Jika sebelum ini penyanyi lagu Hello, Adele telah mengemparkan seluruh peminatnya dengan penampilan baharu kini tiba pula giliran Rebel Wilson untuk membuat transformasi ke atas dirinya.
Siapa yang mengikuti perkembangan pelakon filem The Pitch Perfect ini sudah pasti ingat penampilannya yang terdahulu. Walaupun dahulu wanita ini yakin dengan penampilan dirinya namun kini lebih yakin dan gembira dengan perubahan hidupnya.
Khabarnya pelakon ini telah mengamalkan diet sihat yang dikenali sebagai Mayr Method dan bersenam bersama jurulatih peribadinya. Berbaloi sungguh azam yang diikrarkan oleh wanita berambut perang ini.
Rebel Wilson telah berikrar di awal tahun 2020 bahawa tahun itu merupakan “year of health” buat dirinya. Nyata, berkat keazamannya untuk perubahan yang baik, kini Rebel mampu tersenyum bangga.
Wanita yang berusia 41 tahun dan dilahirkan di Sydney, Australia turut mengaku bukan mudah untuk menjadi seperti sekarang. “Even if you have to crawl towards your goals, keep going x it will be worth it.
Try and give a little bit of effort each day…I know some days are frustrating as hell, you feel like giving up, you get annoyed at the lack of progress…but good things are coming your way what are your goals this year?” tulisnya di laman Instagramnya.
Semoga kejayaan Rebel Wilson ini boleh memberi inspirasi kepada seluruh peminatnya untuk menjalani gaya hidup sihat.
NEELOFA Kembali Jadi Hos, #BerseoranganBersama TUN M Dapat 85 Ribu Tontonan!
Satu lagi lakaran sejarah dan kejayaan dicatatkan oleh usahawan dan selebriti popular tanah air, Noor Neelofa Mohd Noor apabila program santai kelolaannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan menerima kehadiran bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed semalam (26 Mac 2020). Meskipun program yang sepatutnya bermula pada pukul 11 pagi itu terpaksa diawalkan setengah jam atas faktor tertentu, namun ia disifatkan berjaya kerana menerima jumlah tontonan seramai 85 ribu orang. Sekaligus mencipta rekod tontonan paling tinggi bagi program #BerseoranganBersama yang dihoskan Neelofa tersebut.
Bersiaran selama hampir 30 minit, kebanyakan soalan yang diajukan Neelofa kepada Tun Dr Mahathir diambil daripada soalan-soalan yang dikemukan oleh peminatnya di laman Instagram. Antara jawapan yang menarik perhatian sepanjang sesi tersebut ialah nasihat terbaik yang Tun Mahathir pernah terima dan sentiasa berbekas di hatinya.
Menurut tokoh negarawan itu, ia adalah nasihat daripada arwah ibunya. “Don’t overstay your welcome” merupakan salah satu sebab Tun Mahathir mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 pada Oktober 2003. Memandangkan dunia kini dilanda wabak Covid-19 termasuk di Malaysia, Tun Dr Mahathir turut menitipkan pesanan khususnya peniaga dan usahawan kecil yang terjejas dalam temubual berkenaan selain memberi cadangan kepada negara untuk mengekang penularan virus tersebut.
Lebih istimewa, Neelofa turut menerima pendedahan eksklusif daripada Tun Dr Mahathir yang mesra dengan panggilan Che Det mengenai sebab mengapa beliau gemar membawa buku nota kecil bersamanya. Jelas Tun M, “Kita mungkin boleh terlupa apa yang ada di fikiran. Tetapi apabila kita menulis, kita akan sentiasa ingat tentang perkara-perkara tertentu.”
Dalam pada itu, Tun Dr Mahathir turut memberikan nasihat supaya rakyat Malaysia sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah SWT.
“Kita negara yang sangat bertuah, kita kurang kena bencana alam sebab kita dikelilingi oleh Indonesia dan Filipina yang sentiasa menjadi benteng terhadap musibah. Jadi, apabila kita diserang Covid-19, kita kena bersatu hati, jangan panik dan melihat semua dengan positif. Sentiasa mendengar arahan pihak berwajib dan jaga disiplin,” pesan Tun M.
Ditanya mengenai idea penghasilan program bual bicara mini di Instagram Live ini, Neelofa berkata, “Saya rasa terpanggil untuk membantu Malaysia dalam memerangi Covid-19. Selain bantuan kewangan, saya rasa kita juga perlukan suara yang sentiasa mengingatkan dan memberi info berguna kepada rakyat Malaysia mengenai apa yang boleh kita lakukan secara bersama dalam memastikan kita mampu mengatasi masalah ini secara total. InsyaAllah, jika berpeluang saya akan perbanyakkan lagi sesi sebegini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.”
Sebelum ini #BerseoranganBersama turut menampilkan selebriti terkenal dalam dan luar negara seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dato’ Sri Rossa dan Nora Danish.
Rezeki Hidup Mewah & Disayangi Mentua, ERIN MALEK Sentiasa Bersyukur “Jangan Mudah Menilai”
Aktres cantik berbakat besar yang namanya mula dikenali menerusi filem ‘Tentang Bulan’ ini sentiasa menjadi perhatian ramai. Erin Malek kini bahagia menjalani kehidupan sebagai isteri dan ibu.
Hasil perkahwinan selama lapan tahun dengan anak usahawan automotif ternama, Farriz Fauzy, mereka dikurniakan dua cahaya mata comel iaitu Mohamed Faliq Mohamed Farriz dan Nur Aisha Mohamed Farriz.
Untuk info, Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek sah bergelar isteri kepada Farriz pada 10 Oktober 2014. Pada majlis itu, Farriz menyerahkan mas kahwin sebanyak RM10,000 manakala wang hantaran RM30,000. Mereka berbulan madu di Los Angeles, Amerika Syarikat.
NONA kongsikan temu bual eksklusif bersama Erin Malek ketika bertemu dengannya di sebuah majlis baru-baru ini. Bagaimana Erin mengambil hati ibu mentuanya, rahsia kebahagiaan rumahtangga dan persediaan Erin sebelum menempuh usia 30 tahun.
DISAYANGI MENTUA
“Mak mentua saya seorang yang mudah. Kalau menegur, selalunya ibu mentua akan cakap terus je, macam suami saya juga. Sebagai orang yang lebih muda, kita kena hormat. Bila mereka bercakap kita dengar saja.
“Walaupun ada sesetengah perkara yang mungkin kita rasa tak setuju, kita kena dengar. Kita ini menantu, kena jaga hatinya dan layan mereka seperti ibu bapa kita sendiri.
“Sejujurnya bagi saya ibu mentua seorang yang penyayang, suka ambil berat tentang diri saya serta hormat keluarga dan rumahtangga kami. Walaupun sering beri teguran dan nasihat, ibu mentua tetap akan hormat segala keputusan saya dan suami.”
RAHSIA BAHAGIA
“Tiada rahsia..kami juga seperti pasangan-pasangan yang lain. Beza usia kami 10 tahun di mana suami lebih tua daripada saya. Saya bersyukur kerana dikurniakan suami yang lebih matang serta dapat mendidik saya dan anak-anak dengan baik demi kebahagiaan bersama. Alhamdulillah saya bersyukur dengan segala nikmat yang diberi.
“Selain matang, suami juga seorang yang straightforward. Kalau sesuatu perkara tu salah dia akan cakap salah. Selalunya saya akan terima teguran itu demi kebaikan.
“Satu lagi, kami saling percaya dan paling penting sentiasa bersyukur. Kalau tak bersyukur, benda kecil pun akan jadi masalah besar. Maka, jalani kehidupan dengan tenang. Sentiasa berdoa agar esok lebih baik daripada hari ini.
MENANTU USAHAWAN TERNAMA
Bergelar menantu kepada usahawan ternama di Malaysia merupakan rezeki buat Erin. Bertuahnya, dalam usia 28 tahun dia memiliki segalanya. Biarpun menjalani gaya hidup mewah namun Erin tidak pernah meninggi diri. Malah, Erin sentiasa bersyukur dengan apa yang dimilikinya sekarang.
“Bahagia bukan dinilai dengan siapa kita berkahwin. Bila sentiasa bersyukur, kita akan sentiasa rasa cukup. Itulah erti kebahagiaan sebenar dalam perkahwinan.
“Kadang-kadang apa yang orang tengok di media sosial tak sama dengan yang di belakang kita (realiti), apa yang berlaku dalam rumah. Jadi, jangan mudah menilai orang lain. Ada yang hidupnya biasa-biasa saja tetapi kekal bahagia kerana sentiasa bersyukur. Jadi, saya bersyukur sangat dengan apa yang dimiliki sekarang, alhamdulillah.”
UMUR HAMPIR 30 TAHUN
“Sekarang umur saya dah 28 tahun. Bila hujung-hujung 20an ni dan bakal memasuki usia matang saya lebih banyak fokus kepada diri sendiri, keluarga, anak-anak serta orang-orang yang terdekat di sekeliling saya.
“Saya juga lebih fokus kepada perkara-perkara yang membuatkan kita rasa gembira dan bahagia. Secara tak langsung dapat elakkan diri daripada risiko masalah kesihatan mental seperti depression dan anxiety.
“Sekarang ini golongan wanita khususnya ibu-ibu banyak terdedah dengan risiko ini kerana tekanan. Maka, fokus kepada yang baik-baik saja. Jaga kesihatan, pemakanan dan kekal cergas. Bersenamlah setiap hari, bukan untuk kurus tetapi demi kesihatan.
“Saya bertuah kerana mempunyai rakan-rakan yang suka bersenam. Jadi, saya ada gang untuk workout sama-sama. Selain itu, saya amalkan makanan berkhasiat dan buat aktiviti-aktiviti yang keluarkan berpeluh. Bila kita sihat secara tak langsung ia menyerlahkan kecantikan sebenar dari dalam.”
PERKEMBANGAN TERKINI
“Sudah lapan tahun saya tidak berlakon. Bukan berhenti terus sebaliknya saya terima offer yang kecil-kecil saja. Kalau yang besar-besar belum sempat lagi sebab saya nak fokus keluarga dulu buat masa ni. Anak sulung dah mula sekolah, jadi sibuk sikit. Berlakon tu InshaAllah soon..”
NONA mendoakan agar segala urusan Erin dipermudahkan dan kekal bahagia bersama keluarga tersayang.
Kredit Foto: Instagram Erin Malek
Usia 94 Tahun, Pengasas Mustika Ratu – Ibu Mooryati Soedibyo Kongsi Amalan Jamu Beras Kencur Untuk Kesihatan
Bukan mudah untuk menjejak kisah terbaru usahawan wanita bertaraf legenda ini. Barangkali di atas faktor umur dan tidak lagi memimpin PT Mustika Ratu, beliau lebih senang menikmati sisa kehidupan jauh daripada perhatian media. Ibu Mooryati juga selesa beristirahat dan menyerahkan urusan dunia kepada para pewaris.
Mesra dan menyenangkan. Seperti masih terbayang momen penulis menemu bual Ibu Mooryati dan anakanda, Putri Kuswinu Wardani saat mereka berkunjung ke Malaysia.
Biarpun sudah sedekad lamanya, kenangan itu kini bertukar rindu terhadap jenama gergasi Indonesia yang cukup sebati di hati. Bayangkan walau berstatus jutawan kosmetik serta memiliki segudang harta yang melimpah-ruah, keluarga ini tetap merendah diri.
Kerana rindu menemukan penulis dengan cucu-cucu Ibu Mooryati iaitu adik-beradik Dr Kusuma Puteri dan Kusuma Anggraini, anak kepada Djoko Ramiadji (anak sulung Ibu Mooryati).
Menerusi akaun Ninik yang memegang posisi Pengarah Hotel Sheraton Mustika, Yogyakarta, perkongsian mereka bersama nenda kesayangan yang dipanggil Eyang Ti, mengubat kerinduan. Paling seronok tengok sambutan hari jadinya yang ke-94!
Masih kelihatan sihat dan bertenaga pada usia mencecah seabad, rahsia pengasas Mustika Ratu itu tak lain dan tak bukan hanyalah amalan minum jamu.
“Dari masih muda saya rajin minum jamu, saat ini pun saya masih rajin. Saya biasanya minum beras kencur yang saya buat sendiri di rumah.” Ibu Mooryati
Dengan kulit wajah yang masih licin, Ibu Mooryati membuktikan bahawa jamu adalah rahsia awet muda yang sangat mustajab.
Tengok kehidupan keluarga dan cucu-cucu beliau pun harmoni belaka. Semua cantik-cantik dan tampan, paling penting hidup senang serta berkerjaya bagus. Antaranya dua beradik ini yang bergelar doktor dan pengurus hartanah.
CUCU RAJA JAWA
Barangkali tidak ramai menyedari bahawa pengasas Mustika Ratu, Dr. B.R.A Mooryati Soedibyo ini merupakan seorang cucu Raja Jawa yang juga digelar pahlawan nasional Indonesia, Sri Susuhunan Pakubuwana X.
Dilahirkan pada 5 Januari 1928 di Solo, Ibu Mooryati membesar di istana, atau keraton, di Surakarta yang sarat kebudayaan Jawa. Di sini jugalah beliau mengenal tumbuhan berkhasiat, meramu jamu dan kosmetik tradisional dari bahan semula jadi.
Nenda Ibu Mooryati merupakan pemerintah dari susuhunan kesembilan Kesunanan Surakarta (1893-1939) sekaligus menjadikan keluarga itu susuhunan paling lama memerintah dalam sejarah Surakarta.
Gelaran B.R.A pada pangkal nama Ibu Mooryati adalah singkatan kepada Bendara Raden Ayu yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan putera puteri Sultan, cucu cicit hinggalah generasi di bawahnya.
BERNIAGA
Cantik dan pintar. Begitulah gambaran masyarakat terhadap sosok Ibu Mooryati sejak dahulu lagi.
Beliau merupakan alumni Universitas Saraswati, Universitas Terbuka dan Universitas Sebelas Maret Surakarta. Bahkan gelaran Doktor diperoleh dari Universitas Indonesia dalam jurusan Ekonomi.
Bukan itu sahaja, Ibu Mooryati merupakan penerima gelaran doktor tertua di Indonesia dan tercatat dalam The Indonesia World Records Museum (MURI)!
Seorang yang pandai menari, wanita ini menikah saat usianya menginjak 37 tahun. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Soedibyo Purbo Hadiningrat pada tahun 1965, kemudian mengikuti suaminya bertugas di Sumatera Utara.
Sebagai suri rumah, Ibu Mooryati fokus terhadap tugasnya sebagai ibu anak lima. Sambil menjaga Djoko Ramiadji, Putri Kuswinu Wardani, Dewi Nur Handayani, Haryo Tejo Baskoro dan Yulia Astuti di rumah, beliau mengamalkan jamu setiap hari.
Siapa sangka, hobi minum jamu Ibu Mooryati menjadi ikutan wanita lain. Beliau menggunakan resipi asli Keraton Surakarta untuk meracik jamu dan kosmetik dari bahan alami.
Jamu racikan ini mula digemari dan mendapat banyak tempahan. Di situlah bermulanya idea untuk berniaga.
Tanpa mempedulikan komen-komen negatif, beliau merintis perniagaan jamu dari ruangan garaj di rumah. Waktu itu (tahun 1973) Ibu Mooryati hanya sekadar mempunyai modal Rp 25,000 (sekitar RM7) untuk membangunkan Mustika Ratu.
“Trahing kusumo rembesing madu, trahing sinatrio mustikaning ratu.” Peribahasa Jawa
Mengambil nama Mustika Ratu dari peribahasa Jawa, empayar Ibu Mooryati pun berkembang ketika umurnya 45 tahun. Dari bantuan dua orang pembantu menjadi 25 orang dan kemudian meningkat 50 orang. Kesemua pekerja ini mendiami rumahnya.
Ingat lagi nama-nama jamu Mustika Ratu yang pernah kita amalkan dulu? Antaranya Perawatan Remaja Putri, Perawatan Wanita, Kesepuhan dan Sepetan Sari yang sering dijual di toko-toko jamu dan salun kecantikan.
Tahun 1981, Ibu Mooryati membangunkan gedung sendiri hasil pinjaman bank berjumlah Rp100 juta untuk memajukan Mustika Ratu. Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Maju terus dan memartabatkan produk tempatan Indonesia secara holistik.
‘Semangatmu, dedikasimu, karyamu dan kerja kerasmu akan selalu menjadi inspirasi yang berharga untuk wanita Indonesia’ Mustika Ratu
LEGENDA
Ibu Mooryati banyak menjalankan program di peringkat nasional dan antarabangsa dalam mengangkat sosok wanita yang kuat. Salah satunya pertandingan Puteri Indonesia yang berinspirasikan daripada acara Miss Universe yang dihadirinya pada tahun 1990.
Percaya bahawa wanita mampu memimpin dan menguruskan organisasi, beliau menerapkan prinsip Pemberdayaan Perempuan untuk mencapai kesamarataan gender.
Tak hairanlah syarikat beliau terpilih sebagai advocate dalam G20 EMPOWER serta menjadi antara 60 perusahaan di Indonesia dan antara 4,637 perusahaan di dunia yang tergabung dalam Women’s Empowerment Principle.
Kini meskipun Ibu Mooryati tidak lagi bekerja keras seperti dulu namun legasi Mustika Ratu terus menjadi kebanggaan rakyat jiran dan menjana ekonomi rakyatnya. Semoga segala jasa dan usaha keras wanita ini mendapat penghargaan sewajarnya!
Foto: Instagram @ninik102