Penampilan CHE PUAN SOFIE Berselendang & Berbaju Kurung Curi Perhatian Rakyat KELANTAN!

Sejuk mata memandang penampilan suri hati Tengku Mahkota Kelantan, Yang Amat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson ketika bertemu masyarakat baru-baru ini. Meskipun belum sampai lima hari menjadi isteri kepada Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra… namun Che Puan Sofie bijak menyesuaikan diri dan tampil menawan di hadapan khalayak.

Lebih manis, penampilan sopannya menggayakan persalinan tradisional baju kurung biru dan berselendang polos warna senada mencuri perhatian ramai.

Bukan saja dalam kalangan rakyat Kelantan bahkan seluruh rakyat Malaysia turut terpaku dengan gaya anggun penuh ketimuran milik Che Puan Sofie.

Biarpun masih bergelar pengantin baru, Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan tidak mengambil masa lama untuk membawa Che Puan Sofie menyelami kehidupan rakyat jelata dan membiasakan diri dengan keadaan di Kelantan.

23 April lepas, baginda berdua berkenan berangkat menziarahi pesakit ketumbuhan dalam kepala, Hakim Danial Razali di kediamannya di Kampung Bechah Temalang Delima, Wakaf Bharu, Tumpat.

Bersempena kunjungan diraja itu ke jajahan Tumpat, Che Puan Sofie turut mencuba bakat melukis corak batik semasa lawatan ke Pusat Batik & Kraftangan Ayu, Kampung Talak, Tumpat.

Keberangkatan baginda berdua diiringi Yang Amat Berhormat Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Haji Ahmad Yakob, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, Exco Kerajaan Negeri Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, ADUN Wakaf Bahru Haji Rusli Mohd dan beberapa pemimpin lain.

Sesungguhnya seluruh rakyat Kelantan teruja dengan kehadiran Che Puan Sofie kerana telah hampir 10 tahun negeri Kelantan Darul Naim bergantung kepada aura Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Kelima dan Tengku Mahkota sahaja.

Kini, dengan adanya Che Puan Sofie… keadaan lebih berseri dan ceria.

Pasangan diraja ini telah selamat melangsungkan pernikahan pada Jumaat malam, 19 April 2019 dalam suasana ringkas tetapi meriah yang diadakan secara tertutup di Istana Balai Besar Kota Bahru, Kelantan. Semoga Allah SWT memelihara rumah tangga Tengku Mahkota Kelantan dan Che Puan Sofie.

 

Sumber : Instagram Koleksi Sultan Muhammad V

 

Share
Published by
Suzi