Seorang penyelidik kardiovaskular yang berasal dari Malaysia, Syabira Yusoff telah memenangi musim ke-13 program popular, The Great British Bake Off. Wanita berusia 32 tahun itu, yang berpindah ke Britain pada 2013 untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD diumumkan sebagai pemenang pada episod akhir pada malam Selasa, menewaskan Abdul Rehman Sharif, 29, dan Sandro Farmhouse, 30.
Syabira berkata, kemenangan itu adalah pencapaian terbesar dalam hidupnya, sambil memaklumkan dia mencipta resipi pada pukul 5 pagi dan merujuk Instagram dan Pinterest bagi mendapatkan inspirasi.
“Semua kerja keras, percubaan dan kesilapan, semuanya berbaloi. Saya sangat berbangga,” kata penyelidik di King’s College London, yang mula membuat kek pada 2017 bagi melepaskan rasa rindu pada kampung halaman.
Merupakan peserta kegemaran peminat sejak awal, Syabira digambarkan sebagai seorang pembuat kek yang unik dengan memberi rasa Malaysia kepada masakan klasik British, seperti menggunakan rendang ayam dalam Cornish pasties.
“Ada beberapa rasa yang kami tidak pernah temui sebelum ini dan tidak mungkin akan temui lagi. Dia seorang pembuat kek yang luar biasa,” kata salah seorang juri rancangan itu, chef selebriti Paul Hollywood.
Untuk cabaran penutup, Syabira mereka ‘arca’ orang utan besar yang memegang hutan hujan, sesuai dengan tema Our Beautiful Planet.
Ia diperbuat daripada lapisan shortbread tarragon dan Genoese sponge berperisa lada hitam dengan sandwich jem beri hitam. “(Arca) Orang utan itu bijak. Ia bukan hasil paling kemas yang pernah saya lihat, tetapi rasanya sangat hebat,” tambah Hollywood lagi.
Sumber: ASTRO Awani | Kredit foto: Instagram @syabirabakes
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
This website uses cookies.