“Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat,” ujar penyandang Nona Superwoman Award 2020, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berusia 94 tahun itu.
Sepagi di kediaman rasmi Tun Hasmah di Jalan Kuda Emas, Seri Kembangan, bagai melestarikan mimpi kami. Nyaman suasana hijau di perkarangan, lengkap tugu Pak Belang menghiasi landskap dan seni bina banglo retro itu. Tun Hasmah turun dari lif dipimpin seorang pembantu, tak lekang senyumannya, ramah dan mesra berjenaka seperti selalu.
Tidak sah berbual dengan Tun Hasmah jika tidak mengimbau nostalgia lama. Rumah klasik ini sarat dengan memorabilia serta gantungan foto-foto bersejarah sejak Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan nombor satu Malaysia sebanyak dua kali.
Ada juga ruang menempatkan piano serta biola yang digeseknya setiap minggu. Ketika pandangan merayau meninjau koleksi-koleksi tersebut, perhatian penulis tertancap di sebuah ruang menonton TV.
“Inilah tempat rehat kegemaran saya. Hari-hari tengok TV dan ikut perkembangan kes COVID-19 di sini. Saya mesti akan tengok berita dan tunggu Dr Noor Hisham ke udara,” cerita Tun Hasmah sambil menunjukkan sofa tempat beliau selalu berbaring.
Sofa empuk dan seekor kucing hitam gebu bernama Blackie menjadi teman Tun Hasmah ketika suaminya keluar bertugas.
Tidak jemu dengan rutin yang sama? Soal penulis sambil mengusap leher Blackie yang manja. Tun Hasmah menggeleng. “Dah biasa,” jawab beliau perlahan sambil melemparkan senyuman.
Benarlah sifat penyayang itu miliknya. Karakter lembut Tun Hasmah sebenarnya adalah tenaga terkuat sepanjang mengenali wanita hebat berusia 94 tahun ini.
Beliau yang sudah cukup masak dengan kesibukan suami tercinta sempat berseloroh, “Tun Mahathir tu rajin bekerja… cubalah kalau boleh suruh dia (Tun) berhenti,” ujar Tun Hasmah sebelum berkongsi rahsia kuat ingatannya kepada followers Nona.
Sanjungan penulis terhadap Tun Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu.
Ads
Rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu kian bertambah apabila melihatkan kesihatan Tun Hasmah yang tidak banyak terjejas kecuali penglihatan. Syukur alhamdulilah.
“Dari segi pemakanan tu, macam biasa je. Saya tak boleh makan pedas. Tapi saya suka sayur terung yang disambal, ikan kering dan lauk kuah-kuah… Selain tu saya cuba kurangkan nasi dan makan mihun sup yang menyihatkan.
Diet Tun Mahathir pun sama. Dia makan apa saja kecuali ikan. Tapi bila ke Jepun, anehnya dia suka pula makan ikan mentah macam sashimi (ketawa). Apa pun bila pasal makan, lebih elok kita bersederhana,” cerita Tun Hasmah yang merupakan nenda kepada 18 orang cucu itu.
Anak kelahiran Klang, Selangor ini menamatkan pengajian perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura sebelum bergelar mahasiswi perubatan dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Singapura (ketika itu) pada tahun 1955.
Banyak pengalaman Tun Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf.
Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Ads
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat.
Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Perkahwinan Tun Hasmah dan Tun Mahathir mencecah usia 64 tahun. Rahsia perkahwinan suami isteri ini sudah tentulah bergantung pada sifat mengalah dan bersabar dengan ombak badai yang menghempas rumah tangga mereka.
Jelas ibu kepada Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar itu lagi, sebagai isteri, kepercayaan itu amat penting.
“Orang kata behind every successful man, there is a woman. Kalau kata-kata ini dibacakan depan saya, saya akan jawab ‘No. Behind every successful man, there is a woman, not any woman but his wife’. Kadangkala saya tambah lagi, not any wife but first wife!” tutur Tun Hasmah serius.
Sekilas kata-kata itu mengingatkan penulis pada hantaran Facebook Tun Mahathir (klik sini) beberapa bulan lepas.
Ads
Perkahwinan mereka yang sudah melewati ulang tahun Jubli Intan menjadikan apa jua perkongsian cinta berkenaan keduanya begitu indah untuk dijadikan panduan.
“Sebagai isteri, kita harus percaya dan yakin suami kasih dan sayang. Setiap pasangan mesti ada keyakinan sebegitu supaya tiada kebimbangan di hati.”
Nasihat Tun Hasmah, seandainya berlaku konflik dalam rumah tangga, belajar selesaikan dengan matang pada waktu dan tempat yang sesuai.
“Ada ketikanya saya tergelincir juga dalam kata-kata hingga menyebabkan dia berdiam diri. Kadangkala dalam motokar pun dia diam. Tak boleh buat-buat cakap. Itu tandanya ada sesuatu yang tak kena. Jadi sampai rumah kami akan selesaikan,” kongsinya tentang petua kebahagiaan.
Tidak hanya terkenal sebagai isteri pemimpin negara dan doktor perubatan, bonda Tun Hasmah terus meniupkan inspirasi kepada generasi wanita moden seperti kita semua agar lebih bijak menguruskan keluarga serta memberi masa untuk menjaga diri sendiri.
Dari hobinya yang suka menulis, bermain muzik dan mengambil tahu perihal isu semasa, beliau jelas melambangkan sisi Nona Superwoman yang sebenar… She’s truly a living legend.
Penyelaras & Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata Gaya: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Emma Mustafa
Dandanan: Dr Rajavel
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wow, hebatnya! Empat anugerah yang diterima tu bukan calang-calang. Selayaknya, digelar beauty with brain anak dara Raja Azura ni.
Baru-baru ini, Raja Azura atau panggilan mesranya Kak Engku berkongsi detik manis hari anugerah kecemerlangan anak bongsunya, Puteri Mia Maizura di Instagram.
Detik manis itu telah diabadikan dalam sebuah video berdurasi 1 minit 40 saat.
“Syukur alhamdullilah congrats Puteri Mia Maizura,” tulis Raja Azura di ruangan kapsyen.
Video tersebut memaparkan Puteri Mia Maizura yang merupakan bekas pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur berjaya meraih empat anugerah terbaik iaitu Anugerah Pencapaian Cemerlang SPM 2022, Anugerah Ikon Kokurikulum, Anugerah Tokoh Bidang Teater, dan Anugerah Tokoh Murid 2022.
Masha-Allah, sejuk perut ibu mengandung. Tiada yang lebih menggembirakan hati seorang wanita apatah lagi yang bergelar ibu tunggal apabila anak-anak berjaya dalam akademik.
Begitulah yang dirasai oleh pelakon, penyanyi, pelawak, pengacara, dan penyampai radio terkenal ini.
Bertuah anak-anaknya dikurniakan seorang ibu yang ceria dan penyayang. Didikan Raja Azura terhadap mereka juga adalah terbaik biarpun lebih 10 tahun bergelar ibu tunggal.
Lebih bermakna lagi, kejayaan anak bongsunya itu turut menjadi ‘hadiah’ paling istimewa buat Raja Azura sempena hari lahirnya yang ke-51 tahun.
“Terima kasih hadiah hari jadi Mama 18/8/2023,” luah Raja Azura.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata para peminat termasuk rakan-rakan artis menitipkan ucapan tahniah.
Semoga anak-anak Raja Azura terus berjaya di dunia mahupun akhirat seterusnya menjadi anak-anak yang berbakti kepada ibu bapa, agama, bangsa dan negara.
Selain Puteri Mia Maizura (18), dua lagi anak Raja Azura ialah Megat Muhammad Raziq (21), dan Megat Luqman Haqim (20).
Untuk info, Raja Azura atau pemilik nama sebenar, Y.M Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin merupakan antara selebriti yang memiliki pertalian darah dengan kerabat Diraja Perak.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama Ustaz Syamsul Debat atau nama penuhnya Syamsul Amri Ismail, 46 tahun, sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Sebelum bergiat solo sebagai pakar motivasi dan penceramah bebas, lelaki yang suka berjenaka itu berkongsi kisah lucu sewaktu masih bergelar penjawat awam termasuk menerima claim ceramah sekitar RM300 dulu.
Terubat keletihan bila melihat suasana nyaman di kediaman ADUN Paroi, YB Dato’ Haji Mohamad Taufek Abd Ghani, yang menjadi lokasi temu bual kami. Masih terkenang kemesraan tuan rumah, betapa baik dan menyenangkan.
Meminjam sedikit masanya usai sesi ceramah di Seremban, Ustaz Syamsul Debat tenang berkongsi pengalaman hidup dengan Majalah Nona.
Sebelum dikenali sebagai personaliti televisyen menerusi program Syamsul Debat di TV Alhijrah, beliau pernah menggalas tanggungjawab besar sebagai Pengarah Jabatan Undang-undang & Penguatkuasaan di Majlis Perbandaran Nilai.
Meskipun sudah stabil, bekas pemidato ini membuat pengorbanan besar dengan meninggalkan kerjaya tetapnya demi meneruskan jihad menyebarkan ilmu.
Memang berat untuk ambil keputusan meninggalkan sektor kerajaan, penjelasan Ustaz Syamsul Debat ini buat ramai yakin ketentuan rezeki Tuhan. Jom tonton temu bual ni…
Dilahirkan pada 3 Ogos 1977, lelaki tinggi lampai asal Negeri Sembilan ini memulakan persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Paroi (1983-1989), seterusnya Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu (1990-1992) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said, Seremban (1993-1994).
Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu Alor Gajah, Melaka dalam jurusan Diploma Pentadbiran Awam dan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang juga di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Tak lokek berkongsi ilmu, beliau turut berkongsi beberapa ilmu penting sempena sambutan Aidiladha buat followers Majalah Nona…
Sebut saja Aidijuma pasti ramai yang mengenali wanita hebat di sebalik jenama tudung bawal terkenal ini. Meniti usia 37 tahun, Datin Norjuma Habib Mohamed yang pernah dinobat Juara Pengacara Jemputan Nona 2002 bijak merencana hala tuju syarikat sejak tujuh tahun lalu hingga berjaya memiliki 21 concept store di seluruh Malaysia dan sebuah concept store di The Mall, Brunei Darussalam.
Kurang seminggu saja lagi untuk menyambut Syawal dan seperti individu lain, Datin Norjuma turut teruja pulang ke kampung halamannya di Bayan Baru, Pulau Pinang. Selesa beraya di Kuala Lumpur terlebih dahulu, ibu kepada tiga cahaya mata lelaki ini sememangnya tidak sabar meraikan kemeriahan Hari Raya bersama keluarga tersayang.
“Mengenai juadah raya, kami sekeluarga masih mengekalkan hidangan sama tiap-tiap tahun iaitu Nasi Tomato Ayam Merah. Sambut raya semestinya di Kuala Lumpur dulu kemudian baru balik ke Pulau Pinang. Pada sebelah pagi selepas sembahyang raya, semua ahli keluarga akan ambil peluang untuk bersalam dan bermaaf-maafan.
Kalau tak silap sejak enam tahun sudah, kami mengadakan majlis jamuan makan untuk anak-anak yatim. Ada bermacam-macam jenis makanan kami hidangkan selain bagi duit raya dan barang permainan. Boleh dikatakan perkarangan rumah kami setiap tahun meriah macam fun fair dengan kunjungan anak-anak kurang bernasib baik ini.
Tiba saja raya semuanya harus nampak glamor. Raya harus diserikan dengan acara dan pakaian istimewa. Bahkan sudah menjadi lumrah bagi saya dan adik-beradik untuk wajib memakai mekap. Hari biasa tak pakai mekap tak apa. Kelainan seperti inilah yang menaikkan mood Hari Raya. Persalinan saya untuk Hari Raya pula tetap dengan baju kurung cotton, tudung bawal dan solekan cantik dan kemas.
Ibaratnya Hari Raya kami sudah jadi seperti pesta baju. Pagi raya baju lain, pergi sembahyang pakai baju lain dan bila keluar beraya pun kami tukar pakai baju baru. Dengan anak-anak pun saya memang menggalakkan mereka supaya anggap raya sebagai satu perayaan besar.
Saya percaya kanak-kanak yang sihat adalah mereka yang sambut pelbagai jenis keraian. Satu lagi keistimewaan raya bersama keluarga adalah bila semua orang pakai baju sedondon. Baru rasa kebersamaan antara satu sama lain,” kata Datin Norjuma sambil tertawa mengimbas kenangan memborong segulung kain baju raya untuk seluruh kaum keluarganya.
Terang Datin Norjuma, untuk menyerikan lagi sambutan Aidilfitri, keluarganya pasti tidak ketinggalan membakar kek dan membuat biskut raya yang dipanggil Biskut Denmark. “Antara senarai wajib lain yang kami buat sepanjang raya ialah memakai inai pada malam raya, bermain mercun dan bunga api. Tak kiralah yang masih kecil atau dewasa semua turun padang. Memang meriah. Aktiviti pakai inai malam raya ini mulanya ketika saya kanak-kanak lagi dan rumah datuk waktu itu ada tanam inai. Dari situ kami terus amalkan memakai inai sampai sekarang terutamanya bila dapat berkumpul beramai-ramai sambil berborak.”
Dalam perkembangan terkini, beliau juga bakal berkongsi pemilikan portal online terkenal di Indonesia sebelum memuktamadkan perjanjian perniagaan dengan portal online dari Turki dan United Kingdom. Patutlah anak kelahiran Pulau Mutiara ini sering menjadi inspirasi dan ikon Muslimah di kalangan wanita di luar sana!
Klik video eksklusif di bawah ini untuk kisah-kisah di belakang tabir penggambaran cover Nona Julai 2017. Memang meriah!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, usia perkahwinan Ajai dan Liza Ilias sudah pun mencecah 15 tahun. Meskipun sudah lebih sedekad hidup bersama namun kemesraan di antara mereka jelas terpancar. Bahkan ke mana saja pergi, pasti kelibat isteri tercinta ada di sisi komposer terkenal berkenaan ...