Genap tiga tahun bergelar Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional (PNB), wanita besi Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengumumkan hasrat melepaskan jawatannya selepas tamat penggal esok (30 April).
Sosok bekas Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh dan berusia 73 tahun itu dikatakan telah menulis surat secara rasmi kepada Perdana Menteri tentang hasrat tersebut.
“Kesempatan berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan PNB selama tiga tahun ini ialah satu penghormatan buat saya,” katanya dalam kenyataan terbaru PNB sebentar tadi.
Bertugas dalam tempoh pandemik COVID-19 juga dikatakan amat mencabar bagi isteri kepada Datuk Dr Tawfiq Ayman itu.
“PNB telah melaksanakan agenda transformasi organisasi dalam tempoh yang mungkin paling mencabar dan transformatif pernah dialami.
Tapi hari ini, agenda transformasi ini telah mendorong potensi peningkatan prestasi dan inovasi yang lebih besar serta kecekapan yang lebih tinggi.”
Tambahnya lagi, syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia itu juga sedang berada dalam kedudukan teguh untuk melakukan yang lebih baik lagi pada masa depan.
Beliau berharap agar Kumpulan PNB akan terus meraih penciptaan nilai jangka panjang demi para pemegang unit PNB. Portfolio PNB merangkumi pelaburan-pelaburan strategik di syarikat korporat terkemuka Malaysia, ekuiti global, pelaburan swasta dan hartanah.
LEGASI
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang merupakan anak kepada tokoh cendekiawan negara, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dan Sharifah Azah Aziz pernah terpilih sebagai antara Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia.
Wanita kelahiran Johor Bahru ini mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam bidang Ekonomi Analitikal dan kemudiannya melanjutkan pengajian beliau ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang kewangan dan ekonomi antarabangsa pada 1978.
Ibu kepada dua cahaya mata ini memulakan kerjaya sebagai penyelidik ekonomi di Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Bank Pusat Asia Tenggara (South-East Asia Central Bank Training & Research Centre) pada tahun 1979 hingga 1984.
Kemudian beliau dilantik sebagai Penolong Pengurus Jabatan Ekonomi di Bank Negara Malaysia.
Pada tahun 1994, beliau telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia.
Kemudian pada 1 Mei 2000, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh dan wanita pertama dilantik dalam jawatan tersebut.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dari tahun 1998 – 2000. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd sejak tahun 2004.
Pada 20 April 2011, beliau telah dilantik semula sebagai Gebenor Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Mei 2011.
Upah Jahit Buat Modal Jual Alat Tulis Umur 10, DATIN AMELIA Kini Usahawan Sukses
Tidak semua dilahirkan dalam dulang emas dan boleh mencipta empayar sendiri tanpa menempuh onak dan ranjau dalam kehidupan. Ramai juga usahawan wanita yang berjaya kerana hasil titik peluh sendiri dan sukses kerana pengalaman yang dilalui. Pengasas Amelia Hassan Holdings Sdn Bhd ini juga mempunyai kisah yang tersendiri lantas menyuntik semangatnya untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan.
Usahawan cantik ini menepis anggapan apabila berpangkat Datin atau VIP senang untuk buat bisnes. “Sebenarnya kalau nak buat bisnes atau memulakan perniagaan kena ada ilmu dan kena belajar daripada bawah. Sebagai usahawan kita kena ada asas dalam perniagaan. Jika kita ada duit dan pangkat sekalipun tetapi tiada ilmu, bisnes kita itu tidak akan berkembang dan mampu untuk bertahan lama,” tutur Datin Amelia Hassan memulakan bicara.
Rupanya pemilik Butik Amelia Hassan ini mencintai dunia perniagaan sejak di bangku sekolah lagi. “Sebenarnya minat berniaga ni dari sekolah lagi. Masa umur saya 10 tahun, setiap malam ambil upah jahit sulam tangan seperti tulang belut, kelim baju dan sembat. Hujung minggu pula saya kerja gerai makan kawan mak dan duit upah tersebut jadi modal beli alat tulis yang akan dijual kepada kawan-kawan di sekolah.
Saya buat semua ni sebab saya minat untuk belajar sesuatu yang baru,” jelas wanita yang terus memulakan bisnes pakaian secara kecil-kecilan dan membuka booth di Ampang Park Kuala Lumpur ketika masih belajar di kolej serta membuat modeling sambilan ini.
BANTU KELUARGA
Sebagai seorang anak sudah pasti mahu membahagiakan hati ibu dan bapa, begitu juga dengan isteri kepada Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin ini. “Saya suka melihat kecekalan ibu bapa dalam mencari nafkah kerana kami bukan orang senang. Saya merupakan anak sulung daripada 4 adik-beradik, sudah semestinya membantu keluarga menjadi tanggung jawab yang perlu dipikul.
Tanggung jawab ini membuat saya berkobar-kobar untuk berjaya dan membantu keluarga. Saya disiplin dalam setiap apa dilakukan sehingga berjaya, saya tidak melakukan satu kerja malah saya dah biasa melakukan banyak pekerjaan dalam satu masa. Begitu juga dalam bidang perniagaan saya suka berniaga macam-macam dan cuba semuanya. Tapi, kena ingat semua itu kena ada ilmu dan kena pandai membuat pengurusan dengan betul serta kena pandai membahagi masa. Kalau tersilap langkah perniagaan kita akan hancur,” ungkap wanita keturuna Melayu-Minang ini.
BAHAGI MASA
Selain daripada butik, wanita yang berusia 35 tahun ini juga meneroka bidang perniagaan berasaskan makanan dan kesihatan. Sebagai pemilik Carlos Cafe dan pengasas bersama Health Valley bagaimana agaknya wanita cantik ini membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.
“Bagi saya perancangan itu sangat-sangat penting. Kena pandai membahagi masa dan saya akan pastikan setiap pengurusan akan dijadualkan seminggu atau malam sebelum. Sebelum keluar bekerja saya akan pastikan akan bersama dengan anak-anak terlebih duhulu. Kemudian saya akan ke butik dan kafe setiap hari serta pulang ke rumah sebelum pukul 6 petang. Dalam pada itu, saya juga pergi ke kelas agama dalam seminggu empat kali,” kata Datin Amelia lulusan Diploma in Business IT dan Diploma in Fashion ini.
KECANTIKAN
Rasa tak lengkap jika tidak bertanya tentang rutin penjagaan diri wanita cantik kelahiran Kuala Lumpur ini. “Saya sangat menitik berat soal kecantikan dan kesihatan sebab tanggung jawab saya besar dalam perniagaan oleh itu saya akan pastikan sentiasa sihat.
Apa yang saya lakukan, setiap hari saya akan bangun seawal 5.00 pagi tahajud sebelum menunggu waktu subuh. Masa dan ketika ini adalah sebaik-baiknya untuk berdoa dan antara masa doa yang tidak akan ditolak. Saya juga minum banyak air putih dan makan makanan yang berkhasiat. Saya suka makan ikan tapi tak suka makan ayam. Selain itu saya ambil suplemen yang tepat untuk tubuh saya dan tak pernah lupa ambil vitamin C & E.
Saya akan pastikan setiap hari saya akan mengambil pure Bird’s Nest by Amelia Hassan untuk kekal cantik muda dan bertenaga kerana saya juga masih mnyusukan dua orang anak, syukur alhamdulillah,” tutur Datin Amelia yang menganggap dugaan berniaga musim COVID-19 sebagai lumrah dalam berbisnes dan berlapang dada menerimanya.
Ratu Badminton Goh Liu Ying Tunjuk Cara-Cara Workout Mudah Di Rumah
Meskipun duduk di rumah dan kekalkan jarak sosial, arahan ini bukanlah tiket untuk para atlet negara beristirahat daripada rutin latihan.
Bagi Goh Liu Ying, beliau yang merupakan atlet beregu campuran badminton negara dan kini tersenarai di ranking ketujuh dunia, memilih gaya hidup sihat untuk mengekalkan staminanya.
Dalam temu bual eksklusif Nona dengan Liu Ying atau ‘Guleng’, wanita jelita berusia 31 tahun dengan ketinggian 166cm ini mengakui sebagai atlet perlu aktif bagi mengelakkan tahap fitness menurun.
Sambil mengusik tentang videonya bermain badminton di dalam bilik, beliau sambil ketawa menjawab, “Dimana-mana pun boleh berlatih, takde masalah. Smash terus bila dapat raket dan bulu tangkis.”
AJAK WORKOUT DI RUMAH
“Sebenarnya duduk di rumah pun kita mesti kekal sihat dan positif. Jangan beri alasan tak boleh keluar untuk tidak berpeluh. Saya sendiri pun ambil inisiatif bersenam, buat yoga, tabata dan core exercise untuk kesihatan.
Walaupun tanpa kemudahan gym, tapi kita boleh buat senaman berasaskan body weight, push up atau squat. Untuk wanita, senaman-senaman ini sangat senang dilakukan dan tak perlu ruang yang besar.
View this post on InstagramA post shared by Goh Liu Ying OLY 吴柳莹 (@gohliuying) on
Untuk seorang atlet, senaman ni memanglah tak cukup. Tapi sekurang-kurangnya masih okey daripada tak berlatih langsung. Yang penting kita set alarm untuk bangun awal dan workout!
Aspek pemakanan pun mesti dijaga. Walaupun kita sebagai wanita suka memasak, tapi janganlah keterlaluan. Jangan lupa bahawa badan kita kurang aktif di rumah dan pembakaran kalori jadi perlahan berbanding biasa.
So kalau masak, cuba kurangkan makanan bergoreng dan banyakkan masakan stim atau sup.
Untuk mengendalikan stres, saya suka masak dan main game. Saya juga selalu tengok movie, boleh dikatakan setiap hari untuk mengisi masa lapang. Ada masanya saya buat LIVE di Instagram untuk kongsi ilmu workout dengan peminat sukan.
Waktu ini sepatutnya saya berada di Wuhan, China untuk menyertai kejohanan The Asian Badminton Championships (ABC) bagi sesi kelayakan Sukan Olimpik akan datang.
Tapi memandangkan Sukan Olimpik Tokyo pun dah ditunda, jadi tarikh baru belum diputuskan. Saya harap wabak bencana COVID-19 akan segera berakhir supaya dapatlah menyertai kejohanan-kejohanan lagi,” kata Liu Ying yang berasal dari Melaka itu.
Sebelum PKP berkuatkuasa, Goh Liu Ying bersama gandingannya Chan Peng Soon mara membuktikan prestasi cemerlang selepas meraih kejuaraan Masters Thailand dan Terbuka New Zealand pada Januari dan Mei lalu.
Beliau yang mengikat kontrak sebagai duta Li-Ning dan Yobick Malaysia sudah berundur daripada pasukan kebangsaan pada Disember 2018, namun mereka masih meneruskan kejohanan antarabangsa di bawah penajaan Li-Ning.
Anak sulung daripada tiga beradik milik pasangan Goh Chak Wee dan Yong Oi Lin ini sering menyertai pelbagai kejohanan badminton di peringkat antarabangsa. Antara pencapaian terbaik beliau membawa pulang pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio 2016. Liu Ying juga bercita-cita untuk mengharumkan nama negara dalam Sukan Olimpik Tokyo akan datang.
Cipta Tabung Sedekah Subuh Dengan Paip PVC, Ini Pesan USTAZAH ASNI MANSOR “Ajar Tangan Kita Untuk Selalu Memberi”
Kalau sudah kreatif apa pun ‘menjadi’. Bukan sekadar lukisan, kebolehan Ustazah Asni juga bukan calang-calang. Terbaharu, di kala berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Allah SWT telah mengilhamkan beliau untuk mencipta tabung sedekah Subuh dan tabung korban sebagai saham akhirat.
Lantas kreativitinya itu dikongsi buat semua pencinta karya seninya yang sentiasa tertunggu-tunggu dengan ‘buah tangan’ terbaharu.
TERCETUSNYA IDEA
“Tercetusnya idea untuk mewujudkan tabung sedekah Subuh ini adalah ketika saya sedang mengisi hasil lukisan yang ditempah ke dalam bekasnya. Tiba-tiba terdetik di fikiran saya, selain lukisan alangkah baiknya kalau bekas itu juga dapat memberi manfaat kepada penerimanya. Lalu saya pun mendapat idea untuk mencipta tabung sedekah Subuh.
Sebenarnya saya sudah pun memulakan projek tabung DIY ini sejak PKP lagi. Ideanya pun datang secara kebetulan, alhamdulillah saya terinovasi untuk melakukan beberapa perkara. Antaranya tabung DIY ini. Saya turut mencipta bentuk Kaabah daripada kotak-kotak.
Tabung ini diperbuat daripada paip PVC yang dipotong kemudian dibersihkan, digosok dan dicat mengikut kreativiti. Pada awalnya saya mengikut warna asal buluh pada tabung ini sehingga ramai yang ingat itu adalah buluh lemang. Sekarang ini saya upgrade semula menjadi edisi istimewa atau premium. Saya hasilkan dalam pelbagai bentuk seperti Frozen untuk anak perempuan, dan Spiderman untuk anak lelaki, pilihan warna biru dan merah.
GALAKKAN BERSEDEKAH
Tujuan utama tabung sedekah ini ialah untuk menggalakan kita bersedekah pada setiap hari dan setiap pagi. Maka dengan adanya tabung sedekah Subuh ini pagi-pagi lagi kita boleh masukkan wang. Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah bersedekah kerana bala bencana tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala dan bencana, dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak.” (Riwayat al-Baihaqi & al-Tabarani)
Selepas solat Subuh boleh masukkan wang ke dalam tabung. Ketika memasukkan wang niatkan untuk bersedekah. Dari segi berapa jumlah wang yang hendak dimasukkan tidak kisah asalkan ada niat untuk bersedekah pada pagi itu. Ajar juga anak-anak kita untuk menabung dengan niat hendak beramal sedekah.
Boleh keluarkan seminggu sekali atau sebulan sekali, terpulang. Yang pentingnya niat untuk bersedekah pada setiap hari telah pun terlaksana. Jika kita tidak tahu kepada siapa hendak bersedekah, boleh gunakan wang tersebut untuk belanja makan anak-anak, keluarga atau kawan-kawan. Itu juga dianggap bersedekah.
Seterusnya ialah tabung korban. Kita digalakkan melakukan ibadah korban pada setiap tahun, bukannya sekali seumur hidup. Korban umpama renew roadtax, setiap tahun kena renew. Maka kita hendaklah melatih diri dan anak-anak faham bahawa setiap orang paling tidak pun ambil satu bahagian.
Kita satu keluarga jangan langsung tiada bahagian dalam ibadah korban. Kalau kita mampu menabung untuk pergi bercuti, kenapa tidak boleh menabung untuk korban? Sedangkan itu tanda bukti cinta kita kepada Allah SWT.
Ajar tangan kita untuk selalu memberi. Kita hendak ajar diri kita supaya ‘harta’ ada di tangan. Apabila ada di tangan senang untuk lepas. Tapi kalau harta ada di hati itu yang jadi bakhil (kedekut). Ini juga adalah training untuk mengajar keluarga dan anak-anak bahawa rezeki bukan untuk kita. Dalam hidup ini kita perlu belajar memberi. Barulah hidup kita akan bahagia.”
DAKWAH MELALUI KAYRA SENI
“Terpukau melihat setiap naskhah lukisan yang dikongsi di Instagram milik pendakwah terkenal, Ustazah Asni Mansor. Lukisan yang indah, unik dan semestinya kreativiti itu datangnya dari jiwa seni yang halus. Tidak sekadar cantik bahkan setiap lukisannya itu dititipkan cebisan doa dengan maksud yang cukup mendalam.
Saya berdakwah melalui karya seni iaitu lukisan. Saya mula serius dalam lukisan sejak lapan tahun lepas. Saya memang sukakan apa jua yang berkaitan dengan seni. Selain melukis saya juga suka berqasidah, bermain kompang dan piano. Saya yakin bahawa ada bakat-bakat tertentu yang sangat berguna untuk berdakwah.
Selalunya sebelum berkarya saya akan berdoa terlebih dahulu untuk mendapatkan ilham daripada Allah SWT. Dua tiga tahun lepas sebuah stesen televisyen ada menjemput saya untuk membuat tafsir Al-Quran. Alhamdulillah tercetusnya idea untuk saya taddabur ayat itu dengan satu karya yang saya tafsirkan maksud-maksudnya.
Kadangkala tercetusnya idea apabila saya banyak menerima direct message (DM) daripada wanita-wanita yang mempunyai masalah seperti rumahtangga. Maka saya akan kongsi doa-doa melalui lukisan untuk mereka amalkan setiap hari. Saya juga kongsikan di Instagram, doa Nabi Yaakub AS yang merintih dan merayu kepada Allah SWT. Kalau Nabi pun mengadu dan merintih kepada Allah SWT kenapa tidak kita.
Selain itu, saya turut kongsikan doa-doa yang bagus untuk kita amalkan setiap hari. Contohnya kalau kita suka letakkan perhiasan di rumah, biarlah perhiasan itu bermakna. Bila dilihat dan disebut kita boleh amalkan serta mendapat pahala. Itulah maksud saya berdakwah melalui karya seni. Bukan sekadar cantik tetapi juga memberi manfaat.
Telah banyak karya seni yang telah saya hasilkan, mungkin sudah hampir mencecah seribu karya sepanjang lapan tahun. Antara penyokong serta yang telah membeli hasil karya seni saya ialah Cik Puan Muda Julita Aishah, Jihan Muse, Heliza Helmi, Fara Fauzana (Fafau), Sherry Alhadad, Diana Amir dan sahabat-sahabat di Brunei.
PENDORONG
Antara sahabat baik yang menjadi pendorong kuat untuk saya terus melukis ialah Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa dan Allahyarhamah Ustazah Shadiya Abbas. Kedua-duanya sangat memberi galakan kepada saya supaya terus berkarya kerana kata mereka ini merupakan satu kelainan dan sangat bagus untuk dikongsikan. Selain itu, ibu juga pendorong kuat saya. Adakalanya beliau rajin mengikut saya pergi berkarya.”
Ustazah Asni sangat bersyukur dan gembira kerana keempat-empat anaknya mewarisi bakat melukis. Masing-masing mempunyai minat serta karakter yang tersendiri. Paling ketara boleh melukis ialah anaknya yang keempat.
Ternyata, dakwah melalui karya seni ini merupakan satu kelainan yang cukup hebat dengan bersandarkan kebolehan yang dipinjamkan oleh Allah SWT untuk memberi manfaat buat insan-insan lain.
Kredit Foto & Video: Instagram Ustazah Asni Mansor