Kagum dengan kebolehan isteri pengarah terkenal Aziz M. Osman ini menguruskan kerjaya dan keluarga tersayang. Dalam kesibukan mengusahakan perniagaan dan tugas di sebalik tabir, Puteri Lily Lokman tetap tidak mengabaikan tugasnya sebagai isteri serta ibu kepada dua cahaya mata comel. Memang betullah orang perempuan ini mampu buat macam-macam benda dalam satu-satu masa!
Ditemu bual Nona baru-baru ini, Puteri Lily atau mesra disapa Lily mesra berkongsi perkembangan terkini dan sisi peribadi. Disifatkan seorang wanita yang aktif dan berdaya saing, Lily yang berusia 33 tahun nyata matang dan mempunyai hala tuju yang jelas.
“Sekarang, saya tengah buat persediaan untuk filem terbaharu memandangkan kerja utama adalah producer. At the same time, sibuk juga melayan anak-anak. Boleh dikatakan semuanya buat masa ini on progress.
Setakat ini, saya buat tiga benda iaitu jadi penerbit, pengasas kosmetik kanak-kanak iaitu Ara Little Beauty dan satu lagi saya buat bisnes tiram atau oyster.
Perniagaan tiram ini yang terbaharulah.”Mengulas bagaimana dia mampu membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga, Lily dalam nada tenang membuka cerita.
“Jujurnya, saya tak ada maid untuk bantu urus rumah dan anak-anak. Alhamdulillah, buat masa ini kebanyakan kerja dilakukan secara online dan ada staf yang turut bantu uruskan kerja-kerja di pejabat. Memang kami tak ambil khidmat pembantu rumah. Jadi semuanya kena buat sendiri.
Saya bersyukur, Ara pun dah besar dan dia banyak tolong saya buat kerja-kerja rumah. Termasuklah juga abang Aziz yang banyak bantu. Semuanya jadi mudah bila ahli keluarga saling membantu, teamwork.”
Menyentuh pembabitan dalam perniagaan Tiram.je, Lily berkata ia bermula kerana menggemari makanan laut berkenaan. “Oyster ni sebenarnya saya memang suka makan dengan my partner, Reen. Harga tiram di pasaran kebanyakannya mahal. Jadi, rakan kongsi iaitu Reen beritahu nak jual tiram tapi kami sendiri yang deal dengan supplier.
Kami pun buat dan buka stall. Dapatlah jual murah sebab tak terikat dengan nak bayar staf ramai atau tempat sewa restoran mahal. Maksudnya tak ada komitmen yang besar. Sebab itulah saya dapat jual dengan harga berpatutan kerana dapat good supplier.
Alhamdulillah.Saya suka berniaga daripada dulu. Apa saja yang boleh berniaga, saya jual selagi halal. Dari dulu memang suka try and error, macam-macam bisnes pernah cuba. Lagipun saya jenis yang tak boleh duduk diam. Bagi saya, boleh stres kalau duduk diam. Tu yang orang tengok saya, mereka kata tak penat ke. Tapi it’s fun.”
6 Jun lalu genap 12 tahun Lily sah menjadi isteri Aziz M. Osman. Sepanjang hidup berumah tangga, pasangan ini mengamalkan sikap toleransi dan saling menghormati di antara satu sama lain. Bercerita lanjut mengenai resam hidup berumah tangga, ini jawapan jujur Lily.
“Resipi rumah tangga yang penting sekali ialah kepercayaan. Saya dan suami memang tak pernah ada isu kepercayaan. Apa-apa yang kami nak buat, masing-masing tak mengongkong atau suspect anything. Alhamdulillah, tak pernah berlaku.
Kena pandai-pandailah jaga diri. Kalau nak keluar mana-mana pun pandai bawa diri. Kalau suami marah atau bad mood dan ada something going on misalnya, saya memang jenis yang tak akan menjawab.
Jangan lagi ‘membakar’. Kalau kita salah, cakap sorry. Itu antara yang kami amalkan selama berkahwin. Simple macam tu je.
Untuk mendidik anak pula, kebanyakannya memang saya buat untuk pembelajaran dan persekolahan anak-anak. Bab cari dan survey sekolah untuk anak, saya yang buat. Memang saya agak tegas dalam pembelajaran mereka.
Abang Aziz more to disiplin dan timing serta kebersihan anak-anak. Masing-masing ada tugas dan tanggungjawab didik anak. Kalau seorang tegas, seorang lagi kena calm. Macam tu lah.”
Aziz M. Osman dan Puteri Lily Lokman berkahwin pada tanggal 6 Jun 2010. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Puteri Nur Azzahra atau dikenali sebagai Ara Aziz dan Muhamad Aryan Aziz.
This website uses cookies.