Pempengaruh, Usahawan Digital, Usah Culas Bayar Cukai!

Sejak kebelakangan ini,terdapat Kecenderungan anak muda memilih kerjaya sebagai pempengaruh di laman sosial. Ia semakin menjadi pilihan apatah lagi dalam  keadaan semasa dan fenomena hari ini yang menyebabkan bidang kerjaya itu menjadi pilihan anak muda.

Namun begitu, tahukah anda, kerajaan berpotensi kehilangan sehingga RM2 bilion setiap tahun berikutan masih ada pempengaruh dan usahawan digital yang culas membayar cukai pendapatan meskipun meraih pendapatan lumayan menerusi platform maya.

Memetik sumber Berita Harian, Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak, berkata jumlah berkenaan tidak mustahil memandangkan sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, model perniagaan inovatif berkenaan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

Katanya lagi, perkembangan positif dalam perniagaan maya, termasuk pekerjaan sebagai pempengaruh turut disokong peralihan dalam tabiat membeli-belah rakyat yang kini lebih memilih pembelian secara dalam talian.

Ini kerana pembelian dalam talian lebih mudah, cepat, kos lebih rendah dan mengurangkan pergerakan fizikal berbanding cara konvensional.

“Dianggarkan kerajaan kehilangan sekitar RM1 bilion hingga RM2 bilion setahun disebabkan perkara ini. Sememangnya, ramai yang melaksanakan perniagaan secara dalam talian menggunakan pelbagai platform.

“Ia belum termasuk lagi pempengaruh yang meraih pendapatan lumayan menerusi media sosial,” katanya.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mula memantau platform media sosial dan e-dagang milik pempengaruh serta usahawan digital setiap hari untuk mengesan dan memastikan golongan terbabit tidak ‘lari’ daripada membayar cukai.

Menurut agensi percukaian itu, pemantauan dibuat menerusi Seksyen Audit Ekonomi Digital, unit khas yang ditubuhkan baru-baru ini khusus untuk memantau aktiviti pempengaruh dan usahawan digital yang didakwa hidup mewah tetapi tidak membayar cukai.

Antara yang dipantau LHDN adalah aktiviti perniagaan pengasas produk kosmetik, peniaga mata wang asing, mata wang kripto, emas, pempengaruh, Tiktoker, Instafamous, YouTuber dan pekerja ekonomi gig.

Sebelum ini, ada banyak dakwaan dan laporan media mengenai pempengaruh dan usahawan dalam talian yang dikatakan suka menunjukkan kemewahan, namun bukan semua membayar cukai.

Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur dipetik sebagai berkata, melalui aktiviti pemantauan secara harian itu, pihaknya yakin dapat mengenal pasti pempengaruh dan usahawan digital yang tidak patuh kepada undang-undang percukaian.

LHDN juga melaksanakan inisiatif dikenali ‘nudging’, yang mana Seksyen Audit Ekonomi Digital akan memberi peringatan berhubung tanggungjawab pembayar cukai di ruangan komen media sosial milik pempengaruh dan usahawan digital yang dikenal pasti ‘lari’ daripada membayar cukai.

Agensi percukaian negara itu juga menganjurkan pelbagai aktiviti untuk memberi pendedahan dan kesedaran berkenaan kepentingan cukai kepada negara.

 

Share
Published by
Rosmah Idayu