Setiap wanita punya pelbagai kisah di bilik bersalin. Ada yang terpaksa melalui proses kelahiran yang panjang, ada juga yang dipermudahkan proses kelahiran. Tidak kira sama ada bersalin anak pertama mahupun kelima, setiap proses kelahiran mempunyai ceritanya yang tersendiri.
Ads
Ads
Ads
Bagi Che Puan Juliana Evans, dia mengakui masih trauma dengan proses bersalin ketika melahirkan anak pertamanya secara normal kerana epidural yang diambil tidak memberikan reaksi atau tindak balas untuk dirinya ketika itu.
Anestesia epidural merupakan satu cara untuk memberi anestesia dengan menyuntiknya ke dalam ruang epidural tulang belakang. Ia menghalang isyarat sakit daripada sampai ke otak. Ia adalah satu kaedah mengawal/melegakan kesakitan yang biasa digunakan oleh wanita ketika melahirkan bayi.
Menurut Juliana, perasaan trauma yang dialami itu membuatkan dirinya lebih bimbang dan akan lebih bersedia dari aspek mental untuk proses kelahiran anak keduanya yang dijangka Julai ini.
Sambung ibu kepada seorang puteri ini, tidak dinafikan perasaan trauma dan risau menjadi mainan dalam dirinya untuk melalui proses kelahiran anak kedua.
“Saya langsung tak fikirkan rasa sakit yang bakal saya lalui kerana saya betul-betul mengharapkan suntikan epidural itu berkesan. Bayangkan, ketika suntikan epidural yang diberikan kepada saya tak menjadi.
“Rupanya, hal sebaliknya berlaku. Saya rasa sakit sehingga badan saya terkejut. Saya tak sangka yang saya akan merasai rasa sakit seperti itu di dunia ini. Rasanya seperti setengah mati. Saya ada ambil ‘laughing gas’ tapi tak berkesan juga,” katanya memetik Astro Gempak.
Juliana atau lebih mesra dengan panggilan Jue itu berkongsi dengan pihak media ketika ditemui di Acara Baby Shower yang diadakan di Double Tree By Hilton, Shah Alam pada Rabu.
Menurut Jue lagi, untuk kelahiran anak keduanya, dia sudah mula membuat persediaan dari segi mental dan fizikal supaya tidak terkejut dengan tahap kesakitan yang bakal dialaminya.
“Bagaimana pun saya bersyukur kerana selepas bebeberapa bulan bersalin badan saya pulih sepenuhnya. Jadi saya boleh simpulkan semua wanita yang bersalin ini seperti kena langgar bas sekejap selepas itu macam tiada apa-apa yang berlaku.
Sebab itu saya lebih menghargai ibu saya,” ujar Juliana yang mengakui persiapan mental untuk ibu semasa proses kelahiran penting untuk bersedia dengan apa sahaja yang bakal berlaku.
“Hal ini tak berlaku ketika kehamilan anak pertama. Saya juga banyak baca mengenai pengalaman ibu-ibu yang lain. Rupanya banyak juga yang melalui pengalaman seperti saya. Saya berharap sangat yang saya tahu perkara ini lebih awal,” ujarnya.
Untuk rekod, Juliana mendirikan rumah tangga dengan Yang Amat Mulia Tengku Shariffuddin Shah pada April 2017. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Tengku Kamaliah Zanariah Josephine Ehsan Shah yang kini berusia empat tahun.
Che Puan Juliana Evans juga pernah menerima pengiktirafan NONA Beauty Award di NONA Superwoman Award 2022 yang dilangsungkan Januari lalu. Ketika itu, desas-desus kehamilannya mula tersebar apabila kemunculannya di majlis berprestij tampil berseri-seri seperti wanita sedang hamil.