Tahniah! 45 tahun menanti akhirnya peminat sukan badminton negara tersenyum bangga apabila gandingan mantap Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menamatkan ‘badi’ sekaligus merangkul gelaran juara dunia. Satu pencapaian yang cukup besar buat atlet negara ini!
Dalam perlawanan yang berlangsung di Tokyo Metropolitan Gymnasium pada 28 Ogos lalu, beregu lelaki negara berkenaan menamatkan penantian gelaran sulung Malaysia di pentas Kejohanan Badminton Dunia edisi ke-27.
Aaron-Wooi Yik muncul juara selepas menewaskan lawan yang pernah mereka temui ketika perlawanan penentuan pungat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Indonesia iaitu Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 dalam tempoh 40 minit.
Pasangan beregu ini yang memasuki gelanggang dengan harapan memburu kejuaraan pertama sejak digandingkan pada 2017, berjaya menunjukkan kematangan dalam corak permainan mereka biarpun pada awalnya seakan terlalu mengikut rentak lawan.
Bagaimana pun, sekalung ucapan tahniah buat Aaron dan Wooi Yik kerana melakar kemenangan straight set penuh bergaya.
Ternyata kemenangan ini cukup memberi kesan terhadap Aaron-Wooi Yik apabila kedua-duanya dilihat tidak dapat menahan emosi dan mengalirkan air mata menyandang gelaran juara sejak digandingkan bersama pada 2017.
Apatah lagi pencapaian ini cukup dinanti-nantikan oleh seluruh peminat sukan dan atlet badminton tanah air untuk menyaksikan wakil negara meraih gelaran juara dunia.
Ia merupakan penampilan keempat Aaron-Wooi Yik di kejohanan dunia dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah beraksi di pentas suku akhir pada edisi 2018 di Nanjing, China. Mereka juga merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020.
This website uses cookies.