Pengurus Peribadi DS SITI NURHALIZA Titip Pesanan Berharga Sempena Ulang Tahun Perkahwinan Ke-15

Sebut saja nama Rozi Abdul Razak atau gelaran tersohornya, Rozisangdewi pasti ramai yang mengenali. Insan yang telah banyak berjasa di sebalik kejayaan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan antara pengurus artis paling popular sejak dulu hingga kini.

Rozi Abdul Razak. pengurus peribadi Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Momen indah ketika di majlis perkahwinan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Setakat artikel ini ditulis, Rozi memiliki kira-kira 381 ribu pengikut di akaun Instagramnya @rozisangdewi Ini membuktikan populariti Datuk Seri Siti Nurhaliza turut terpalit kepadanya. Selain bergelar pengurus artis, ibu anak 3 ini juga merupakan ‘tauke’ restoran Resipi Sangdewi, serta pengasas syarikat Radar Rezeki Resources. Hebatnya!

Rozi kini turut bergelar usahawan restoran.
Rozi bersama 3 anaknya. Sekali pandang macam kakak dan adik pula. Awet muda!

Baru-baru ini ketika genap usia perkahwinan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid yang ke-15 tahun, Rozi tak ketinggalan mencoretkan ucapan ringkas di Instagramnya serta mendoakan agar pasangan ini kekal bahagia di samping 2 cahayamata comel mereka, Aafiyah dan Afwa.

Tulis Rozi di ruangan kapsyen:

Hari ini 21 Ogos 2021 adalah hari ulangtahun perkahwinan ke-15, Dato’ Sri Khalid & Dato’ Sri Siti Nurhaliza. @ctdk

Semoga terus berbahagia di samping kehadiran permata hati, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa.

Semasa majlis perkahwinan 15 tahun dahulu, boleh dikatakan saya tiada bergambar dengan pasangan ini kerana saya sibuk mengalahkan emak pengantin. Adalah juga beberapa keping untuk kenangan di sebalik tabir.

NONA turut mendapatkan secebis kata-kata istimewa dari Rozi buat Datuk Seri Siti Nurhaliza sepanjang 15 tahun beliau bergelar isteri. Masha-Allah, betapa indah dan bermakna kata-katanya:

“Mengharungi alam rumahtangga selama 15 tahun, dikurniakan sepasang cahayamata iaitu Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa tentunya melengkapi sebahagian daripada perjalanan hidup Siti sebagai seorang isteri dan ibu.

Siti Aafiyah.
Muhammad Afwa.

Alhamdulillah, semoga terus mengecapi kebahagiaan, dapat membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang serta memelihara perkahwinan yang terbina dengan seribu satu keindahan.

Saya mendoakan agar Siti, suami dan anak-anak sentiasa di dalam peliharaan Allah. Menjadi isteri adalah payungan rumahtangga, tangan yang menghayun buaian adalah jantung di dalam rumah untuk seribu satu keberkatan keluarga.”

Betapa indahnya aturan Allah SWT buat hamba-hambaNya yang sabar. 15 tahun bukan tempoh yang singkat namun insan bergelar ‘Siti Nurhaliza’ ini satu dalam sejuta. Semoga bintang kesayangan ramai ini kekal bahagia bersama keluarga tersayang sampai syurga. Didoakan juga agar ukhwah persaudaraan antara Rozi dan Datuk Seri Siti Nurhaliza kekal selamanya, Aamiin.

Kredit Foto: Instagram @rozisangdewi & @ctdk

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad