Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor nyata memiliki aura luar biasa. Apa sahaja gaya dan perkara yang dilakukan pasti menjadi perhatian dan ikutan ramai. Buktinya, sejak Neelofa memutuskan untuk tampil berniqab pada 15 Oktober lalu kisah mengenai usahawan Naelofar ini bertebaran di media sosial. Tidak hanya peminat bahkan sebilangan besar rakan artis terkejut dengan penghijrahan Neelofa malah turut menjadikan wanita ini sebagai sumber inspirasi mereka.
Genap seminggu tampil berniqab hari ini, Nona mendapati jumlah followers Neelofa di Instagram melonjak naik hingga mencecah 8,004,080. Angka itu sekaligus mengatasi penyanyi tersohor tanah air, Dato’ Seri Siti Nurhaliza yang selama ini menggungguli carta. Setakat ke hari ini, jumlah followers Dato’ Seri Siti ialah 7,942,919.
Yang pasti, keberanian Neelofa untuk berubah ke arah kebaikan memberi impak positif buat dirinya. Dalam masa sama mencetus minat ramai Muslimah untuk berbuat perkara sama. Apatah lagi, keputusan tersebut dibuat pada saat Neelofa sedang berada di puncak kerjaya dan terkenal. Enggan menjadikan urusan dunia sebagai keutamaan, anak ketiga daripada sembilan beradik ini teguhkan hati menelusuri jalan diredai Allah SWT.
Mengimbas kembali penghijrahan Neelofa, pengacara dan pelakon ini mengirimkan kenyataan rasmi berhubung penampilan baharunya kepada rakan-rakan media dan peminat pada tanggal 15 Oktober lepas.
Ads
“Assalammualaikum. Doakan saya, insan yang penuh dengan kekhilafan ini agar sentiasa istiqomah dalam memperbaiki diri dan ampuh melalui datangnya hari. Kirimkan juga doa buat perjalanan baharu saya nanti agar sentiasa dalam rahmat dan reda ilahi. InsyaAllah, semoga kita sentiasa dilindungi Allah dan selalu berada dalam rahmat dan ehsannya.”
Sebelum berniqab, perubahan secara beransur-ansur Neelofa turut disedari ramai selepas dia mula memperbaiki diri dan menutup aurat dengan sempurna dengan memakai stoking kaki dan tangan. Begitu juga dari segi pemakaian tudung yang labuh daripada kebiasaan.
Ads
Malah, ada dalam kalangan peminat membuat telahan nakal bahawa pengacara dan pelakon jelita ini berubah ke arah lebih baik kerana bakal menamatkan zaman bujang dengan seorang pendakwah kacak popular.
Ads
Apa-apa pun Nona mendoakan yang terbaik buat Neelofa dan segala kebaikan yang ditonjolkan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh wanita.
Kredit: Instagram Neelofa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dek cara bercakap dan bertutur Farid Kamil dalam loghat utara ketika beraksi di layar perak ataupun dalam percakapan hariannya dilihat sesuai untuk dirinya membawakan watak Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi filem terbarunya yang akan ditayangkan kelak. Farid Kamil kini dilaporkan akan membawa watak Presiden Parti Keadilan Rakyat itu, dan filem tersebut merupakan kerjasama produksi Malaysia dan Indonesia di mana filem tersebut akan memaparkan kisah hidup dan jatuh bangun tokoh politik tersebut.
Manakala pelakon terkenal Indonesia, Acha Septriasa pula akan mengalas tanggungjawab membawakan watak isteri kepada Anwar Ibrahim, iaitu Datin Seri Wan Azizah.
Acha Septriasa yang terkenal menerusi filem Heart menyifatkan peluang melakonkan watak bekas timbalan perdana menteri Malaysia Wan Azizah Ismail sebagai satu penghormatan. Malah, katanya, dia kini dapat merasai kasih sayang Azizah dan suaminya Anwar Ibrahim.
“Kasih sayang mereka sebagai suami isteri dan bagaimana mereka tunaikan tanggungjawab kepada negara amat memberikan inspirasi,” katanya kepada Malaysiakini.
Keterujaan peminat pula mulai terasa apabila kelmarin foto mesra Farid dan Acha di samping Anwar dan Wan Azizah mulai tular, mengesahkan yang mereka berdua sudahpun menemui dan bersemuka dengan pasangan figura politik popular berkenaan.
Di hantaran Instagram Farid Kamil pula, ramai peminat-peminatnya meninggalkan komen dan menyatakan yang mereka sudah tidak sabar untuk ke pawagam bagi menonton filem biografi tersebut.
Filem dengan tajuk Jalan Masih Panjang itu bakal diarahkan oleh Viva Westi selain turut menampilkan pelakon Hasnul Rahmat yang dijangka membawakan watak Tun Dr. Mahathir Mohamad berdasarkan pemilihan pakaian yang dikenakan aktor terbabit.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Adakah dada anda selalu ‘rasa berat’, sesak nafas dan keletihan? Hati-hati, ini boleh jadi petanda awal serangan jantung mini!
Mengejutkan, tahukah anda bahawa rakyat Malaysia mengalami serangan jantung pada usia purata hanya 58 tahun, iaitu hampir lapan tahun lebih muda daripada usia purata global?
Walaupun fakta ini menggerunkan, ramai orang dewasa muda cenderung mengabaikan tanda amaran awal, dengan menganggap mereka terlalu muda untuk mengalami masalah jantung.
Namun menurut Dr Lim Chiao Wen, Pakar Perunding Kardiologi, Pakar Elektrofisiologi dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), “Kelewatan dalam mengenalpasti simptom ini boleh menyebabkan mereka terlepas peluang untuk mendapatkan rawatan perubatan awal,” terang Dr Lim.
Trend ini amat membimbangkan terutama sekali kerana penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti dan tabiat gaya hidup yang tidak sihat menjadi semakin berleluasa di kalangan golongan muda Malaysia, menjadikan kesedaran awal dan pengesanan tepat pada masanya lebih kritikal berbanding sebelum ini – terutamanya apabila ingin mengenali tanda-tanda awal yang disebut ramai sebagai serangan jantung mini.
Istilah serangan jantung mini biasanya digunakan untuk menerangkan bentuk serangan jantung yang kurang teruk, seperti angina tidak stabil dan Non-ST Elevation Myocardial Infarction (NSTEMI). Angina tidak stabil berlaku apabila jantung tidak menerima darah yang mencukupi akibat sebahagian arteri yang tersumbat, menyebabkan sakit dada tetapi tanpa kerosakan kekal.
NSTEMI, sebaliknya melibatkan kecederaan otot jantung namun kurang kecederaan ini tidak seteruk seperti yang mereka yang mengalami serangan jantung penuh (STEMI), yang terhasil daripada penyumbatan arteri sepenuhnya dan memerlukan campur tangan perubatan kecemasan.
Simptom serangan jantung mini yang biasa dialami pesakit termasuk ketidakselesaan dada, sesak nafas, keletihan, rasa loya, pening dan rasa sakit yang mungkin merebak ke rahang, leher, lengan atau belakang.
“Simptom serangan jantung mini yang ramai rakyat Malaysia cenderung abaikan termasuk ketidakselesaan dada, sesak nafas dan keletihan. Simptom ini sering diketepikan kerana ia boleh disebabkan oleh banyak faktor harian lain seperti stres, tidak cukup tidur, atau masalah ketidakhadaman.”
Beliau menjelaskan bahawa mengenalpasti serangan jantung mini boleh menjadi sukar tanpa mendapatkan penilaian perubatan, kerana simptom ini boleh mengelirukan dan mudah disalah anggap sebagai masalah gastrik atau pedih ulu hati.
SIMPTOM SENYAP
Ramai orang mengaitkan serangan jantung dengan simptom sakit dada yang teruk, sesak nafas dan rebah, tetapi serangan jantung mini selalunya menunjukkan simptom yang lebih ringan atau senyap.
Oleh kerana simptomnya tidak begitu teruk, individu yang mengalami serangan jantung mini mungkin menangguhkan untuk mendapatkan rawatan perubatan atau tidak mendapatkan sebarang rawatan perubatan langsung, dengan mengangap simptom yang dialami mereka tidak serius.
Malangnya, kekurangan kesedaran ini boleh mengundang bahaya, kerana walaupun serangan jantung ringan bermaksud aliran darah ke jantung telah disekat buat sementara waktu, menyebabkan kerosakan pada otot jantung.
Walaupun simptomnya kelihatan ringan, serangan jantung mini masih boleh membawa kepada kerosakan yang ketara dan berkekalan pada jantung. Apabila bekalan oksigen terganggu, walaupun sebentar, tisu jantung boleh berparut, melemahkan keupayaan jantung untuk mengepam darah dengan normal.
Semakin lama, kerosakan ini boleh menyumbang kepada penyakit jantung kronik seperti kegagalan jantung, aritmia (degupan jantung tidak teratur), atau peredaran darah berkurangan ke organ penting.
Lebih-lebih lagi, individu yang mengalami serangan jantung mini tanpa menyedarinya mungkin tidak mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah isu kardiovaskular selanjutnya, menyebabkan mereka berisiko lebih tinggi untuk mendapat serangan jantung yang teruk pada masa hadapan.
Malah, kajian menunjukkan bahawa sehingga 50% individu yang mengalami serangan jantung yang serius sebelum ini pernah mengalami serangan jantung mini yang tidak dapat dikesan, bermakna mereka terlepas peluang penting untuk mendapatkan campur tangan perubatan awal.
Punca Risiko Tinggi
Perokok dan pengguna rokok elektronik kerana ia menyebabkan keradangan, memekatkan darah, dan menggalakkan pembentukan darah beku yang boleh menyekat aliran darah ke jantung.
Tabiat pemakanan yang buruk.
Pengambilan makanan bergoreng, minuman manis dan daging diproses yang tinggi, di samping amalan menggunakan semula minyak masak, telah dikaitkan dengan paras kolesterol yang tinggi dan pembentukan plak dalam arteri, yang kedua-duanya meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit jantung dengan ketara.
Gaya hidup yang tidak aktif dan peningkatan kadar obesiti, tabiat suka duduk dengan lama dan kurang melakukan aktiviti fizikal yang secara beransur-ansur boleh melemahkan jantung.
Individu yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi juga menghadapi risiko yang lebih tinggi. Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, 15.6% rakyat Malaysia menghidap diabetes, yang secara ketara boleh meningkatkan risiko seseorang itu mendapat penyakit jantung.
Begitu juga dengan mereka dengan penyakit tekanan darah tinggi yang memberi tekanan tambahan pada jantung dan menyebabkan kerosakan arteri jangka panjang jika tidak penyakit sedia ada tidak dikawal dengan baik.
Walaupun gaya hidup dan penyakit kronik adalah faktor risiko yang terkenal, terdapat juga beberapa salah tanggapan tentang jantina dan penyakit jantung.
Dr Lim menjelaskan salah satu mitos bahawa wanita selepas menopaus lebih terdedah kepada penyakit jantung, dengan menyatakan, “Wanita pra-menopaus mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat penyakit jantung disebabkan oleh kesan perlindungan estrogen.
Walau bagaimanapun, selepas menopaus, apabila tahap estrogen menurun, wanita menghadapi risiko yang sama seperti lelaki untuk mendapat penyakit jantung. Tambahan pula, wanita mungkin melaporkan simptom seperti keletihan melampau, pening, rasa loya berbanding simptom klasik sakit dada yang mencucuk.
Disebabkan simptom-simptom ini, kebanyakan kes selalunya tidak didiagnos sehingga mereka mula mengalami komplikasi jantung yang lain.”
Beliau turut menambah bahawa genetik juga memainkan peranan penting dalam risiko untuk mendapat penyakit jantung untuk kedua-dua jantina. Menyedari faktor ini, Dr Lim menggalakkan semua orang untuk menjadi proaktif dalam mengambil berat tentang kesihatan jantung mereka, tanpa mengira umur, jantina atau sejarah keluarga.
TIP CEGAH SERANGAN JANTUNG MINI
Serangan jantung mini boleh berulang jika faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, merokok, obesiti dan gaya hidup tidak sihat tidak diurus dengan baik.
Dr Lim menjelaskan bahawa keadaan ini boleh terus merosakkan arteri jantung dari masa ke masa, meningkatkan kemungkinan episod serangan jantung mini berulang atau serangan jantung yang lebih teruk berlaku.
Rawatan biasanya melibatkan gabungan ubat-ubatan dan prosedur untuk memulihkan aliran darah ke jantung dan mengurangkan risiko untuk mendapat episod serangan jantung mini berulang atau serangan jantung yang lebih teruk berlaku pada masa hadapan.
Ubat antiplatelet dan ubat cair darah biasanya akan dipreskripsi oleh doktor pakar, manakala pesakit dengan kes yang lebih serius mungkin memerlukan prosedur seperti angioplasti. Walaubagaimanapun, rawatan perubatan sahaja tidak mencukupi.
Dr Lim menekankan kepentingan untuk menggabungkannya dengan perubahan gaya hidup yang berkekalan, termasuk diet yang menyihatkan jantung, senaman yang kerap, berhenti merokok, pengurusan stres, dan kawalan bacaam tekanan darah dan kolesterol.
Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah sebagai Sultanah Kelantan, berkuat kuasa hari ini. Pengisytiharan tersebut secara langsung turut menamatkan penantian rakyat negeri Kelantan yang sudah lama tidak memiliki Sultanah sendiri.
Sultan Muhammad V adalah Sultan Kelantan ke-29 yang dimasyhurkan pada 13 September 2010. Berusia 53 tahun, baginda merupakan putera sulung Sultan Kelantan ke-28 dan kakanda kepada Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Tengku Bendahara Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Maharani Putri Tengku Amalin A’ishah Putri.
Diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur dan Oakham School Ruthland di England.
Amat dikenali sebagai seorang Sultan yang warak dan berjiwa rakyat, baginda juga meminati pelbagai sukan lasak seperti kenderaan pacuan empat roda, ekuestrian, sukan memanah, menembak serta gemar memelihara hidupan liar.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membacakan pengisytiharan tersebut di Istana Balai Besar yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.
Menurut Ahmad, pengisytiharan dilakukan menurut Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) bagi pemakluman kepada negeri dan rakyat amnya.
Dalam pengisytiharan yang sama, baginda juga memperkenankan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra iaitu isteri Tengku Mahkota Kelantan sebagai Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan. Kurniaan pangkat itu berkuat kuasa hari ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!