Kanser payudara sangat digeruni kerana ia merupakan penyebab utama kematian penyakit kanser dalam kalangan wanita. Tidak kira umur atau pekerjaan anda sekalipun, kanser boleh menyerang dan pada waktu ini, anda harus tabah menghadapi pelbagai ujian yang perlu dilalui dalam melawan penyakit yang menjadi musuh di kalangan wanita ini.

Ads

Penghidap KANSER PAYUDARA Berulang, DR NOR ANIZA Tak Pernah Rasa Kurang Sifat Kewanitaan!

Walaupun memegang gelaran sebagai seorang doktor dan mengamalkan gaya hidup yang sihat, Dr Nor Aniza, 44  tidak terkecuali menjadi salah seorang ‘mangsa’ kanser membunuh ini. Namun, dengan semangat yang cekal dan azam yang tinggi untuk menjalani kehidupan yang lebih positif, beliau berjaya menjadi salah seorang cancer survivor.

“Pada tahun 2006, ketika berumur 32 tahun saya mendapati terdapat satu ketulan kecil lebih kurang 2cm di payudara kiri melalui pemeriksaan sendiri payudara (PSP). Anehnya, ketulan itu tidak pernah ada di situ dan saya tidak langsung merasai sakit. Atas dasar kesedaran, saya berjumpa dengan pakar di PPUM dan selang beberapa hari, doktor mengesahkan ia sel kanser.

Saya menyusukan anak-anak dan mengamalkan gaya hidup sihat. Bahkan, tiada siapa di kalangan ahli keluarga menghidap kanser”, jelasnya ketika mula-mula disahkan menghidap kanser payudara.

“Sukar untuk saya percayai. Otak ligat memikirkan anak-anak yang masih kecil dan klinik saya yang baharu saja dibuka. Walaupun saya tahu apakah langkah rawatan terbaik, perasaan sedih dan air mata tidak dapat dibendung”, jelasnya lagi.

Sekali lagi, emosinya terusik dan dunia menjadi gelap tiba-tiba apabila beliau disahkan sekali lagi menghidap kanser payudara.

Ads

” Tidak tahu di mana silapnya, saya adalah peratusan kecil kanser berulang seperti disebut pakar dan saya terpaksa akur bahawa punca usia muda dan hormon yang masih aktif menyebabkan kanser berulang kembali.

Penghidap KANSER PAYUDARA Berulang, DR NOR ANIZA Tak Pernah Rasa Kurang Sifat Kewanitaan!

Ads

Saya nekad menjalani pembedahan membuang payudara sekali gus Rekonstruksi Implan dan pembedahan mengambil masa selama 6 jam dan saya diberi suntikan di perut untuk menyekat hormon”, jelasnya lagi yang aktif dalam pelbagai kumpulan sokongan kanser seperti Cancer Survivors Malaysia.

Bukan mudah untuk kekal positif dalam keadaan sebegini namun semangat yang ada dalam diri doktor ini sewajarnya dijadikan inspirasi. Beliau juga sentiasa bersyukur kerana sekalipun menghidap kanser berulang, Allah masih murah hati mengurniakan banyak nikmat lain kepadanya dan tidak sedikit pun berasa kurang sifat kewanitaan.

Jangan mudah mengalah kerana setiap penyakit pasti ada penawarnya. Malah, kanser payudara boleh dirawat jika seseorang pesakit dapat mengesan dan menyedari antara tanda-tanda lebih awal lagi dengan melakukan pemeriksaan sendiri (PSP) ke atas payudara pada setiap bulan. Jangan terlalu memandang ringan dan ambil sikap tidak peduli lebih-lebih lagi untuk wanita yang berumur 20 tahun ke atas. Sekiranya berlaku sebarang perubahan di bahagian payudara segera dapatkan rujukan daripada pakar.

Diharapkan, agar wanita di luar sana lebih peka dengan kesihatan diri sendiri dan keluarga.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI