesa. Itupun bukan pakai sebab nak nampak mewah tapi inginkan keselesaan buat anak-anak dan keluarga. Bahkan simpanan juga terus digandakan.”

Temy mengakui arus perubahan terutama ‘teknik pemasaran’ yang berbeza adalah cabaran bagi peniaga sepertinya. “Marketing trend ini tak sama seperti dulu. Dulu kita boleh menjual di Facebook tapi hari ini paling laju di TikTok. Orang pula sentiasa mahukan barangan dibeli cepat sampai. Jadi kena pos segera pesanan pelanggan. Bila permintaan tinggi pula, kita tak boleh supply. Jadi semua ini adalah cabaran dalam perniagaan. Pendek kata kena peka dengan semua situasi,” katanya.

Memasang impian mahu melangkah jauh meneroka dalam dunia perniagaan, Temy akui dia dan pasangan hidupnya, Muhammad Faris Ramli, 33 sedang meneroka Temylens ke pasaran Indonesia. “Kini kami sedang mengusahakan perkara ini dan saya nampak ada peluang itu. Tambahan pula rakyat di negara jiran sangat ramai. Insya Allah, semoga suatu hari nanti produk Temylens akan menembusi pasaran Indonesia, doakan ya,” katanya sambil mengukir senyuman manis.

Sejak kecil, Temy akui sudah membaca majalah Nona dan cukup teruja menjadi sebahagian penerima anugerah Nona Superwoman Award buat kali keempat ini. “Mak saya sering membeli majalah sejak saya kecil lagi. Masa tu apa saja petua kecantikan, kita jadi teruja membaca dan mempercayainya. Memandangkan majalah ini jadi pilihan ramai wanita, produk yang Temy jual juga berkaitan wanita, jadi ia satu platform terbaik untuk kembangkan perniagaan,” akhiri Temy penuh makna.

 

 

Share
Published by
Almaswa Haji Che Ros