Pencinta Kucing & Muzik, Tun Dr Siti Hasmah Dedah Rahsia Penyayang!

“Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat,” ujar penyandang Nona Superwoman Award 2020, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berusia 94 tahun itu.

Sepagi di kediaman rasmi Tun Hasmah di Jalan Kuda Emas, Seri Kembangan, bagai melestarikan mimpi kami. Nyaman suasana hijau di perkarangan, lengkap tugu Pak Belang menghiasi landskap dan seni bina banglo retro itu. Tun Hasmah turun dari lif dipimpin seorang pembantu, tak lekang senyumannya, ramah dan mesra berjenaka seperti selalu.

Tidak sah berbual dengan Tun Hasmah jika tidak mengimbau nostalgia lama. Rumah klasik ini sarat dengan memorabilia serta gantungan foto-foto bersejarah sejak Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan nombor satu Malaysia sebanyak dua kali.

Ada juga ruang menempatkan piano serta biola yang digeseknya setiap minggu. Ketika pandangan merayau meninjau koleksi-koleksi tersebut, perhatian penulis tertancap di sebuah ruang menonton TV.

“Inilah tempat rehat kegemaran saya. Hari-hari tengok TV dan ikut perkembangan kes COVID-19 di sini. Saya mesti akan tengok berita dan tunggu Dr Noor Hisham ke udara,” cerita Tun Hasmah sambil menunjukkan sofa tempat beliau selalu berbaring.

Sofa empuk dan seekor kucing hitam gebu bernama Blackie menjadi teman Tun Hasmah ketika suaminya keluar bertugas.

Tidak jemu dengan rutin yang sama? Soal penulis sambil mengusap leher Blackie yang manja. Tun Hasmah menggeleng. “Dah biasa,” jawab beliau perlahan sambil melemparkan senyuman.

Benarlah sifat penyayang itu miliknya. Karakter lembut Tun Hasmah sebenarnya adalah tenaga terkuat sepanjang mengenali wanita hebat berusia 94 tahun ini.

Beliau yang sudah cukup masak dengan kesibukan suami tercinta sempat berseloroh, “Tun Mahathir tu rajin bekerja… cubalah kalau boleh suruh dia (Tun) berhenti,” ujar Tun Hasmah sebelum berkongsi rahsia kuat ingatannya kepada followers Nona.

Sanjungan penulis terhadap Tun Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu.

Rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu kian bertambah apabila melihatkan kesihatan Tun Hasmah yang tidak banyak terjejas kecuali penglihatan. Syukur alhamdulilah.

“Dari segi pemakanan tu, macam biasa je. Saya tak boleh makan pedas. Tapi saya suka sayur terung yang disambal, ikan kering dan lauk kuah-kuah… Selain tu saya cuba kurangkan nasi dan makan mihun sup yang menyihatkan.

Diet Tun Mahathir pun sama. Dia makan apa saja kecuali ikan. Tapi bila ke Jepun, anehnya dia suka pula makan ikan mentah macam sashimi (ketawa). Apa pun bila pasal makan, lebih elok kita bersederhana,” cerita Tun Hasmah yang merupakan nenda kepada 18 orang cucu itu.

Anak kelahiran Klang, Selangor ini menamatkan pengajian perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura sebelum bergelar mahasiswi perubatan dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Singapura (ketika itu) pada tahun 1955.

Banyak pengalaman Tun Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf.

Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.

Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat.

Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.

Perkahwinan Tun Hasmah dan Tun Mahathir mencecah usia 64 tahun. Rahsia perkahwinan suami isteri ini sudah tentulah bergantung pada sifat mengalah dan bersabar dengan ombak badai yang menghempas rumah tangga mereka.

Jelas ibu kepada Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar itu lagi, sebagai isteri, kepercayaan itu amat penting.

Orang kata behind every successful man, there is a woman. Kalau kata-kata ini dibacakan depan saya, saya akan jawab ‘No. Behind every successful man, there is a woman, not any woman but his wife’. Kadangkala saya tambah lagi, not any wife but first wife!” tutur Tun Hasmah serius.

Sekilas kata-kata itu mengingatkan penulis pada hantaran Facebook Tun Mahathir (klik sini) beberapa bulan lepas.

Perkahwinan mereka yang sudah melewati ulang tahun Jubli Intan menjadikan apa jua perkongsian cinta berkenaan keduanya begitu indah untuk dijadikan panduan.

“Sebagai isteri, kita harus percaya dan yakin suami kasih dan sayang. Setiap pasangan mesti ada keyakinan sebegitu supaya tiada kebimbangan di hati.”

Nasihat Tun Hasmah, seandainya berlaku konflik dalam rumah tangga, belajar selesaikan dengan matang pada waktu dan tempat yang sesuai.

“Ada ketikanya saya tergelincir juga dalam kata-kata hingga menyebabkan dia berdiam diri. Kadangkala dalam motokar pun dia diam. Tak boleh buat-buat cakap. Itu tandanya ada sesuatu yang tak kena. Jadi sampai rumah kami akan selesaikan,” kongsinya tentang petua kebahagiaan.

Tidak hanya terkenal sebagai isteri pemimpin negara dan doktor perubatan, bonda Tun Hasmah terus meniupkan inspirasi kepada generasi wanita moden seperti kita semua agar lebih bijak menguruskan keluarga serta memberi masa untuk menjaga diri sendiri.

Dari hobinya yang suka menulis, bermain muzik dan mengambil tahu perihal isu semasa, beliau jelas melambangkan sisi Nona Superwoman yang sebenar… She’s truly a living legend.

 

Penyelaras & Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata Gaya: Kiffy Razak
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Emma Mustafa
Dandanan: Dr Rajavel

Share
Published by
Norzalina