Berbeza dengan sambutan sebelum ini, Hari Jururawat Sedunia 2020 pastinya mencatat sejarah baharu dalam profesion kejururawatan termasuklah di Malaysia.
Ini kerana seluruh dunia sedang berperang melawan pandemik koronavirus (Covid-19) dan golongan jururawat merupakan antara wira barisan hadapan yang menjadi ‘benteng’ untuk membendung penularan wabak penyakit pembunuh ini.
Mereka sebenarnya bukan sahaja berkorban masa, tenaga serta perasaan bahkan ramai yang terpaksa berjauhan meninggalkan anak isteri/suami serta insan-insan tersayang yang lainnya demi menunaikan tugas untuk negara.
Tuntutan tugas
“Kali terakhir saya pulang ke Perlis berjumpa isteri dan anak-anak ialah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.
Selalunya setiap minggu saya akan berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Perlis tetapi kini sudah dua bulan saya tak dapat balik bertemu keluarga kerana tuntutan tugas selain arahan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tidak membenarkan rakyat merentas negeri kecuali atas urusan tertentu.
Hanya panggilan telefon dan video menjadi pengubat rindu… Walaupun sedih, saya perlu tabah dan kuat demi tugas dan tanggungjawab,” demikian luahan hati Mohd Erwan Juslin, Ketua Jururawat Kesihatan yang bertugas di Unit Pemakanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dan Putrajaya.
Mohd Erwan adalah antara ribuan petugas kesihatan barisan hadapan yang bertugas menjalankan ujian saringan Covid-19 di Pusat Kesihatan Daerah Lembah Pantai termasuk dalam bulan Ramadan ini.
Beliau yang sudah berkahwin berasal dari Beaufort Sabah. Isterinya, Zurina Hamdan yang berasal dari Perlis juga adalah seorang jururawat, kini bertugas di Unit Hemodialisis Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Pasangan ini yang sudah mendirikan rumah tangga selama 13 tahun mempunyai tiga orang cahaya mata iaitu dua orang putera dan seorang puteri berusia dua hingga 10 tahun.
Paling mencabar
Berhadapan krisis Covid-19 Mohd Erwan berkata ia adalah pengalaman paling mencabar serta menguji ketahanan mental dan fizikal sepanjang 15 tahun beliau bertugas sebagai jururawat.
“Kerinduan terhadap keluarga di samping tugas yang perlu diselesaikan. Berpanas dan berhujan, ujian saringan tetap perlu diteruskan termasuk pada bulan Ramadan memandangkan masih ada kes kluster baharu yang direkodkan.
Memakai peralatan perlindungan diri (PPE) semasa berpuasa amatlah mencabar, peluh mencurah-curah dan basah lencun! Jika bukan pada bulan puasa memakai PPE selama satu jam pun sudah kepanasan, dahaga dan bermandi peluh, apatah lagi pada bulan puasa.
Namun begitu, mungkin keberkatan bulan Ramadan, penat tu terasa tetapi Allah beri kekuatan untuk terus bertugas. Alhamdulillah setakat hari ini saringan dapat dijalankan dengan lancar. Saya juga sebenarnya turut menjalani ujian saringan kerana contact dengan pesakit yang positif namun syukur kesemua ujian yang dijalani menunjukkan saya negatif,” kata Mohd Erwan berkongsi pengalamannya dengan Bernama menerusi perbualan telefon.
Saling menyokong
Kekangan tidak boleh bertemu anak-anak serta isteri, Mohd Erwan berkata, hanya doa dan kata-kata semangat sering diucapkan bagi memberi kekuatan antara satu sama lain.
“Selain kasihan terhadap isteri kerana perlu menguruskan anak-anak sendirian, saya juga sedikit bimbang kerana Zurina secara tidak langsung turut terlibat dengan Covid-19 kerana ada pesakit Covid-19 yang diarahkan untuk melakukan rawatan dialisis.
“Saya sentiasa mengingatkannya (isteri) agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan tugas bagi mengelak dari terkena jangkitan virus. Seluruh masyarakat juga perlu sama-sama menjaga diri dan mengamalkan normal baharu seperti lebih menitikberatkan soal kebersihan diri, sentiasa mencuci tangan dan amalan penjarakkan sosial dalam membendung penularan virus ini,” katanya.
Ditanya berhubung pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri untuk berjumpa keluarga, beliau berkata, ia ibarat satu rahmat buat dirinya sekeluarga.
“Di bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri, pastinya pengumuman ini sesuatu yang amat kami nanti-nantikan,” katanya.
Kelmarin (10 Mei), dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen televisyen, Muhyiddin berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk memberikan kelonggaran berkenaan kerana difahamkan ada pasangan yang terpaksa tinggal berjauhan atas urusan kerja.
Semoga masyarakat terus menghormati serta menghargai jasa, bakti serta pengorbanan insan yang bernama jururawat ini. Bernama
Selamat Hari Jururawat Sedunia 2020!