EKSKLUSIF! Datuk Sheila Majid Bakal Buat Kejutan Di Konsert Padi Reborn Live In Kuala Lumpur

Bakal menghiburkan peminat sempena Konsert Padi Reborn Live In Kuala Lumpur pada 3 Disember, kumpulan popular dari Indonesia, Padi melahirkan rasa teruja apabila bakal berkongsi pentas dengan penyanyi kesayangan ramai, Datuk Sheila Majid. Pelantun lagu Antara Anyir Dan Jakarta itu diundang sebagai penyanyi jemputan sempena konsert berkenaan.


Menurut pengasas yang juga pemain gitar utama Padi Reborn, Piyu, pemilihan penyanyi lagenda berusia 57 tahun ini amat bersesuaian dengan taraf legenda yang diberikan kepada penyanyi lagu Sinaran itu. Malah, beliau merupakan penyanyi yang popular bukan sahaja di tanahair, malah terkenal di Indonesia.

“Sheila Majid merupakan penyanyi legenda Malaysia. Kami juga merupakan antara jutaan peminatnya. Malah, persembahan ini nanti adalah sesuatu yang baru buat kami juga. Walaupun kami pernah berkolaborasi bersama pada 2005 menerusi lagu Antara Anyer Dan Jakarta di Indonesia, tetapi persembahan tersebut merupakan persembahan tertutup.

Kemudian, sekali lagi pada 2018 pada acara sambutan tahun baru di sebuah stesen TV di Indonesia. Kali ini, pada skala besar, kami akan berkongsi pentas bersama penyanyi lagenda ini sebagai hadiah untuk para peminat di Malaysia.”

Katanya lagi, pada konsert ini nanti Padi Reborn akan menyampaikan lagu hits Sheila dan bersama-sama menyanyikan lagu Padi Reborn. Lagu apa yang bakal dipersembahkan secara duet, ia bakal menjadi kejutan untuk para peminat.

Terdahulu, Padi Reborn yang dianggotai oleh Piyu, Fadly (penyanyi), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram) ditemui pada sesi temu bual secara virtual sempena Padi Reborn 25 Tahun Live in Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi Datuk Sheila Majid pula, dia amat berbesar hati dan terharu kerana dijemput bagi menjayakan konsert tersebut.

“Saya rasa amat berbesar hati dan terharu dijemput sebagai penyanyi undangan oleh pihak Padi Reborn dan penganjur, Qew Comm untuk sama-sama meraikan ulang tahun ke-25 mereka pada Konsert Padi Reborn 25 Years Live In Kuala Lumpur tidak lama lagi.

“Seingat saya, kami belum pernah berkolaborasi dalam mana-mana konsert atau persembahan namun pernah berkongsi pentas yang sama dalam sebuah acara tahun baru di Yogyakarta pada 2018.

“Saya berharap peminat akan dapat datang dan sama-sama menyaksikan kerjasama perdana kami dalam konsert ini. Mengenai lagu, perlu tunggu dan lihat kerana ini juga elemen kejutan buat peminat. Sekali lagi, terima kasih saya ucapkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Qew Comm, Datin Rahizahwati Yahya selaku penganjur berkongsi tiket menyaksikan konsert itu sudah lebih separuh terjual.

“Alhamdulillah, jualan tiket dah lebih separuh terjual. Kami mengharapkan sehingga konsert ini berjalan, penjualan akan lebih banyak. Sebenarnya, untuk sambutan berpecah ke konsert lain, kami percaya konsert ini ada sesuatu yang istimewa,” katanya.

Kumpulan yang popular dengan lagu Kasih Tak Sampai ini ditubuhkan pada tahun 1997, pernah mengadakan konsert perdana mereka Padi Reborn Exclusive Live In KL 30 Jun 2018. Atas sambutan hangat di kalangan peminat Malaysia, kali ini mereka menjanjikan persembahan yang bertenaga bagi mengubat kerinduan para peminat di Malaysia. Selain itu, kumpulan ini juga pernah berkolaborasi dalam pembikinan lagu Sahabat Selamanya sebagai runut bunyi bagi filem animasi Upin & Ipin pada tahun 2013.

Share
Published by
Rosmah Idayu