Ilham Echenta sememangnya sinonim dengan koleksi turban ikonik dengan rekaan urban dan moden. Ilham Echenta juga pakar dalam penggayaan turban dan hijab ringkas berkonsepkan instant namun tetap punya elemen elegan.
Dilancarkan sekitar November 2012, Ilham Echenta kini kian menjadi pilihan khususnya di kalangan wanita urban, berkerjaya dan sofistikated. Kebanyakan klien mahupun pelanggan Ilham Echenta bukan saja dari Malaysia bahkan luar negara antaranya Perancis, Doha, Kuwait, Singapura, German, Indonesia, Denmark, Sweden dan Jepun.
Setelah empat tahun bergelar iconic turban designer pertama di Malaysia, sekitar Oktober 2015 Ilham Echenta melebarkan sayapnya ke pasaran Eropah pula. Selain boleh berkunjung ke butiknya yang terletak di Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, koleksi Ilham Echenta turut boleh didapati di Isetan, KLCC.
Di samping itu, Ilham Echenta juga merupakan vendor di butik fizikal Modvier serta vendor online di Zalora, Fashion Valet dan Modestrove (London).
SENTUHAN EKSLUSIF
“Keistimewaan Ilham Echenta ialah ciri-ciri modest bagi turban dan hijab yang boleh digayakan untuk majlis formal mahupun kasual. Ia memiliki sentuhan eksklusif tersendiri seiring perkembangan trend semasa.
Setiap pelanggan punya cita rasa berbeza dan inilah yang membuatkan setiap produk kami ada keistimewaan tersendiri. Hampir semua produk mendapat perhatian peminat Ilham Echenta.
Golongan eksekutif antara pembeli tegar kami kerana gaya hidup mereka yang ingin bergaya tetapi dalam masa yang sama masih mahu tampil ringkas dan tak keterlaluan,” kongsi E yang merupakan pemilik Ilham Echenta.
DEKORASI
“Pada mulanya kami mewarnakan dinding dengan warna hitam untuk tampak lebih elegan tetapi sekarang ianya ditukarkan kepada warna putih pula bagi menampilkan lebih pencahayaan memandangkan butik kami di tingkat atas dan cahaya pun agak kurang.
Terdapat dua ruang menunggu untuk pengunjung. Satu ruang kami terapkan dekorasi yang kelihatan mahal sedikit berbanding ruang berhampiran rak tudung. Tujuannya ialah supaya aura elegan dan ringkas bersatu.
Saya dan suami menentukan sendiri konsep dekorasi termasuk mewarnakan dinding di ruang tetamu. Begitu juga dengan kayu wainscotting yang kami lakukan sendiri. Itulah antara nilai sentimental yang ada pada butik Ilham Echenta,” bicara E.
IMPIAN
“Kami sentiasa peka dengan permintaan semasa walaupun ada kalanya tak dapat memenuhi semua permintaan tersebut. Kami juga perlu bijak memilih konsep pemakaian untuk tahun 2018 yang boleh dipadankan dengan hijab atau turban Ilham Echenta.
Harapan saya agar dapat menembusi pasaran antarabangsa seperti London. Jika ada peluang ke negara Timur Tengah kami ingin menembusi pasaran itu juga. Dengan itu dapatlah kami mengenali dan mendekati peminat-peminat tegar dari Eropah dan Timur Tengah dengan lebih dekat.
Doakan kami berjaya mengharumkan nama Malaysia sebagai pengusaha turban dan hijab di serata dunia suatu hari nanti,” akhiri E.
Kredit: Instagram Ilham Echenta & Echenta
This website uses cookies.