Kehilangan barang berharga boleh buat sesiapa saja kecut perut. Tambah-tambah apabila dokumen penting seperti kad pengenalan turut lesap. Begitulah yang terjadi kepada Pencetus Ummah Amin apabila dompetnya hilang sebelum mengerjakan umrah.
https://www.instagram.com/p/Bt92CzsFihR/?utm_source=ig_web_copy_link
Menurut Ustaz Amin, Allah menguji kerana Dia sayang akan hambaNya. Wang tunai RM3000 yang terdapat dalam dompet adalah untuk yuran semester pengajian Master, perbelanjaan untuk isteri dan anak serta sedekah yang dikirim rakyat Malaysia untuk fakir miskin di Mekah.
“Buat yang ambil dompet saya , ambil duit itu untuk belanja anda kalau perlu dan pulangkanlah kad-kad yang lain. Itu saja permintaan saya. Ada banyak nyawa dan makna dalam dompet tersebut.” katanya dalam perkongsian di IG.
Sempat juga beliau menerima doa kiriman follower,”Saya dalam perjalanan melaksanakan Umrah. Doakan saya. Ada doa, tuliskan, kerja saya juga membaca doa anda semua.”
Buat anda, mungkin boleh gunakan langkah-langkah ini sekiranya kehilangan barang:
Jangan panic!
Cuba bertenang. Kehilangan barang selalunya dikaitkan dengan sikap kelam-kabut. Ketepikan perasaan cemas itu dan mula berfikir dengan tenang.
Lokasi terakhir
Langkah pertama perlu anda ambil apabila tersedar barang anda hilang adalah untuk recall semula kali terakhir anda melihatnya. . walaupun bukan spot tepat tetapi sekurang-kurangnya anda tahu secara kasar di mana ia berada. Bermula dari situ, luaskan skop pencarian.
Masukkan jiwa dan perasaan dalam mindset
Ia kedengaran kurang bijak tetapi mengingati dan mengembalikan kembali perasaan ketika kali terakhir anda melihat atau memegang barang yang hilang itu. Perasaan dan mindset itu mungkin boleh beri anda idea untuk track down barang tersebut.
Berjalan di lokasi kejadian
Lokasi kejadian yang dimaksudkan adalah kawasan terakhir anda perasan barangan anda hilang. Jika bertuah, barang tersebut mungkin jatuh tidak jauh dari tempat yang dimaksudkan. Sekiranya anda masih gagal, gunakan persekitaran anda.
Contohnya jika anda kehilangan telefon bimbit dan kali terakhir anda menggunakannya di sekitar kaunter daftar masuk, cuba hubungi kakitangan hotel.
Redha
Sekiranya masih gagal, terimalah kehilangan itu dengan redha. Mungkin Allah akan gantikan dengan benda yang lebih baik.
https://www.instagram.com/p/BuA4JbYlEr6/?utm_source=ig_web_copy_link
Sumber foto: IG @pencetusummah_amin
“Dalam Motokar, Dia Pegang Tangan Saya. Pegangan Tangan Dileraikan Apabila Kami Melintasi Tol & Jari-Jemari Kembali Bertaut Selepas Itu” – Tun Hasmah
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
MENULIS
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
#NonaMerdeka Hebat! 5 Wanita PERTAMA Malaysia Melakar Sejarah Perkembangan Negara
Wanita memegang posisi utama dalam sesebuah keluarga dan masyarakat. Tugasnya sebagai pendidik pertama, berlangsung sejak bayi dari dalam janin lagi. Inilah orangnya yang bertanggungjawab mempersiapkan generasi sebagai penyambung warisan seterusnya.
Dalam perkembangan era globalisasi ini, wanita telah mula memperlihatkan aspek yang penting ini dan sejajar dengan kaum lelaki dalam pembangunan ekonomi dan negara. Kehebatan peranan wanita dapat dilihat melalui sumbangan wanita-wanita ini;
1. Timbalan Perdana Menteri Wanita PERTAMA Malaysia
YAB Dato’ Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail ialah Timbalan Perdana Menteri wanita PERTAMA dalam sejarah Malaysia, merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dr Wan Azizah berpengalaman selama 15 tahun sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, kini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan.
Di peringkat negeri, Dr Wan Azizah pernah mencurah bakti berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang selama 4 tahun. Dr Wan Azizah bertanggungjawab mengemudi Parti Keadilan Rakyat sebagai Presiden Parti selama 19 tahun. Beliau juga merupakan Presiden Pakatan Harapan sejak penubuhannya sehingga kini.
FOTO: INSTAGRAM
2. Wanita PERTAMA Menjadi Juruterbang Pesawat Pejuang di Malaysia
Lt. Kol. Emilia Kamaruddin merupakan wanita PERTAMA menjadi juruterbang pesawat pejuang. Beliau mahir dalam mengendalikan jet-jet pejuang hebat seperti Skyhawk, Hawk, Pilatus PC-7, Aermacchi MB339 dan Aerotiga MD3. Beliau dilahirkan pada 27 Ogos 1962, di Selangor, Darul Ehsan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Bukit Nanas sehingga lulus Tingkatan Lima pada tahun 1979.
Selepas itu, beliau mengambil A Level di Llandrillo Technical College, United Kingdom dan lulus pada tahun 1982. Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sivil pada tahun 1985 daripada Loughborough University, United Kingdom. Pada tahun 1998, beliau mendapat Diploma dalam Pengajian Strategi dan Pertahanan daripada Universiti Malaya.
FOTO: FACEBOOK
3. Rakyat Malaysia PERTAMA Dilantik Sebagai Ketua Projek NASA
Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai ketua projek NASA. beliau mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan elektrik, kejuruteraan bioperubatan dan kejuruteraan biologi dengan pelbagai disiplin yang cemerlang serta keupayaan bekerja dan berinteraksi dengan mereka dalam bidang lain menyebabkan beliau terpilih mengetuai projek SporeSat, sebuah projek NASA Small Satelit yang dilancarkan pada tahun 2014.
FOTO: THE STAR
4. Wanita PERTAMA Negara Dilantik Sebagai Pegawai Memerintah Kapal
Leftenan Maritim Aida Arzahari, telah mencatat sejarah sebagai wanita pertama negara dilantik sebagai Pegawai Memerintah Kapal. Beliau telah dilantik sebagai Pegawai Memerintah KM Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Februari tahun lalu.
FOTO: MALAYSIANREVIEW.COM
5. Ketua Polis Negeri Wanita Pertama
Dato’ Robiah Abdul Ghani merupakan Ketua Polis Negeri wanita PERTAMA yang telah dilantik pada tahun 2008. Memegang jawatan sebagai Keptua Polis Pahang, beliau telah menyertai PDRM pada tahun 1971. Selain itu wanita hebat ini pernah memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai pegawai penyiasat di IPK Perak dan pegawai platun komander wanita di Ulu Kinta, Perak.
FOTO: MSTAR.COM.MY
Ibu 7 Anak Genggam PhD Di Usia 52, Harungi Pengajian Hanya Dengan Sebelah Mata
Walaupun mengalami masalah penglihatan iaitu mata kanan tidak berfungsi, tidak sesekali melunturkan semangat seorang ibu kepada 7 anak, Norhayati Sambak untuk menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Wanita berusia 52 tahun itu mengambil masa selama 6 tahun dan bersyukur kerana berjaya menghabiskan pengajiannya dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Menurut Norhayati yang merupakan pensyarah di UiTM Kelantan, anak-anak serta suami merupakan pembakar semangatnya untuk memperoleh PhD.
“Tipulah, jika tidak pernah ada rasa putus asa, pernah rasa mahu menjual tanah untuk membayar semula duit kerajaan (biasiswa).
“Pernah juga satu tahap, rasa macam sudah tidak nampak (hala tuju) kerana tiada hasil. Bersyukur ada penyelia yang sangat menyokong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam.
Norhayati kini terpaksa menggunakan kanta pembesar bagi menjalani kehidupan seharian selepas mata kirinya pula menghidap lekangan retina, namun, hal itu tetap tidak mematahkan semangat serta cita-citanya untuk meraih skrol PhD.
“Tahun lepas, selepas selesai PhD saya terpaksa lalui dua kali pembedahan mata kiri. Mata kanan tidak berfungsi sejak 10 tahun lepas, hanya menggunakan mata kiri sahaja.
“Mungkin terlalu mengharapkan mata kiri, ia terlalu stress sehingga jadi seperti ini (tidak nampak),” katanya yang telah menghasilkan dua buah buku berkaitan kewangan.
Usai temu bual, wanita cekal itu dibantu staf UiTM bagi mendapatkan suaminya yang menunggu di perkarangan dewan memandangkan penglihatannya yang sangat minimum telah membantutkan pergerakannya.
Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana dan Sarjana Muda kepada 1,124 graduan UiTM pada hari kedua Istiadat Konvokesyen tersebut.
Sumber: Bernama