Penantian 11 Tahun, Akhirnya Siti Nurhaliza DISAHKAN HAMIL! Inilah Ikhtiarnya Untuk Dapatkan Zuriat

Pengumuman tergempar oleh penyanyi No. 1 negara, Datin Seri Dato’ Siti Nurhaliza di kediaman beliau malam tadi, menjawab teka-teki kehamilannya selama ini.

Meskipun Nona tidak berpeluang ke lokasi, namun sesi santai bersama teman media itu turut disiarkan secara langsung melalui media sosial rasmi beliau bagi berkongsi khabar gembira tersebut.

Menurut Dato’ Siti, tujuan beliau berehat selama 4 bulan adalah bagi memastikan kandungannya benar-benar stabil selepas menjalani rawatan kesuburan.

“Alhamdulilah kini saya hamil 4 bulan. Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa syukur ini selepas 11 tahun kami bersabar. Sebab itulah saya ambil keputusan untuk berehat daripada sebarang persembahan.

Saya telah melakukan rawatan kesuburan di Alpha Fertility Centre. Sepanjang proses rawatan, saya buat keputusan untuk betul-betul berehat daripada sebarang aktiviti, demi kandungan ini. Duduk dalam bilik dan tak buat kerja berat.

Dengan izin-Nya, saya memanjatkan kesyukuran sebab pada usia 38 tahun, pada ulang tahun perkahwinan ke-11 dan kepakaran Dato’ Dr. Colin Lee, maka kami dapat rezeki ini.

InsyaAllah saya akan berkongsi tentang kaedah kesuburan ini dengan lebih terperinci nanti. Semoga ia juga dapat membantu wanita lain yang turut berikhtiar mendapatkan zuriat seperti saya,” kata Dato’ Siti yang kelihatan sangat anggun, walaupun sedikit berisi.

Sewaktu majlis doa selamat, solat hajat dan maulid

Beliau dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa turut berterima kasih pada semua yang menyokong mereka selama ini.

Dato’ Siti juga mengharapkan doa agar kandungan beliau membesar dengan sihat, diberi kesempurnaan serta dikurniakan anak yang soleh dan solehah.

Beliau juga berharap agar penjelasan itu dapat menutup semua spekulasi negatif kerana fokusnya sekarang adalah anak dalam kandungan.

Selama 22 tahun dalam industri hiburan tanah air, Dato’ Siti Nurhaliza berjaya meraih pencapaian luar biasa di dalam dan luar negara serta masih mengekalkan popularitinya sebagai penyanyi No. 1 Malaysia.

Di atas faktor itu, beliau beberapa kali menerangkan tujuan diadakan majlis sederhana tersebut agar para peminat tahu keadaannya yang sebenar. Norzalina Mohd Alias

Share
Published by
Norzalina