Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor nyata memiliki aura luar biasa. Apa sahaja gaya dan perkara yang dilakukan pasti menjadi perhatian dan ikutan ramai. Buktinya, sejak Neelofa memutuskan untuk tampil berniqab pada 15 Oktober lalu kisah mengenai usahawan Naelofar ini bertebaran di media sosial. Tidak hanya peminat bahkan sebilangan besar rakan artis terkejut dengan penghijrahan Neelofa malah turut menjadikan wanita ini sebagai sumber inspirasi mereka.
Genap seminggu tampil berniqab hari ini, Nona mendapati jumlah followers
Neelofa di Instagram melonjak naik hingga mencecah 8,004,080. Angka itu sekaligus mengatasi penyanyi tersohor tanah air, Dato’ Seri Siti Nurhaliza yang selama ini menggungguli carta. Setakat ke hari ini, jumlah followers Dato’ Seri Siti ialah 7,942,919.Yang pasti, keberanian Neelofa untuk berubah ke arah kebaikan memberi impak positif buat dirinya. Dalam masa sama mencetus minat ramai Muslimah untuk berbuat perkara sama. Apatah lagi, keputusan tersebut dibuat pada saat Neelofa sedang berada di puncak kerjaya dan terkenal. Enggan menjadikan urusan dunia sebagai keutamaan, anak ketiga daripada sembilan beradik ini teguhkan hati menelusuri jalan diredai Allah SWT.
Mengimbas kembali penghijrahan Neelofa, pengacara dan pelakon ini mengirimkan kenyataan rasmi berhubung penampilan baharunya kepada rakan-rakan media dan peminat pada tanggal 15 Oktober lepas.
“Assalammualaikum. Doakan saya, insan yang penuh dengan kekhilafan ini agar sentiasa istiqomah dalam memperbaiki diri dan ampuh melalui datangnya hari. Kirimkan juga doa buat perjalanan baharu saya nanti agar sentiasa dalam rahmat dan reda ilahi. InsyaAllah, semoga kita sentiasa dilindungi Allah dan selalu berada dalam rahmat dan ehsannya.”
Sebelum berniqab, perubahan secara beransur-ansur Neelofa turut disedari ramai selepas dia mula memperbaiki diri dan menutup aurat dengan sempurna dengan memakai stoking kaki dan tangan. Begitu juga dari segi pemakaian tudung yang labuh daripada kebiasaan.
Malah, ada dalam kalangan peminat membuat telahan nakal bahawa pengacara dan pelakon jelita ini berubah ke arah lebih baik kerana bakal menamatkan zaman bujang dengan seorang pendakwah kacak popular.
Apa-apa pun Nona mendoakan yang terbaik buat Neelofa dan segala kebaikan yang ditonjolkan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh wanita.
Kredit: Instagram Neelofa
This website uses cookies.