Bila kita tak lokek berkongsi rezeki dengan orang lain, maka Allah juga tidak berkira-kira untuk melimpah ruahkan rezeki kita dan keluarga. Kediaman Pengasas Lana Dream Skin, Reena Zach dan suaminya tidak pernah sunyi dari kunjungan tetamu. Dan tentunya mereka dijamu bak keluarga sendiri!
Ruang tamu kediaman tiga tingkat milik keluarga ini disusun tampak mewah, menunjukkan citarasa yang dimiliki pemiliknya.
“Alhamdulillah sudah enam tahun kami menetap di Kota Damansara. Sebelum ini kami tinggal di Sungai Buloh tetapi suasana di sana tak sama seperti yang saya suka. Sejak kecil rumah keluarga kami bersebelahan jalan raya jadi sehingga kini saya suka pemandangan jalan raya kerana ia bagaikan ‘hidup’ sepanjang masa. Berbeza dengan orang lain yang sukakan kawasan yang redup dengan pepohon hijau.
Biasalah, cita rasa manusia kan berbeza. Kediaman kami ini kebetulannya di tepi jalan raya. Saya boleh lihat dari dalam bilik solek keadaan lalu lintas. Seligat-ligat kereta berlalu, ligat itulah juga otak dan fikiran kita. Betul tak?” soal Reena.
Dekorasi yang diketengahkan ini datangnya dari citarasa Reena sendiri yang sukakan konsep minimalis. Gabungan idea bersama interior designer membuahkan hasil yang tampak sangat cantik dan selesa buat tuan rumah dan tetamu yang datang.
“Saya suka menghias rumah dengan dekorasi yang tidak terlalu sarat. Jika melancong ke luar negara, sekurang-kurangnya satu barang perhiasan rumah yang akan di bawa pulang untuk diletakkan di mana-mana sudut. Kalau dapat buku fesyen edisi terhad dari negara yang dilawati pun dah memadai.
Rumah ini ibarat dunia kita dan keluarga. Menikmati suasana ketenangan di tepi kolam renang ini adalah salah satu kegemaran saya. Sebuah ‘banglo’ kecil lengkap dengan penghawa dingin, penapis udara dan alat permainan yang dihuni lima ekor kucing kesayangan kami menjadi sebab mengapa kawasan outdoor ini menjadi pilihan saya. Anak-anak pun suka meluangkan masa berenang.
Pada saya, asalkan rumah itu tidak terlalu sarat dengan barang perhiasan, ringkas tetapi elegan sudah cukup memadai kerana saya mahu tetamu yang dapat berasa selesa tambah-tambah lagi apabila mereka boleh membawa anak-anak bersama. Tidaklah sampai ada yang takut anak-anak datang dan sentuh macam-macam. Rumah saya sentiasa meriah dengan kehadiran tetamu!” katanya.
“Rumah kami tidak pernah sunyi dari kehadiran tetamu. Kami sekeluarga lebih suka menghabiskan masa di rumah. Di samping dapat bersama suami dan anak-anak, dapat juga menguruskan tanaman herba di belakang rumah. Paling seronok bila dapat mengajak sanak-saudara dan kawan-kawan datang untuk menjamu selera.
“Menu-menu yang dihidangkan semuanya mengikut pilihan tetamu, kadang-kadang seperti hari raya kerana ada ketupat dan rendang. Kami anggap tetamu sebagai pembawa rezeki, jadi meraikan mereka adalah salah satu cara untuk kami mengucapkan terima kasih dan menunjukkan kesyukuran di atas rezeki yang Allah berikan kepada kami,”katanya lagi.
This website uses cookies.