MALAM Sabtu ini merupakan sejarah penting bagi Raihan dan para peminat mereka. Selepas 22 tahun keberadaan dalam industri seni tanah air, kumpulan bertaraf antrabangsa dan dilabelkan legenda ini bakal menggegarkan Stadium Malawati, Shah Alam menerusi konsert berskala besar, Garis Masa Raihan.
Raihan dan seluruh warga produksi konsert berkenaan pada saat ini sibuk dengan persiapan akhir menjelang malam bersejarah yang dijangka bermula sekitar pukul 9 malam itu.
“Konsert Garis Masa Raihan akan menjadi momen penting kerana buat pertama kalinya, peminat Raihan melihat persembahan kami yang seperti ini. Diharapkan konsert ini dapat mengubat rindu mereka kepada Raihan,” ujar Che Bakar.
Konsert ini akan memberikan kelainan bukan sahaja dari segi persepsi tetapi juga pandangan khalayak selama ini terhadap kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1996 ini. Ia dianggap sebuah momen penting kerana buat pertama kalinya, peminat Raihan melihat persembahan mereka yang berlainan. Mereka juga mengharapkan konsert Garis Masa Raihan akan dapat mengubat rindu mereka kepada Raihan.
Konsert Garis Masa Raihan bakal menjadi pentas eksperimentasi lagu-lagu malar segar mereka yang akan dipersembahkan dalam rangkaian genre berlainan. Menurut Che Amran atau mesra di sapa Che Am, persembahan di konsert itu kelak nanti diyakini akan memecahkan persepsi stereotaip yang sering dikaitkan dengan kumpulan tersebut.
“Kami mahu kikis stereotaip dan kebiasaan dengan menyuntik pelbagai elemen muzik, seperti Rock, Pop, acapella dan tradisional dalam lagu-lagu kami yang akan dipersembahkan nanti.
Kami ingin raikan genre berlainan kerana tidak mahu Raihan terperangkap dalam persepsi yang sama,” ujarnya.Berkongsi rasa teruja, anggota Raihan, Che Amran Idris, terus mengajak peminat beramai-ramai hadir malam esok bagi menyaksikan persembahan Raihan yang lebih segar, istimewa dan berbeza.
Menurutnya, Konsert Garis Masa Raihan bakal mengembalikan nostalgia buat penggemar kumpulan tersebut yang membesar dengan lagu-lagu mereka.
Durasi konsert ini akan berlangsung selama dua jam dengan pengisian sekitar 21 buah lagu. Beberapa buah lagu juga akan disampaikan secara medley untuk memenuhi permintaan peminat yang ingin lagu-lagu kegemaran mereka disampaikan.Konsert Garis Masa Raihan ini juga akan diisi dengan persembahan solo Amy Search.
“Lebih istimewanya juga ia menjadi acara kemuncak dalam festival Cahaya Israk Mikraj yang dianjurkan bersempena memperingati perjalanan Rasulullah SAW ini ikut mempunyai segmen lainnya pada sebelah siang hari,” ujar Che Am dari Raihan.
Menjanjikan sebuah konsert yang akan terus menyuburkan rasa cinta dan kasih sayang terhadap Islam dan perjuangan Rasulullah SAW, Raihan akan mendendangkan hit mereka seperti Syukur, Iman Mutiara, Senyum dan Sesungguhnya yang cukup ikonik dengan kumpulan tersebut.
Konsert ini turut menjemput keberkatan dengan kehadiran tokoh Islam, Habib Ali Zainal Abidin dan Habib Jamal Bin Toha Ba’agil dan Sidi Abu Anas Abu Jaish menersui slot khas.
This website uses cookies.