Kelrina Hof, jurusolek professional yang sudah lama dalam dunia solekan. Seronok bila jari kidal Kelrina bermain-main pada wajah. Tetapi menurutnya, ramai client yang suka sekat kreativiti jurusolek.
Untuk menjadi seorang jurusolek bagus, mereka perlu memiliki kemahiran dalam bidang solekan serta kelebihan untuk menggayakan rambut. Barangkali, itulah yang dilihat dari perspektif kliennya, pakej untuk mendapat solekan yang cantik serta penggayaan rambut dan hijab yang kemas dan rapi. Kelrina,52, yang berasal dari Kluang Johor ini masih aktif dalam dunia solekan dan pada masa sama, menguruskan perniagaan sendiri.
Permulaan kerjaya anda dan berapa tahun berada dalam dunia solekan?
Saya mula berjinak-jinak dalam bidang solekan sejak berusia 12 tahun lagi. Ketika itu saya membantu ibu saudara menghias pengantin setiap kali cuti penggal persekolahan. Bermula dengan tugasan mengeringkan rambut pengantin sehinggalah saya memasuki pusat pengajian tinggi.
Saya masih meneruskan aktiviti menyolek rakan-rakan apabila mereka perlu menghadiri majlis dan mendapat upah. Malah, saya juga mengambil upah menggunting rambut mereka. Sehinggalah saya mula bergerak aktif untuk menata rias untuk majalah dan media massa sejak tahun 2000 sehingga kini.
Bagaimana minat bermula sebagai jurusolek?
Ketika saya melihat ibu saudara saya menatarias pengantin, ketika itulah minat saya bermula dan dari situ saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menyertai akademi kecantikan berserta hair coiffure.
Bagaimana penerimaan keluarga apabila anda memilih untuk menjadi jurusolek?
Saya tidak mendapat halangan dari keluarga kerana mereka tahu minat saya. Saya suka berniaga sejak di bangku sekolah lagi. Saya jual kerepek yang dibungkus semula untuk dijual kepada rakan-rakan. Dari situ, saya teruskan pula dengan bidang solekan dan penggayaan rambut.
Apakah cabaran pernah anda hadapi ketika menyolek bakal pengantin?
Sukar buat jurusolek seperti saya jika kami diberikan pelbagai syarat sebelum mula membuat solekan. Ia boleh menyekat kreativiti dan hasilnya sudah pasti kurang memberangsangkan.
Pendek kata, setiap jurusolek pasti akan melalui saat mencabar tidak kira dari segi kredibiliti kerja atau emosi yang berpunca dari faktor luaran dan pelanggan itu sendiri. Tetapi itu semua lumrah dan kita akan belajar cara untuk menanganinya.
Nama anda begitu dikenali dan sering menjadi pilihan bakal pengantin. Bagaimana anda mampu terus kekal menjadi jurusolek pilihan bakal pengantin?
Saya selalu mengikut peredaran masa, memperbaharui teknik solekan dan yang paling penting mempunyai pengetahuan produk yang tinggi
Siapakah idola anda dalam kehidupan?
Ibu saya sendiri kerana tanpa beliau saya tidak ada ditahap sekarang.
Bagaimana anda mengekalkan kedudukan anda sebagai jurusolek kini?
Sentiasa peka dengan alliran semasa. Begitu juga dari segi teknik dan produk.
Pada pendapat anda, apakah kelebihan anda dalam solekan?
Berpegang teguh pada solekan yang tidak keterlaluan. Natural dan tidak nampak fake, terutamanya ketika membuat alis kening dan based foundation adalah sangat penting dalam solekan.
Bagaimana anda melihat kemunculan jurusolek ‘instant’ kini dan adakah anda melihat itu sebagai satu cabaran atau persaingan?
Tidak kira apa juga bidang pekerjaan di dunia ini, pasti wujud persaingan untuk menentukan siapa yang terbaik dalam kalangan yang berpotensi. Bagi saya, sekalipun bidang kecantikan mempunyai graf persaingan yang cukup tinggi, saya yakin dengan rezeki yang sudah ditentukan Allah SWT untuk saya.
Saya percaya kepada bertawakal dalam berusaha. Kalau kita mendahului kewajipan kepada Allah SWT, berserah diri kepada-Nya dengan semua urusan kita sebelum mulakan usaha, pastinya rezeki itu ada. Apa yang penting adalah usaha.
Nasihat anda kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang ini?
Selalu buat research tentang teknik dan produk. Sering bertanya dengan orang lebih berpengalaman dan solek pelbagai jenis kulit. Kita tidak akan dapat banyak pengalaman hanya dengan merias muka sendiri. Solekan orang yang berbeza memberi kita lebih pengalaman dari segi jenis kulit dan bagaimana mengatasi kekurangan mereka.
Nasihat kepada bakal pengantin bagaimana ingin memilih jurusolek untuk hari perkahwinan.
Biarlah solekan itu sederhana segar dan memberi seri diwajah anda serta kekal diterima sampai bila-bila. Tidak perlu ikut trend. Sebagai ratu sehari makeup tidak perlu tebal seperti topeng. Solekan akan terserlah dengan teknik solekan yang tepat. Less is more, jadi kuncinya buat research dan pilihlah jurusolek yang betul-betul berpengalaman.
This website uses cookies.