Penantian 20 Tahun Seorang Bapa Untuk Genggam Master Terbalas, Rai Graduasi Bersama Dua Anak

Penantian selama 20 tahun Leow Kam Choy, 53, untuk menggenggam segulung ijazah sarjana terbalas apabila beliau dapat meraikan hari graduasi bersama kedua anak perempuannya pada Majlis Konvokesyen UTM kali ke-65.

Beliau yang juga merupakan alumni UTM 1993, berkongsi kisah di sebalik penantian 20 tahun yang perlu dilaluinya sebelum berjaya menggenggam Ijazah Sarjana dalam jurusan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah selepas tempoh 3 tahun pembelajaran.

“Saya pernah melanjutkan pengajian Master dalam jurusan Pentadbiran dan Pengurusan Tanah pada tahun 2002, tetapi kerana keadaan yang tidak mengizinkan ketika itu saya tidak dapat menamatkannya.

Maka kejayaan hari ini merupakan sesuatu yang amat bermakna bagi saya kerana penantian selama 20 tahun berbaloi. Lebih bermakna apabila secara kebetulan saya juga dapat bergraduasi bersama kedua-dua anak perempuan saya,”.

Hasil pengorbanannya itu, Leow Kam Choy kini memiliki firmanya sendiri iaitu Juruukur Megah Jaya yang beroperasi di Taman Desa Skudai. Kelonggaran bekerja dari rumah ketika pandemik telah menghidupkan kembali semangat juang beliau untuk menyambung pengajiannya yang tertangguh.

Tidak menyangka akan bergraduasi bersama ayah tersayang, Leow Hui Xian dan adiknya Leow Hui Qing yang masing-masing telah menamatkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik dan Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah, mengakui kerjaya bapa mereka sebagai juruukur banyak mempengaruhi keputusan mereka dalam memilih laluan kerjaya.

Melanjutkan pengajian ketika usia sudah menginjak ke 50-an di zaman modenisasi kini, sedikit sebanyak memberikan cabaran buat beliau terutama bagaimana untuk mengendalikan pelbagai perisian di dalam komputer.

Namun begitu, cabaran itu dijadikan peluang bagi Leow Kam Choy untuk berinteraksi dengan lebih kerap dengan anak-anaknya. Secara tidak langsung hubungan anak beranak kian rapat.

“Apabila ayah mengalami kesukaran untuk menggunakan sesuatu perisian, kamilah yang banyak membantu. Secara tak langsung masa yang kami luangkan bersama ayah telah mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga,” kongsi anak perempuannya.

Pesan Leow Kam Choy buat generasi muda, “Study never end’ selagi diberi peluang dan kudrat untuk menuntut ilmu. Tuntutlah semaksima mungkin kerana ilmu merupakan harta paling berharga yang boleh dimiliki oleh seorang insan. Manfaat yang bakal diperoleh lebih luas daripada apa yang kita sangkakan.

Leow Kam Choy kini sudah mendaftarkan dirinya untuk melanjutkan pengajian Doktor Falsafah di dalam bidang yang sama dan berharap kesungguhannya menjadi ikutan serta ispirasi buat anak-anak,

Sumber: UTM Newshub

Share
Published by
Amy Mohd