Di permukaannya terlihat sangat indah. Namun mungkin tidak seindah apa yang ditanggung. Zareth Shahar John, 32 tahun berkongsi perjalanan hidupnya dalam usaha mencari sesuap rezeki. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Ya! Perjalanan hidup kita tidak sama. Masing-masing punya jalan cerita tersendiri dan ada yang lebih sukar dan sukar diterima. Namun, kebangkitan wanita dari segi fizikal dan mental itu adalah usaha yang paling besar kerana seringkali dikatakan insan yang lemah.
“Saya sentiasa menyahut cabaran untuk melakukan apa jua kerja seperti jururawat, pramugari, instructor First Aid, modelling dan kini sebagai wealth planner. Setiap bidang pekerjaan saya laksanakan itu pastinya mempunyai dugaan yang berbeza.
Kerap kali juga berlaku keadaan yang tidak menyenangkan dan menyentuh hati saya dalam situasi kerja sebelum ini. Namun saya mengambil keputusan untuk tidak mengambil hati atau membalas dendam dan sentiasa menunjukkan kasih sayang kepada mereka atau pada situasi yang berlaku.
Semasa bekerja sebagai seorang jururawat, ada segelintir yang tidak menyenangi cara kerja saya. Pernah saya ditukar ke jabatan lain tanpa notis awal bagi menjadikan suasana kerja lebih sukar, sehingga mendorong saya untuk meletakkan jawatan.
Bayangkan walaupun kerja saya di nurseri tidak mudah, belum pernah saya membuat mana-mana bayi di bawah penjagaan saya menangis. Saya juga terpaksa menjaga 12 bayi pada satu-satu masa. Kadangkala apabila tiada pengganti, saya terpaksa bekerja dari jam 2 petang hingga 7 pagi keesokan harinya.
Keadaan itu menyebabkan saya tiada masa untuk makan, pergi ke tandas atau berehat. Kaki saya bengkak kerana terpaksa berdiri berjam-jam. Hampir setiap hari saya merendam kaki dalam air suam untuk melegakan kesakitan,” luahan hati Zareth bercerita tentang pengalamannya sebagai seorang jururawat.
Selain itu, ada juga kisah di sebalik keindahan berkhidmat di awan biru. “Semasa bekerja sebagai cabin crew, saya menghadapi situasi yang mencabar dengan ketua, terutama bila adanya persepsi peribadi mereka terhadap anda. Saya pernah dimalukan di hadapan kru dan penumpang sehingga menjadikan suasana dalam penerbangan itu tidak senang untuk bekerja.
Apabila saya mendapat peluang untuk menjadi Cabin Crew Leader, saya memastikan tiada sesiapa yang mengalami pengalaman itu dan saya menyantuni mereka semua dengan hormat.
Selain itu, semasa bekerja sebagai cabin crew, hari bekerja dan hari cuti tidak seimbang. Pada awal kerjaya, jadual kerja kita agak fleksibel dan senang untuk menukar syif antara kru yang lain seperti jika saya ada kecemasan dan perlu menukar syif dengan kru yang lain.
Tetapi menjelangnya tahun terakhir, kami kehilangan fleksibiliti ini. Ia agak menyukarkan kerana saya tidak dapat merancang aktiviti selain hanya dapat meluangkan masa dengan kru apabila dapat bercuti pada waktu ‘night stops’ di destinasi negara yang kita berhenti.
Memang menyeronokkan apabila mendapat peluang untuk berada di negara yang berbeza. Tetapi keseimbangan kehidupan sosial saya dan waktu bersama keluarga agak terjejas semasa menjadi cabin crew.
Selepas berkahwin, saya sukar meluangkan masa bersama suami disebabkan jadual penerbangan 6 hari berterusan dan hanya dapat bercuti sehari dalam seminggu.
Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk bertukar ke jabatan lain dan bekerja mengikut waktu pejabat. Itulah waktunya saya dapat kembali menikmati cara hidup yang lebih stabil dan meluangkan masa bersama keluarga.
Dua pengalaman ini, sebagai seorang jururawat dan cabin crew, adalah pengalaman paling mencabar pernah saya lalui dalam usaha mencari rezeki. Namun, saya berterima kasih kepada Tuhan kerana saya dapat mengatasi semua masalah dan ia menjadikan saya lebih kuat.
Terutama sekali sebagai cabin crew, kerjaya ini berjaya mengubah saya dan mengajar saya untuk menjadi seorang yang mampu menyelesaikan masalah, sabar, sopan dan yakin. Ia juga mengajar saya cara untuk bercakap, berjalan dan menggunakan bahasa tubuh dengan betul,” akur Zareth.
Hikmah di sebalik ketegangan dalam pekerjaan, “Segala puji pada Tuhan, sekarang saya berjaya mengatasi stres, masalah kesihatan dan kekecewaan sebelum ini.
Kerjaya saya sekarang sebagai seorang Financial Advisor mempunyai jadual kerja yang tidak tetap, tetapi saya diberi peluang untuk mengatur jadual harian saya dengan bijak seperti masa bekerja, masa sosial dan masa untuk berluang bersama keluarga. Pada waktu lapang saya juga mengendalikan sesi kaunseling kepada remaja dan pasangan suami isteri, aktif dalam bidang seni seperti modelling, muzik seperti menyanyi, main piano dan drum,” ujar Zareth.
Sekarang saya punya masa untuk membuat aktiviti sosial, makan makanan berkhasiat dan bersenam bersama rakan sekerja dan keluarga. Saya juga kerap berinteraksi dengan kawan-kawan rapat untuk kestabilan fikiran.
Saya tinggalkan semua kenangan lalu yang banyak memberi kesan negatif dalam hidup saya. Saya bangkit menjadi seorang yang berpositif dan tidak terganggu dalam apa jua situasi lagi.
Pada awal kerjaya, bos saya pernah memberi nasihat, “Life is like a stage Zareth, it depends on how you act that will draw your audience or make them walk away.” Ini menyebabkan saya menukar cara pemikiran dan perbuatan saya. Pada hari ini, saya tetap memegang pada nasihat itu dan saya telah menerima kasih sayang, sama seperti layanan yang saya memberi kepada orang.
Ini cerita saya, pastinya setiap wanita punya kisah tersendiri dalam memilih kerjaya masing-masing. Situasi yang kita hadapi, sedikit sebanyak membantu dalam proses kematangan kita sebagai seorang wanita tabah.
Saya terus beristiqamah untuk menjadi orang yang beriman, menyayangi diri sendiri dahulu sebelum memberi kepada orang lain, selalu ketahui harga diri anda dan berfikiran positif apabila menghadapi cabaran, semuanya dengan kehendak Tuhan,” bicara Zareth dengan senyuman manis.
This website uses cookies.