Penangan ‘ cheesekut ‘ Buat Syikin Ubah Persepsi dan kini bergelar Usahawan.Musim Pandemik Beri Rezeki Luar Biasa

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan rupanya membuka rezeki buat Wan Nurasyikin Wan Mustaffa Kamel untuk bergelar usahawan. Bermula sekadar suka-suka bagi memenuhi masa lapang, siapa sangka Cheesekut premium yang diusahakan sejak 28 Febuari 2020 lalu mula menjadi bualan.

Perniagaan kecil-kecilan yang mula diusahakan dari rumah rupanya mampu membuka rezeki yang lebih luas untuk sesiapa sahaja yang rajin berusaha. Perkara tersebut dibuktikan oleh Wan Nurasyikin yang lebih mesra disapa Syikin setelah melihat permintaan terhadap produk yang dihasilkan semakin dikenali dan mendapat tempahan yang baik sehingga membolehkan dirinya membuka kilang secara kecil-kecilan pada Julai 2020.
“Bermula dengan hanya dua orang kakitangan, Alhamdulillah kini sudah mempunyai 7 kakitangan. Permintaan juga semakin bertambah dan kini produk yang dihasilkan sudah berada di Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Cheesekut premium yang viral ini diperkenalkan oleh anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan, Wan Nurasyikin Wan Mustaffa Kamel yang merupakan pengasas bersama Biscochiz.
“Alhamdulillah ribuan pelanggan mengakui produk yang dihasilkan tidak muak dan manisnya sangat well balanced. Ramai bagi rating 5 bintang. Ada juga siap kata “sebanyak bintang di langit”.
Malah individu yang tidak gemar hidangan berasaskan manisan turut menggemarinya. Saya sangat bersyukur dan terkesima dengan maklum balas para pelanggan terhadap produk yang dihasilkan.


Kami amat mementingkan kualiti dan hanya menggunakan bahan-bahan premium yang berkualiti tinggi. Malah kami tidak tambah gula putih di dalam pembikinan,” ujar Syikin yang begitu memberi perhatian terhadap produk yang dihasilkan untuk menjamin kualiti yang terbaik.
Walaupun mempunyai Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Perdagangan dari Federation University di Ballarat, Australia, ibu kepada dua orang cahaya mata ini sememangnya menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang pembuatan kek dan pastri. Tidak hairanlah mengapa wanita berusia 26 tahun ini sanggup menyertai pelbagai kelas masakan dan mencipta resipinya sendiri.


Sambil tersenyum lebar, Syikin berkata pada awalnya dia hanya gemar mencuba pelbagai resipi dessert hanya untuk membahagiakan suami tercinta, Ahmad Shahir Bin Ismail.
“Suami jenis tidak minat dessert yang memuakkan atau terlampau manis. Saya pula jenis minat buat dessert. Jadi, saya ambil beberapa kelas pastri termasuk berguru dengan Chef Pastry Terbaik Dunia, Dominique Ansel secara dalam talian serta belajar secara dalam talian di Le Cordon Bleu (best culinary institute). Daripada situ, saya mencipta kelainan dan memulakan beberapa eksperimen untuk mengolah resipi.
Olahan resepi Eropah, Cheese Biscuit Cake dijadikan fusion Premium Ice Cream, jadilah ianya sebagai Premium Ice Cream Cake. Alhamdulillah suami sangat-sangat suka resepi olahan saya,” ujar Syikin yang pernah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Malaysia untuk Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Perdagangan di Federation University di Ballarat, Australia.

Walaupun perniagaannya sudah mula dikenali, ia sedikitpun tidak membuatkan pasangan suami isteri ini lupa diri dan sentiasa menjadikan cerita suka duka sebelum membina perniagaan ini sebagai satu yang dikenang untuk mencipta kejayaan yang lebih bermakna.
“Sebelum berniaga kami pernah berhadapan situasi tidak cukup duit untuk makan sehinggakan terpaksa korek duit daripada tabungan.

Kisah duka berhadapan saat kematian anak pertama disebabkan rare medical condition pada permulaan perkahwinan juga banyak mematangkan kami suami isteri dalam berhadapan apa jua dugaan dariNya. Tetapi, itulah penguat semangat untuk saya teruskan hidup dan mencari kejayaan dalam bidang yang saya ceburi sekarang ini,” ujar Syikin yang pada mulanya tidak mahir menggunakan medium online sebagai salah satu cara memasarkan produk.

Menjadikan ibu sebagai idola dalam dunia perniagaan, Syikin memandang pengorbanan yang dilalui oleh ibu tersayang sebagai pembakar semangat untuk dirinya berjaya sehingga ke hari ini.
“Role model utama adalah ibu yang hidup bekerja keras selama 36 tahun di salah sebuah bank. Hidup kami tidak senang di mana ibu menyara 6 orang anak dan tinggal di rumah flat 2 bilik sahaja. Ibu selalu ada semasa saya susah, tiada duit semasa melanjutkan pelajaran, hamil ketika masih bergelar pelajar dan ketika saya memerlukan modal untuk kembangkan perniagaan.

Walaupun duitnya tidak seberapa, ibu sanggup korbankan juga untuk saya. Jadi, dengan bisnes ini, saya hendak ibu bangga dengan pencapaian saya dan suami saya,” ujar Syikin yang amat menghargai pengorbanan ibu tersayang. Sokongan dan dorongan dari suami dan keluarga mentua juga menjadi sumber kekuatan Syikin untuk meluaskan empayar perniagaannya.
Berkat ketekunan menimba ilmu dari pakar pemasaran online, kini jenama yang diusahakan semakin dikenali sehingga membawa jenama tersebut ke papan billboard digital dan mula dikenali di seluruh Malaysia.
Cheesekut premium yang dihasilkan bertaraf lima bintang yang mana resipinya diolah dan dibuat secara khas menggunakan dua jenis cream cheese premium semulajadi dari Australia dan bahan-bahan premium lain seperti Oreo, Hershey’s dan Caramel.
Bagi mereka yang gemarkan kek ais krim, ia boleh dimakan 30 minit selepas defrost kerana ada bahagian yang masih keras dan ada bahagian yang lembut.
Syikin dan suami mempunyai impian yang besar untuk melihat Biscochiz sebagai sebuah syarikat lokal Premium Ice Cream Cake no. 1 di Malaysia, setanding jenama antarabangsa yang lain.
“Kami mempunyai kepakaran untuk membantu wanita “Hantu Dessert Premium” untuk hilangkan stress dan craving. Misi kami juga adalah untuk merubah kehidupan usahawan  ke tahap yang berbeza walaupun mereka datangnya daripada pelbagai latar belakang antaranya termasuklah suri rumah, pelajar dan juga pekerja yang mahu menambahkan sumber pendapatan. Kami suka lihat kehidupan mereka lebih selesa berbanding dahulu.,” sambung Syikin lagi.
Tambah Syikin lagi, dia turut membuka peluang perniagaan untuk menjana pendapatan lebih kepada usahawan dan bakal usahawan  untuk mengurangkan bebanan kewangan mereka.

“Tunjuk ajar dan sokongan yang tidak putus-putus diberikan oleh kami untuk mereka capai apa yang mereka inginkan melalui perniagaan. Untuk masyarakat yang kurang berkemampuan, kami turut terlibat dalam kerja-kerja kebajikan seperti sumbangan derma ke rumah anak yatim dan tafhiz hasil jualan. ”
Antara kempen yang telah dilaksanakan termasuklah “Sadaqah Ramadhan” dan “Sadaqah Muharram” baru-baru ini. Sebahagian daripada jualan telah disumbangkan ke rumah anak yatim dan tahfiz di Selangor dan Yayasan Pesona Paknil. Selain itu, semasa PKP, golongan frontliners turut mendapat perhatian dengan memberikan sumbangan untuk petugas barisan hadapan di beberapa hospital di ibu negara.

Share
Published by
Rosmah Idayu