Luar biasa pencapaian dan rezeki yang dikurniakan kepada Aishah Radhiah Adanan. Pada usia 34 tahun dia memiliki keluarga bahagia, kerjaya yang hebat, kereta dan rumah mewah. Bahkan hampir semua impiannya selama ini sudah berjaya direalisasikan. Tumpang bangga dengan kejayaan usahawan wanita ini!
Akui makin tenang dan optimis merencana masa depan, Aishah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) tidak menyangka keputusan untuk beralih kerjaya daripada jurutera kepada jurujual nyata berbaloi. Walau terkilan kerana keputusan tersebut tidak mendapat restu ibu bapa namun wanita kelahiran Negeri Sembilan ini yakin dengan kemampuan diri dan mampu membanggakan keluarga satu hari nanti.
Mesra ditemu bual Nona, Aishah bersyukur diberi peluang untuk berkongsi kisah kejayaan sebagai pembakar semangat buat lebih ramai wanita. “Saya berasal dari Seremban. Ayah, Adanan Abu Bakar seorang ibu dan ibu, Azizah Kassim pula bekerja sebagai kerani. Saya pernah jadi guru tuisyen dan bertugas sementara di Tekla iaitu sebuah syarikat pereka struktur ketika masih belajar di UTP.
Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Kelana Seremban. Kemudian memasuki sekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah dan terus melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda di UTP. Saya pernah ditawarkan bekerja sebagai jurutera bidang offshore
di PETRONAS namun kerana kecintaan saya terhadap bidang perniagaan, saya tinggalkan.”Biarpun meminati bidang perniagaan namun Aishah tidak sesekali mengabaikan pengajian. Baginya pendidikan tetap menjadi keutamaan apatah lagi kedua-dua ibu bapa sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada anak kedua daripada empat beradik ini.
“Saya mula berniaga sewaktu sedang menjalani praktikal Petronas selama 8 bulan. Bermula sebagai part time agen jualan, saya bahagikan masa untuk buat jualan pada malam hari dan hujung minggu. Selepas habis praktikal dan sambung semula kuliah, saya sanggup berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu untuk bekerja di tapak promosi.
Kadang-kadang pasukan kami menyertai expo jualan di luar kawasan seperti Kuantan, Ipoh dan banyak lagi. Memang saya akan turut serta kerana minat mendalam berniaga dan mula nampak hasilnya. Namun semua saya lakukan tanpa pengetahuan ibu bapa yang sangat berharap saya menjadi jurutera berjaya,” dedah Aishah yang mengagumi kepimpinan usahawan terbilang negara, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Bergelar isteri kepada Mohd Ikbal Hassan dan ibu enam anak, Aishah percaya kerjaya sebagai agen jualan mampu memberi pendapatan lumayan jika dia serius dengan pekerjaan tersebut. Berkat usaha gigih, tawakal dan berserah kepada Yang Maha Esa, kini Aishah berjaya meraih pendapatan hingga enam angka!
“Kerjaya ini tidak memerlukan pendidikan yang tinggi tetapi cukup dengan modal kegigihan yang tinggi untuk berjaya. Saya tinggalkan kerjaya jurutera Petronas kerana saya merasa kerja jurujual dan seterusnya bergelar pengurus jualan lebih membentuk peribadi saya di samping dapat pendapatan lebih lumayan yang saya sendiri tentukan.
Memiliki pendapatan 6 angka di Coway membuatkan saya boleh membeli apa yang saya impikan termasuk memiliki beberapa banglo tepi laut yang menjadi impian saya sewaktu kecil.
Pada mulanya saya hanya membeli sebagai koleksi namun memikirkan rumah yang tidak berpenghuni, saya dan suami mengupah pasukan perhotelan untuk menguruskan rumah kami dan menjadikannnya resort percutian mewah peribadi MIHARA Villa. Mereka menguruskan semuanya tanpa saya perlu memikirkan soal pengurusan dan pemasaran.”
Tatkala ditanya jumlah koleksi banglo mewah yang sudah menjadi miliknya, Aishah dalam nada rendah diri mengakui sudah berjaya membeli lebih daripada 10 kediaman mewah. Luar biasa!
“Pendapatan yang lumayan mendorong saya lebih rancak menambah koleksi rumah mewah untuk dijadikan resort percutian peribadi. Saya sangat bersyukur kerana pada usia seperti ini, saya boleh memiliki apa yang saya inginkan. Antaranya dapat melancong ke seluruh dunia, menginap di hotel-hotel bertaraf dunia, memiliki beberapa buah koleksi banglo mewah dan memandu kereta mewah seperti BMW, Mercedes dan Lotus.
Kalau ditanya impian yang masih belum tercapai, saya mahu menjadi manusia terkaya di atas muka bumi. Saya yakin boleh mencapainya kerana saya meminta pada Yang Empunya segalanya. Jika Dia memberikan pada orang itu, Dia juga akan memberikannya kepada saya.”
Dalam usaha meraih kesenangan hidup, Aishah tidak lupa tanggungjawab sebagai anak dan menjadikan ibu bapa selaku pencetus semangat. “Ibu bapa saya adalah pembakar semangat untuk kaya dan berjaya. Saya mahu ‘memanjakan’ mereka selagi boleh, bawa mengelilingi dunia dan tunaikan apa saja impian mereka sebab saya pernah mengecewakan mereka suatu ketika dulu.
InshaAllah saya akan tebus kekecewaan mereka hingga akhir hayat. Selain ibu bapa, suami, keluarga besar dan Coway adalah kesayangan saya yang menjadi pemangkin untuk bangkit jika saya berada dalam situasi mencabar.”
Mengulas lanjut kerjaya terkini yang ternyata mengubah taraf hidup, Aishah berkata bidang ini banyak mengajar dirinya mengenai erti kehidupan.
Coway telah banyak mengubah diri, akhlak, cara berfikir dan taraf kehidupan saya. Saya dah jumpa bermacam-macam ragam manusia dengan pelbagai latar belakang dan pemikiran sebagai pelanggan dan juga pasukan jualan. Berkomunikasi dan membimbing untuk capai impian mereka merupakan semangat saya.
Ada di antara mereka yang berpendidikan dan berjawatan tinggi juga orang kurang upaya termasuk yang lumpuh serta tidak diberi peluang untuk bekerja di luar sana. Jadi saya bertekad untuk membantu lebih ramai orang untuk mengubah hidup.
Ini tak dapat dilakukan jika saya tidak berada di dalam bidang ini. Melihat kegigihan dan kejayaan mereka merupakan satu kepuasan yang tidak dapat saya nyatakan.
Persahabatan, kesempatan dan perkenalan ini sangat bermakna buat saya melebihi harta dan wang ringgit. Ramai yang memandang rendah pekerjaan kami sebagai jurujual, namun kerjaya inilah yang banyak melatih individu menjadi seorang yang lebih cekal, kuat, tabah dan sabar menghadapi kehidupan.
Sebagai jurujual, pelbagai rintangan perlu dihadapi. Berhadapan dengan pelanggan yang cerewet dan panas baran banyak mengubah saya menjadi manusia yang lebih tenang dan professional. Dimarah dan diherdik kerana kelewatan pemasangan atau kerosakan mesin antara perkara yang mendewasakan saya.
Berdepan dengan pasukan yang memberontak juga menjadikan saya pemimpin yang lebih berhati-hati mengenai perasaan ahli pasukan saya. Saya lebih menghargai dan menyayangi setiap daripada mereka. Saya percaya kepercayaan itu datang dari kasih sayang.”
This website uses cookies.