Namira Zania, seorang wanita hebat yang wajar dicontohi dalam perjalanan kariernya.
Namira Zania merupakan seorang penari profesional sindrom down yang sukses bukan hanya di Indonesia bahkan luar negara.
Namira Zania berjaya menjadi penari hebat yang meraih banyak pencapaian biarpun ada kekurangan. Malah, Namira kini bukan hanya menjadi penari bahkan bergelar model iklan.
NONA kongsikan temu bual Kompas.com bersama ibu Namira Zania yang dikenali sebgai Ibu Nini.
Lagu Cherrybelle “You are Beautiful” menjadi titik tolak kepada karier wanita berusia 25 tahun ini.
Pada mulanya, Ibu Nini tidak mengetahui bakat menari anaknya itu sehinggalah akhirnya guru sekolah Namira menghantar video.
Ibu Nini sudah tentu terkejut kerana tidak pernah melihat Namira berlatih menari.
Namira turut muncul di pentas seni dengan menari koreo lagu Cherrybelle “You are Beautiful”. Ketika itu, Namira menari dengan sangat baik.
“Saya tanya, dari mana dia belajar. Katanya dari Youtube,” kata Ibu Nini.
Sejak itu, Ibu Nini berazam untuk menyokong bakat Namira dengan memasukkannya ke sekolah tari. Namira mula mengembangkan bakat seninya demi menjadi penari profesional sehinggalah sekarang.
BERGELAR MODEL
Selepas terkenal sebagai penari sindrom down, Namira mengasah bakat seninya yang lain iaitu peragaan.
Pada 2018, Namira mendapat peluang ke uji bakat Jakarta Fashion Week (JFW) anjuran British Council.
“Ujibakat OKU untuk menjadi model di JFW. Ketika itu, ada beberapa peserta OKU yang datang uji bakat. Ada yang pekak, kurang upaya dan sindrom down,” kata Ibu Nini.
Selepas melalui uji bakat, Namira terpilih untuk mewakili satu-satunya kecacatan intelek untuk bertanding di JFW sekaligus menjadi titik permulaan kepada pelbagai tawaran model lain, termasuk JFW 2019 pada tahun berikutnya.
Namira juga berjaya membintangi pelbagai muzik video untuk pemuzik terkenal antaranya Gloria Jessica, Glenn Fredly dan Tompi.
“Saya sendiri tidak pernah memaksa sebaliknya ia adalah tuah Namira,” ungkap Ibu Nini.
DUTA SKINCARE
Pada 2020 kerjaya Namira semakin cerah biarpun ketika itu wabak Covid-19 sedang melanda dunia.
Namira bergelar model untuk produk penjagaan kulit lantas menjadi satu kejayaan baru dalam dunia kecantikan. Ini kerana, Namira merupakan model sindrom down pertama yang menjadi duta jenama atau “wajah” produk kecantikan di Indonesia.
Namira menjadi viral kerana berjaya memecah stigma dalam dunia kecantikan.
“Semua media menjemputnya kerana pertama kali di Indonesia seorang penghidap sindrom Down menjadi model penjagaan kulit.
“Setakat ini, penghidap sindrom Down disifatkan sebagai wajah yang tidak laku dan hodoh,” tambah Ibu Nini.
Namira kini memiliki banyak pencapaian yang membanggakan lebih-lebih lagi dalam dunia tarian yang menjadi hobinya sejak kecil. Ini membukti, kekurangan bukanlah halangan buat Namira.
Biarpun menghidap sindrom down, Namira masih boleh melakukan aktivitinya dan mencapai kejayaan.
Dari kisah Namira, kita boleh belajar banyak perkara tentang impian dan kerja keras. Kekurangan itu bukanlah alasan untuk tidak bermimpi. Menjadi berbeza bukanlah penamat dari segala angan-angan.
This website uses cookies.