Dalam ketandusan negara mencari jaguh sukan skuasy bertaraf dunia, kemunculan gadis kecil molek dari Kedah ini mencuri tumpuan. Sivasangari Subramaniam membawa harapan sebagai pelapis Datuk Nicol Ann David, sekaligus mengangkat semula kegemilangan sukan skuasy di Malaysia.
Memulakan latihan skuasy pertama sejak berusia 8 tahun, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma itu tekad untuk bergiat secara profesional dalam sukan kesukaannya.
Tidak pernah menoleh ke belakang, satu persatu pencapaian Sivasangari direkodkan, dari peringkat kebangsaan hingga antarabangsa.
Terkini, Sivasangari yang berpangkalan di Amerika Syarikat dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Ivy League, sekaligus menjadi pemain pertama dari Universiti Cornell pernah mencapai gelaran tersebut.
Bekas pelajar Kolej Tunku Jaafar itu juga mendaki ranking ke-26 dunia (PSA World Tour), bersama-sama rakan senegara dan rakan seuniversiti Wen Li Lai turut dipilih secara sebulat suara ke dalam pasukan All-Ivy League.
Ivy League merupakan persidangan olahraga bagi kolej-kolej Amerika, yang terdiri daripada universiti yang berprestij dan terpilih seperti Harvard, Yale, Princeton dan Columbia. Wah, bukan calang-calang pusat pengajian tinggi tu!
ANAK KEDAH
Berasal dari Sungai Petani, Kedah, atlet muda berusia 23 tahun ini merupakan anak kepada pasangan Subramaniam Kaniappan dan Valli Nagappan.
Biarpun bertubuh kecil, namun semangat yang ditunjukkan oleh Sivasangari di gelanggang cukup luar biasa. Dia kini sedang melanjutkan pengajian Bachelor of Science Mass Communication/Media Studies di Universiti Cornell Amerika Syarikat.
Pemain skuasy profesional tersebut sebelum ini mengambil peperiksaan O Level di sekolah antarabangsa Kolej Tuanku Jaafar.
Tekad untuk terus mengejar impian dan mengharumkan nama negara, Sivasangari giat berlatih bagi memperbaiki prestasi serta kedudukannya sebagai pemain skuasy profesional. Syabas dan semoga terus berjaya!
This website uses cookies.