Sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini adalah pilihan. Kita sebagai manusia yang membuat pilihan hala tuju masing-masing. Pengasas Hijab by Hanami ini nekad memilih perniagaan tudung berlandaskan patuh syariah sebagai saham akhiratnya.
“Perjalanan kita ke syurga ini bukan senang jadi kita kena lalui dengan berlapang dada. Jadi kita kena pilih, keputusan yang kita buat tu kena betul, tak boleh ambil jalan pintas, kita kena pastikan betul-betul rezeki yang kita cari ini betul-betul halal dan supaya kesannya bukan untuk diri sendiri tapi jemaah, keluarga dan hari akhir kita nanti,” tutur Siti Zaleha Hamzah yang telah membina bisnes hijab ini selama tujuh tahun.
Meninggalkan kerjaya profesional demi membina sebuah empayar perniagaan berlandaskan patuh syariah merupakan jihad yang tiada tandingan. Sempat berkhidmat sebagai pendidik selama tiga tahun di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) wanita yang petah berkata-kata ini terus berani merencana perjalanan bisnesnya.
Bercerita tentang detik awal pembabitannya dalam bisnes hijab, “Mulanya saya buat secara suka-suka kerana waktu itu sukar untuk mencari tudung labuh tapi nampak eksklusif. Bila saya pakai, ramai pula yang bertanya malah menggesa saya untuk menjualnya. Kawan-kawan sepejabat ketika itu adalah golongan pertama membeli tudung rekaan saya.
Mereka sentiasa membakar semangat saya untuk terus maju malah ada yang sanggup menghulurkan wang sebagai modal untuk saya meneruskan perniagaan ini. Bukan itu sahaja, ketika cuti semester ada di kalangan rakan pensyarah saya sudi membantu menggunting kain untuk dijadikan tudung,” tutur wanita yang berbekalkan modal RM600, 13 tudung yang habis terjual pada hari pertama jualannya.
Wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Usuluddin dari Universiti Malaya (UM) ini memegang misi, ‘Kaya dan Berjaya Bersama’ dan bersemangat membantu wanita lain untuk menukar taraf hidup. “Misi saya adalah untuk memberi team di bawah saya Kaya dan Berjaya Bersama. Bukan saya sahaja yang mampu memperoleh pendapatan RM1 juta sebulan tapi team saya juga boleh raih pendapatan RM1 juta sebulan.
Itu adalah harapan saya paling besar untuk tengok orang di keliling saya bahagia, berjaya dan cemerlang. Saya juga menyasarkan agar tahun ini saya boleh dapat 5000 agen Hijabs by Hanami untuk perkenalkan jenama ini kepada lebih ramai orang. Sebab kita ada produk yang berkualiti dan patuh syariah jadi saya rasa berdosa sekiranya saya tak berkongsi produk yang bagus ini dekat orang luar yang masih tak tahu lagi jenama ini.
(1) Nona Best Uprising Hijab Brand Award : Tampil Eksklusif Dengan HIJABS BY HANAMI – YouTube
Saya selalu beritahu staf, kita bukan saja nak buat duit kita ada misi. Jika di Malaysia ini ada 30 juta penduduk tapi sekarang belum sampai sejuta pun yang tahu tentang Hijabs by Hanami, jadi perjuangan kita masih jauh lagi,” kata wanita yang berasal dari Selangor ini.
Bersandarkan tagline Peneraju Tudung Bawal Sarung No. 1, Hijabs by Hanami begitu istimewa kerana fabriknya yang berkualiti tinggi, mempunyai rekaan edisi terhad serta keluaran koleksi baru setiap minggu dan boleh disarung oleh segenap lapisan usia. Malah, Hijabs by Hanami mendahului jenama lain dengan mendapat empat trademark tersendiri.