Rintik hujan turun mencurah-curah sejak awal pagi. Awan berkabus, seperti mengiringi perjalanan penulis ke kediaman Wak Doyok di Klang. “Masuk dalam, hujan ni!” tulis beliau separa menggesa team Majalah Nona cepat-cepat berteduh ke dalam rumah.
Banglo dua tingkat lengkap kolam renang menyambut kedatangan kami. Laksana resort, lamannya dihias pohon kemboja dan laluan berturap rumput. Nyaman dan menenangkan!
Mata terus merayau ke arah garaj. Bayangkan di sana sebuah Ford Mustang, sebiji motosikal vintaj dan beberapa koleksi basikal antik pasca Perang Dunia Pertama sudah siap menanti.
Masih terkenang kemesraan ibu Wak Doyok, Puan Siti Fatonah menyambut salam. Berusia 80 tahun, wanita penyayang ini sibuk menyiapkan sarapan sebagai hidangan pagi itu. Kuih apam gebu, bihun goreng dan air kopi panas… Allahu, juadah raya terbaik di abad ini!
Di sebalik jambang dan misai lebat Wak Doyok, jejaka berusia 42 tahun ini sebenarnya memiliki rupa paras yang segak.
Siapa sangka jika bercukur, wajah Wak Doyok yang disangka garang rupanya cukup ‘macho’, malah pasti terserlah raut wajah manja sesuai dirinya yang merupakan anak bongsu!
“Wan (panggilan di rumah) ni anak paling rapat dengan makcik. Nampak saja garang tapi di rumah, dia takkan makan kalau makcik tak sediakan. Mesti nak air tangan ibu!” Ibu Wak Doyok
BERNIAGA
Wak Doyok bukan saja berpenampilan menarik, malah seorang yang berbudi bahasa serta kelakar orangnya. Paling istimewa, usahawan hebat ini sangat suka menghias rumah, termasuk membuat sendiri hiasan-hiasan seperti lampu gantung di sudut tangga.
Minat yang tinggi pada kesenian turut mendorong Wak Doyok mengumpul banyak barangan antik seperti basikal.
Di rumah ini, ada kira-kira 5 basikal tua yang dibeli dari luar negara, lengkap aksesori seperti loceng, beg pelana, lampu karbaid dan sebagainya. Kalau dihitung nilai barangan sejarah itu, pasti mencecah enam angka!
“Kebanyakan barangan ini saya beli di eBay, tukar-beli dengan pengumpul koleksi antik dan sebahagiannya diberikan sendiri oleh kawan-kawan di luar negara.
Pada saya semua basikal di rumah ini ada sejarah, ada yang pernah dikayuh oleh bekas tentera Inggeris, digunakan semasa Perang Dunia Pertama dan macam-macam lagi.” Wak Doyok
Begitu juga motosikal vintaj yang sering ditunggang ke acara Gentleman’s Ride. Cerita beliau, motosikal itu asalnya adalah ‘bangkai’ yakni sudah tidak boleh digunakan langsung. Menggunakan kemahiran mekanik, ia diberi nyawa semula hingga boleh ditunggang seperti biasa.
ANAK IBU
Selain dikenali sebagai ikon fesyen, nama Wak Doyok turut terkenal sebagai pelakon dan usahawan. Antara bidang perniagaan yang diceburinya adalah fesyen Baju Melayu, krim jambang dan misai serta sushi. Nah, jenama Baju Melayu Wak Doyok pun merupakan antara yang terlaris pada musim perayaan tau!
“Apa yang saya pakai menjadi fenomena dan ikutan kepada masyarakat. Saya bukan jenis founder yang suka ‘tayang-tayang’ harta tapi saya lebih pentingkan brand saya supaya kuat. Bagi saya, founder tak perlu ke depan, tapi brand kita yang mesti dikenali.
Sebab yang buat duit adalah brand, jadi bajet marketing harus lebih banyak pada produk tu. Bukannya bajet untuk founder bermewah-mewah atau tayang duit depan-depan orang.” Wak Doyok
Berkat menjaga hubungan dengan Allah SWT serta ibu bapa menjadi kekuatan utama Wak Doyok dalam kehidupannya. Seperkara yang amat penulis kagumi, Wak Doyok tidak putus membahagiakan ibunya selepas arwah bapa pulang ke rahmatullah.
Tanpa berselindung, Wak Doyok turut bercerita akan kehidupan sukar yang dilalui suatu masa dulu. Terpaksa membuat pelbagai pekerjaan termasuk kerja buruh kasar demi mencari sesuap rezeki.
Alhamdulillah kini segalanya sudah berubah. Berkat kerajinan dan sentiasa mengutamakan ibu tercinta, hidup Wak Doyok kini berubah 360 darjah.
Lelaki dengan nama penuh Mohd Azwan Md Nor ini juga tidak keberatan menjawab persoalan kami tentang jodoh. Ujarnya, jika belum ditemukan jodoh dengan bakal isteri, bermakna sudah pasti takdirnya adalah untuk menjaga ibu tersayang. Layanan bak ratu! Begitulah sayangnya Wak Doyok pada ibu.
Anak kesembilan ini juga akur dengan pilihan ibu yang ingin melihat beliau mengakhiri zaman bujang dengan anak dara.
Nampak tegas jawapan si ibu kan? Semoga impian ibu Wak Doyok yang cukup baik dan lemah lembut ini tertunai melihat anak kesayangan bersanding di pelamin.
Untuk makluman, Wak Doyok sebenarnya telah menghadiahkan banglo yang mereka diami sekarang termasuk sebuah Toyota Vellfire kepada ibunya sebagai membalas jasa. Lebih hebat lagi, tapak banglo ini adalah tapak rumah asal Wak Doyok membesar sejak dulu lagi!
Ketahui lebih banyak lagi cerita menarik tentang lelaki hebat ini menerusi video Nona Inspirasi Bersama Kiffy Razak, tidak lama lagi!
This website uses cookies.