Seorang lelaki menghidap diabetes, hipertensi dan obesiti terkena jangkitan COVID-19. Hari keenam dimasukkan ke hospital (kategori 4), kesihatannya merosot hingga dikejarkan ke ICU. Walaupun memakai mesin bantuan pernafasan, tapi umurnya tak panjang… Beliau meninggal dunia akibat kegagalan organ selepas 4 hari rawatan di hospital.
Kisah ini mengesahkan apa yang telah diketahui dari peringkat awal iaitu faktor risiko untuk jangkitan COVID-19 yang teruk (seterusnya kematian) adalah usia lanjut, diabetes, hipertensi, masalah buah pinggang, penyakit jantung dan obesiti.
Lebih banyak faktor risiko yang dihidapi, lebih tinggi kebarangkalian untuk meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19!
Nona mendapatkan penjelasan daripada Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia tentang langkah pencegahan pandemik bagi golongan ini.
Statistik Kebangsaan menunjukkan pemerhatian yang sama seperti di negara-negara lain. Data kematian COVID-19 terkini yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Klinikal Malaysia pada 29 Ogos 2021 mendapati bahawa:
Diabetes adalah penyumbang utama morbiditi yang teruk dan kematian akibat COVID-19. Paras gula yang tinggi dalam darah menjejaskan sistem imunisasi badan dan mengurangkan kemampuan tubuh untuk melawan jangkitan.
Oleh itu, pesakit diabetes yang tidak terkawal dan dijangkiti COVID-19 menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk mengalami simptom yang lebih teruk, pneumonia (radang paru-paru) serta perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.
Ini terbukti apabila 3-4 daripada 10 pesakit yang memerlukan rawatan rapi di hospital kerana jangkitan COVID-19 yang teruk, atau yang meninggal akibatnya, didapati menghidap diabetes.a
Lebih menyedihkan adalah, 1 daripada 4 penghidap diabetes yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi akibat COVID-19 berakhir dengan kematian.
Statistik ini menekankan betapa penting bagi penghidap diabetes untuk mengelak diri dari dijangkiti COVID-19. Walaupun kebarangkalian untuk mereka mendapat jangkitan tersebut sama seperti orang lain, namun jika dijangkiti, mereka adalah 3 kali ganda berisiko untuk mendapat pneumonia COVID-19 yang teruk, kerosakan organ akhir lain, dan kematian.
BERAT BADAN
Obesiti adalah di antara risiko utama untuk jangkitan COVID-19. Sebelum ini, ia hanya dianggap sebagai masalah kesihatan sampingan yang berkait rapat dengan diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular yang telah diketahui dapat menyebabkan risiko jangkitan COVID-19 yang teruk.
Walau bagaimanapun, data terkini dari kajian berskala besar telah mengesahkan bahawa obesiti adalah faktor risiko yang tersendiri dan serius untuk jangkitan COVID-19 yang teruk.
Malah, obesiti adalah faktor yang menganjak risiko jangkitan COVID-19 yang teruk di kalangan golongan muda. Ini bermakna individu berlebihan berat badan yang berumur bawah 50 tahun lebih cenderung untuk mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk (seperti pesakit yang diceritakan di awal artikel ini).
Peningkatan obesiti di Malaysia memperlihatkan betapa membimbangkan tahap kesihatan populasi negara kita terutamanya berkaitan penyakit metabolisma.
Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 mendapati bahawa 1 daripada 2 orang dewasa di Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obes;
dan 1 daripada 5 orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes!
Kesemua fakta yang tidak menyenangkan ini telah menyumbang kepada kenaikan statistik COVID-19 yang meningkat serta kadar kematian yang tinggi sejak 3-4 bulan lalu!
PENCEGAHAN
Di saat sekatan sosial dilonggarkan dan orang ramai memulakan perjalanan (mungkin juga untuk balik kampung), adalah penting untuk anda mengekalkan semua amalan pencegahan bagi menghindari jangkitan COVID-19.
Perlu diingatkan, sentiasa kekalkan penjarakan fizikal, pakai pelitup muka, dan kerap cuci/basmi kuman tangan anda, terutamanya apabila berinteraksi dengan ahli keluarga yang tidak divaksin seperti cucu anda.
\Dapatkan vaksin COVID-19 jika anda belum berbuat demikian! Kajian telah mengesahkan bahawa vaksin-vaksin yang digunakan di Malaysia adalah efektif, termasuk penghidap diabetes.
Namun begitu, seperti kebanyakan vaksin lain, perlindungan yang diberikannya BUKANLAH 100%. Anda masih boleh dijangkiti selepas menerima vaksin (jangkitan bolos), tetapi kebarangkalian mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk dan kematian amat rendah. Cuba elakkan situasi yang boleh menyebabkan anda dijangkiti.
JAGA DIRI
Penghidap diabetes biasanya mempunyai faktor risiko lain yang berkaitan seperti lanjut usia, hipertensi, obesiti, fungsi buah pinggang tidak normal dan penyakit jantung. Dengan menjaga kesihatan, mereka boleh mencegah virus COVID-19 dari mengancam nyawa mereka.
Malangnya, dalam keadaan pandemik ini, ramai penghidap diabetes tidak mengawal paras gula dalam darah, tidak ambil peduli akan tekanan darah dan membiarkan berat badan bertambah. Ada juga yang tidak menghadiri pemeriksaan rawatan berkala. Mungkin ada yang menganggap masalah kesihatan mereka akan hilang hanya kerana mereka tidak keluar dari rumah.
Sebagai penghidap diabetes, anda perlu mengambil berat tentang kawalan paras gula dalam darah kerana ia boleh mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 yang teruk dan risiko kematian. Jadi, ambillah ubat seperti yang disarankan, jaga pemakanan anda, kekal aktif, dan pantau paras glukosa anda dengan kerap.
Pastikan anda juga menguruskan tekanan darah dan masalah kesihatan kronik lain yang mungkin ada, dan kurangkan berat badan/obesiti. Akhir sekali, hadiri setiap rawatan berkala yang telah dijadualkan.
COVID-19 mengancam semua orang, tetapi kesannya lebih teruk bagi golongan penghidap diabetes dan obesiti. Oleh itu, jagalah diri dan kesihatan anda. Pastikan anda mendapat vaksin COVID-19 bagi mengelak dari dijangkiti virus tersebut.
This website uses cookies.