Tanggal 15 Ramadan 1441H bersamaan hari Jumaat, 8 Mei 2020, negara kita kehilangan seorang lagi pendakwah terkenal, Tuan Guru Dato’ Haji Ismail Bin Haji Kamus.
Mendapat perkhabaran Dato’ Ustaz Ismail Kamus telah meninggal dunia tengah malam tadi. Kali terakhir bertemu, beliau sudah uzur, butiran dari mulutnya sudah tidak berapa jelas.
Namun beliau tetap hadir menyampaikan kuliah, memberi nasihat dan menyampaikan ilmu di atas kerusi rodanya. Allahu Akbar!
Allahyarham disahkan kembali ke rahmatullah pada jam 12.30 pagi di kediamannya di Ampang pada usia 72 tahun.
Beliau yang juga Pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman di paru-paru.
Berkongsi pengalaman sebagai orang terakhir yang menguruskan jenazah di Masjid As-Sobirin, Keramat AU5 jam 9 pagi tadi, Ustaz Rafie Zainal mengaku sukar menahan sebak sepanjang upacara memandikan dan mengafankan Allahyarham.
“Hari ini cuaca mendung sahaja dari pagi tadi. Kami tiba di Masjid As-Sobirin pada pukul 8.45 pagi dan selang beberapa minit jenazah Tuan Guru Dato’ Ismail Kamus pun tiba dari kediamannya.
Alhamdulillah, saya rasa cukup bertuah kerana di hari Jumaat tanggal 15 Ramadan yang mulia ini saya diberi peluang untuk mengetuai pengurusan jenazah Tuan Guru.
Jenazahnya cukup lembut dan mudah diuruskan. Wajahnya tenang bagaikan sedang tidur. Anak-anak serta cucu-cucu arwah juga turut hadir membantu memandikan jenazahnya.
Saya bersama Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) Muhamad Zaid dan Mohd Nasir turut dibantu oleh ahli jawatankuasa Masjid As-Sobirin yang diketuai oleh Tuan Haji Mohamad (gambar) yang merupakan pengurus jenazah di masjid tersebut. Beliau sempat berkongsi pengalamannya bersama kami.
Suasana di bilik mandi jenazah cukup menghibakan. Terdengar esak tangis di setiap ruang bilik mandi tersebut.
Setelah semua ahli keluarga dan sahabat terdekat diberi peluang menatap wajah jenazah dan menciumnya buat kali terakhir, saya mengambil kesempatan untuk menjadi orang yang terakhir menciumnya sebelum menutup wajah arwah.
Saat menutup wajah arwah, perasaan sebak sukar untuk dikawal. Saya menangis dan tidak dapat mengikat tali kafan di bahagian kepala arwah.
Ketika itu semua yang hadir mengalirkan air mata. Suasana bagaikan terhenti seketika.
Alhamdulillah, Haji Mohamad datang membantu saya untuk mengikat tali kafan di kepala arwah.
Perasaan sebegini jarang saya alami pada setiap kali menguruskan jenazah. Mungkin kerana saya membesar dengan mendengar tazkirah dan ceramah arwah terutamanya dalam program Forum Perdana Hal Ehwal Islam suatu ketika dahulu.
Maka hati dan perasaan itu terasa begitu dekat dengannya walaupun sepanjang hayatnya saya pernah berhadapan dengan arwah hanya sekali sahaja itupun dalam sebuah majlis ceramah di masjid. Jasa beliau dalam dunia dakwah di dalam dan di luar negara cukup besar.
Alhamdulillah, saya bersyukur dan rasa sungguh bertuah kerana diberi amanah untuk menguruskan jenazah yang mulia ini.
Terima kasih kepada Dato’ Tuan Asmawi Voiceover selaku Penasihat Media & Korporat SPJM yang mengenalkan SPJM kepada pihak waris.
Terima kasih juga kepada pihak Masjid As-Sobirin, Jabatan Amal Malaysia, PDRM dan semua pihak yang terlibat dalam membantu menyempurnakan urusan jenazah arwah sebentar tadi.
Semoga roh Allahyarham Dato’ Ismail Kamus ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Selamat beristirahat Tuan Guru..” akhiri Ustaz Rafie dalam satu hantaran di Instagram.
This website uses cookies.